kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PPPM(PT) Hala tuju baharu negara

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia.

Alhamdulillah, pada tengah hari ini de­ngan izin Allah jua, maka kita dapat berkumpul dalam dewan ini. Minat masyarakat terhadap bidang pendidikan negara kita tentu sekali manifestasinya adalah kehadiran dan komitmen kita bersama dan pandangan-pandangan yang kita berikan untuk menjayakan bidang pendidikan negara.

Walaupun sebagai bekas Menteri Perdidikan, saya amat sedar bagaimana ‘everybody thinks that he or she is the expert in education’ (Semua orang berfikir yang mereka adalah pakar dalam pendidikan). Itu cabarannya apabila menerajui Kementerian Pendidikan.

Saya berasa amat gembira hari ini kerana saya diundang untuk menjadi sebahagian daripada satu peristiwa yang amat bersejarah lagi bermakna kepada negara.

Hari ini kita melancarkan pelan pendidikan tingi untuk negara tetapi ini bukan sekadar pelan pendidik­an. Apa yang kita lancarkan adalah satu hala tuju baharu yang akan menentukan masa depan negara kita yang tercinta.

Sebab itu saya terharu apabila dijemput dan saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Pendidikan kerana memberi penghormatan kepada saya dan ucapkan tahniah kepada beliau dan kementerian atas inisiatif membentangkan pelan pendidikan ini.

Saya telah semak dan teliti kandungannya dan presentation (persembahannya) pun menarik, mata rabun pun senang nampak. Jadi tolong baca laporan ini kerana ia mengandungi hala tuju bidang pendidikan tinggi negara kita.

Saya amat tertarik dengan perkara utama dan pokok yang dihuraikan Timbalan Perdana Menteri sebentar tadi dan disertakan dengan persembahan visual.

Amat jelas 10 lonjakan yang hendak dicapai dan lima aspirasi sistem yang hendak dijadikan objektif. Dan tumpuan kepada ciri-ciri pelajar yang lahir daripada sistem ini.

Saya tanya dan cuba rumuskan apa sebenarnya objektif sistem pendidikan tingi negara? Saya dapat rumuskan dengan mudah iaitu ada tiga perkara atau tiga ‘B’, kebetulannya ia bermula dengan huruf B.

Yang pertamanya, bakat, kita hendak bangunkan bakat agar negara kita dapat bersaing. Jadi sistem pendidikan tinggi kita mesti mampu menjana bakat.

Bakat macam mana? Itu adalah B yang kedua. Bakat yang bertaraf global. “You are benchmarking international if you want to be among the best, at least the top of one third among the nations of the world.”

Ini bererti apa kita nak lakukan ini akan sentiasa mencapai ‘benchmark’ (penanda aras) secara global supaya kedudukan Malaysia bertambah baik dari semasa ke semasa.

Dan ketiganya adalah berteraskan nilai atau ‘value driven’. Timbalan Perdana Menteri menyebut ‘well rounded, in every sense’. Maknanya seimbang. Wasatiyyah juga tentu sekali. Memahami mengenai dunia, memahami dari mana kita datang. Mempunyai jati diri sebagai Malaysia. Identitinya Malaysia tetapi menerima kepelbagaian.

Saya juga tertarik kepada ciri-ciri yang mana penekanan juga diberi pada aspek spiritual (kerohanian) dan morality based (bermoral). Sebab pandai sahaja tapi tiada nilai spiritual akhlak pun tidak berguna.

Dia boleh menggunakan kepandaiannya merosakkan negara kita. Contoh paling ekstrem, ada kelulusan tinggi tetapi guna ilmu itu buat bom, ini tidak mustahil.

Inilah sebab kita hendak bangunkan ciri-ciri positif kepimpinan dalam apa jua situasi. Ini semua dalam buku PPPM(PT). Saya cuma bacakan apa dalam buku.


NAJIB TUN RAZAK beramah mesra bersama Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching sejurus melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 di Kuala Lumpur di sini hari ini.

Soal identiti, soal bahasa Malaysia. Ini wajib. Ini sebahagian ciri-ciri identiti nasional. Kita mesti fasih dalam bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia di samping itu mengakui bahasa Inggeris merupakan bahasa global dan (menguasai) bahasa ketiga.

Perkara komunikasi ini diberi perhatian dan tentu sekali ilmu berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM). Inilah antara subjek amat penting yang boleh menentukan daya saing kita atau daya saing negara.

Saya juga tertarik soal akses pendidikan tingi. Kalau hari ini akses dalam lingkungan 36 peratus, menjelang 2025, 36 peratus itu akan melonjak 53 peratus. Ini satu pe­ningkatan yang meletakkan Malaysia dalam kalangan negara OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan).

Saya juga tertarik kepada cadang­an diberi autonomi lebih kepada universiti. Universiti sepatutnya diberi autonomi lebih. Ini termasuk kuasa-kuasa Kementerian Kewang­an diturunkan kepada universiti. Kuasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) juga mungkin.

Saya tertarik konsep universiti mesti cari sumber kewangan yang bertambah. Jangan asyik nak bentang peruntukan tambahan kepada Kabinet sahaja. Saya tengok dalam pelan ini, misalnya menjelang tahun 2025, RM17 bilion sumbangan kerajaan, RM4 bilion universiti kena cari tetapi tidak sebut pembahagian setiap universiti.

Tapi umumnya, RM4 bilion kena datang daripada universiti. Saya tidak fikir ini susah. Ada universiti yang mempunyai bank tanah 2,000 ekar (809.3 hektar). Takkan daripada 2,000 ekar tidak boleh cari beberapa ratus juta. You can monetize your asset (Awak boleh menggunakan aset untuk menjanakan wang).

Keduanya, endownment boleh cari minta alumni. Minta dia, haruk dia, kokah dia, takkan dia tidak sa­yang alma mater. Tambah wakaf lagi, ini semua kita boleh usahakan. Kalau ada endownment, monetized asset dan R&D (penyelidikan dan pembangunan), tentu sekali universiti boleh cari punca yang lebih besar.

Soal pembiayaan. Ini kita kena uar-uarkan kerana kalau lihat dari segi peruntukan pendidikan tinggi, secara relatifnya, bajet diluluskan kerajaan untuk pendidikan tinggi peratusannya adalah 7.7 peratus, menjadikan Malaysia antara negara tertinggi dari segi perbelanjaan pendidikan tinggi.


NAJIB TUN RAZAK menyampaikan ucapan perasmian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) di dalam dewan yang dipenuhi hadirin yang terdiri daripada ahli akademik, tokoh korporat dan industri serta pelajar. BERNAMA

Perbandingannya, negara Korea Selatan 3.9 peratus, Jepun 1 peratus, Indonesia 3.1 peratus, Thailand 3 peratus dan Singapura 6.4 peratus tetapi Malaysia di bawah kerajaan yang ada sekarang ini, 7.7 peratus.

Kita punya komitmen dari segi pembiayaan pelajar. Purata kos untuk kita menjana seorang pelajar dari IPTA adalah RM18,000, puratanya, kalau masuk semua kos, jadi angkanya, RM20,7000. Yang dikenakan bayaran pada pelajar puratanya adalah RM2,000. Maknanya dari segi pendidikan tinggi, 90 peratus ditanggung kerajaan, cuma 10 peratus dikenakan ke atas pelajar. Ini kita kena uar-uarkan, baik tak baik kerajaan, kenakan bayaran RM2,000 sahaja dan tidak dikenakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).

Ini untuk pelajar kita dan beri akses pendidikan.

Saya juga tertarik dengan pelan ini kerana ditekankan soal produktiviti dan efisien. Maknanya, kalau hendak bajet tambahan, kena tunjukkan produktiviti dan efisien le­bih baik, baru EPU (Unit Perancang Ekonomi) lulus, baru Kementerian Kewangan bagi dana tambahan.

Bukannya bajet tahun lepas RM300 juta, tahun ini RM330 juta juga. Tak boleh, kita kena ada pe­ningkatan dalam produktiviti dan kerja yang efisien, baru peruntukan akan bertambah. Ini bermakna universiti mesti diurus tadbir dengan lebih efisien.

Misalnya kebolehpasaran gra­duan. Berapa? Apa peratusnya untuk mendapat pekerjaan? Ini mesti kita ambil kira. Berapa banyak kos bagi seorang pelajar? Saya dapat tahu universiti yang paling mahal, yang saya tidak hendak sebut nama, RM38,0000 bagi seorang pelajar. IPT yang paling murah, saya tidak hendak sebut nama, RM8,000 bagi seorang pelajar. Jadi ada banyak variasi daripada RM38,000 kepada RM8,000. Universiti-universiti me­sti lebih produktif dan efisien. Ini prinsip-prinsip yang dicadangkan dalam PPPM(PT).

Saya tertarik dengan pelan ini dan saya hendak sebut kemajuan pendidikan tinggi semakin hari semakin mantap kedudukannya dan pagi ini dalam akhbar tempatan, saya hendak bacakan berita, ‘Penyelidik Malaysia mengatasi penyelidik Thailand dan Singapura’.

Akhbar ini petik daripada suratkhabar The Nation di Thailand.

Satu ketika dahulu, kita bermula lebih rendah, sekarang kita ini memotong Thailand dan Singapura dari segi penerbitan ilmiah. Jadi tahniah saya ucapkan. Ini yang dikatakan penanda aras global. Bila kita ada usaha-usaha seperti ini dan saya sokong sangat apa Timbalan Perdana Menteri sebut tadi dalam analisis terakhir, semuanya adalah mengenai pelaksanaan, pelaksa­naan dan pelaksanaan.

Mudah-mudahan dengan penekanan soal pelaksanaan dan jawatankuasa khas diketuai Timbalan Perdana Menteri dan sokongan semua pihak, saya hendak menyatakan secara peribadinya saya menyokong pelan ini.

Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak. Saya tahu banyak usaha dilakukan untuk menjayakan pelan ini. Ia bukan mudah tapi saya ya­kin dan percaya, “this could be very transformative for the nation” (Ini boleh mengubah negara).

Pelan ini boleh menentukan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara Malaysia. Saya ucapkan terima kasih kepada CEO-CEO (ketua-ketua pegawai eksekutif) yang meluangkan masa. Saya difahamkan janjinya 15 jam setahun tetapi sekarang sudah tambah jadi 30 jam. Mereka tidak complaint, sebaliknya mereka sanggup menyumbang kepakaran dan pengalaman kepada pelajar.

Saya doakan pelan ini berjaya sepenuhnya. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Sekian, terima kasih.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 di Kuala Lumpur, semalam.

Tags: pipp, ppp, pppm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments