kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Inisiatif melahirkan graduan 3B

KETIKA berucap pada majlis pelancaran Pe­lan Pem­bangunan Pendidikan Ma­laysia (PPPM) 2015-2025 Pendidikan Tinggi (PT) kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merumuskan bahawa objektif keseluruhan pelan ini terangkum dalam konsep 3B iaitu melahirkan graduan berbakat, bertaraf global dan berteraskan nilai positif.

PPPM (PT) yang dilancarkan ini secara keseluruhannya menggariskan pencapaian 10 lonjakan iaitu, graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang; kecemerlangan bakat; menghayati pem­belajaran sepanjang hayat; graduan pendidikan dan latihan vokasional dan teknikal (TVET) berkualiti; pemantapan tadbir urus; kelesta­rian kewangan; ekosistem inovasi; penyampaian program pendidikan yang ditransformasikan, keunggul­an global dan pembelajaran dalam talian secara global.

Lonjakan-lonjakan ini akan menyokong lima aspirasi sistem yang memberi tumpuan kepada akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan perpaduan.

Walau apa pun intipati utama pelan ini yang dirangka untuk memacu sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang, secara umumnya apa yang kita mahukan ialah agar dapat me­lahirkan graduan yang memiliki ciri-ciri 3B itu supaya mampu menjadi sumber modal insan yang seimbang dari semua aspek kehidupan.

Persoalan utama dan ciri ‘B’ yang pertama adalah sejauh mana pelan ini mampu melahirkan graduan dan sumber tenaga manusia yang memiliki bakat yang tersohor di peringkat lokal dan global. Ringkasnya pelan ini perlu dan sewajarnya mampu untuk membangunkan atau mencungkil bakat yang ada pada mahasiswa supaya akhirnya dapat keluar dari kampus menjadi graduan yang berkemahiran dan berbakat tinggi.

Kita ada 20 universiti awam dan beratus universiti serta kolej swasta yang menawarkan pelbagai bidang pengajian sekali gus melahirkan berpuluh ribu graduan pada setiap tahun. Persoalannya apa hala tuju graduan ini? Apakah mereka ini sudah bersedia untuk memikul amanah yang diharapkan? Apakah mereka sudah memenuhi kehendak pasaran kerja mahupun keperluan setiap majikan yang mahu mengambil mereka untuk bekerja?

Adakah potensi dan bakat mereka sudah diasah dan digilap sepenuhnya sepanjang pengajian mereka di universiti? Mampukah mereka menjadi agen transformasi yang boleh memeta hala tuju negara agar kita dapat terus maju dan bersaing di peringkat antarabangsa?

Itulah antara persoalan yang se­ring berlegar dalam kotak pemikiran kita sekian lama. Itu belum lagi soal kadar pengangguran dan sebagainya.

Maka harapan kita pelan ini dan sistem pendidikan tinggi negara dapat menjana bakat yang diperlukan. Kita percaya mahasiswa hari ini sa­ngat berkemahiran tinggi. Mereka cukup berpotensi andai kita mampu menggilap bakat itu ke arah kebaik­an demi masa depan negara.

Untuk itu semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelan ini perlu lebih fokus dan teliti. Pelan-pelan tindakan yang digariskan perlu dilaksanakan mengikut perancangan supaya akhirnya kita dapat tuai hasil yang signifikan dan hebat. Jangan sia-siakan bakat terpendam yang dimiliki oleh setiap mahasiswa kita. Mereka adalah generasi pewaris masa depan negara ini.

Ciri atau ‘B’ kedua yang kita hasratkan ialah melahirkan bakat yang bertaraf global. Ini cukup pen­ting untuk memastikan negara kita mampu mengekalkan momentum persaingan di peringkat antarabangsa. Selama ini kita sering tertanya-tanya sejauh mana mahasiswa dan graduan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di peringkat global.

Adakah graduan yang kita hasilkan ini mampu pergi jauh membawa nama Malaysia ke persada dunia? Kita tidak nafikan memang ada mahasiswa kita yang mampu melakukannya sebelum ini di pelbagai bidang tetapi bilangannya agak kecil berbanding jumlah keseluruh­an mahasiswa yang ada mahupun graduan yang kita hasilkan.

Kita percaya masih ramai yang berpotensi untuk ditonjolkan. Apa yang diperlukan adalah bimbingan dan tunjuk ajar serta peluang untuk mengetengahkan bakat mereka itu. Untuk itu universiti perlu memainkan peranan bagi menyediakan persekitaran yang sesuai supaya potensi dan bakat mereka ini boleh terus digilap supaya dapat mencapai taraf global.

Ekosistem untuk mahasiswa membuktikan kemampuan mereka di peringkat yang lebih tinggi juga perlu diwujudkan supaya bakat mereka tidak disia-siakan.

Objektif ataupun ‘B’ yang ketiga ialah melahirkan graduan yang memiliki nilai positif yang unggul. Apa guna kita melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak memiliki akhlak, nilai moral mahupun sahsiah yang terpuji.

Ringkasnya kita mahu membentuk graduan yang mempunyai nilai-nilai positif dan jati diri yang tinggi. Kita perlukan graduan yang tinggi budi pekertinya dengan nilai dan budaya timur bersandarkan elemen kerohanian yang mantap serta memiliki sikap penyayang dan prihatin di samping memahami kehendak dan aspirasi negara.

Hal ini cukup penting kerana masih ramai yang beranggapan kehebatan seseorang mahasiswa mahupun graduan itu hanya diukur berdasarkan kecemerlangan dan prestasi akademik semata-mata. Ele­men kecemerlangan sahsiah masih dikesampingkan dan tidak begitu dititikberatkan. Hasilnya graduan yang dilahirkan tidak begitu kental jati diri serta mudah terpengaruh dengan pelbagai pujukan oleh anasir-anasir luar dan jahat.

Percayalah betapa hebat mana sekalipun prestasi akademik kita andai nilai-nilai positif masih kurang dan jati diri masih lemah, kemungkinan besar kita tidak mampu berdikari dan melangkah lebih jauh.

Sekali lagi semoga pelan ini mampu menjadi platform terbaik untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan juga sahsiah.

Secara umumnya kita boleh terima PPPM (PT) sebagai sebuah pelan pembangunan pendidikan yang komprehensif dan menyeluruh serta terbaik yang pernah kita hasilkan. Hakikatnya pelan sudah lengkap dan siap sepenuhnya, pelancaran juga sudah selesai maka apa yang diperlukan sekarang ialah fasa pelaksanaan.

Justeru semua pihak yang terlibat perlu komited dalam mematuhi segala perancangan yang digariskan dalam pelan ini supaya menjelang tahun 2025 kita mampu mereali­sasikan harapan dan hasrat yang terkandung dalam pelan ini supaya kita dapat melahirkan graduan 3B yang diimpikan.

- Noor Mohamad Shakil Hameed Utusan Malaysia Rencana 09 April 2015 1:48 AM
Tags: pendidikan, pppm
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments