kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Roket Mahathir dan Najib

DAP DIMINTA JAGA TEPI KAIN SENDIRI

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 7 April 2015 menyiarkan artikel mengenai kerisauan DAP berhubung keputusan tegas Pas untuk terus melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. Menerusi artikel bertajuk ‘Kehilangan Kelantan kenapa hendak dirisaukan?’, penulisnya, Wong Zi dalam ruangan Pendapat di halaman B9 akhbar itu menyatakan DAP sepatutnya melihat perkara itu dari sudut pandangan berbeza, bersikap terbuka serta tidak mencampuri urusan ‘rumah tangga’ Pas selaku parti rakan dalam PR. Keputusan nekad untuk melaksanakan hukum hudud telahpun dipersetujui kepimpinan tertinggi Pas, malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden parti dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Anggota Jawatankuasa Pas Pusat) juga bertegas Pas mampu berjuang bersendirian tanpa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam hal itu. Malah, pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sekitar Mac lalu yang menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir juga telahpun diluluskan, justeru tidak ada apa yang DAP boleh lakukan kecuali ‘merestui’ keputusan Pas itu. Penulis menarik perhatian de­ngan tinjauan yang mendapati sebanyak 84 peratus rakyat membantah pelaksanaan hukum hudud kerana dikatakan mereka tidak faham perjuangan besar Pas, justeru DAP tidak perlu gusar sebaliknya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Sekiranya enakmen berkenaan diluluskan Dewan Rakyat, ini bermakna tanggungjawab itu telah diserahkan kepada UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan jika enakmen itu ‘terkandas’ berikutan bantahan rakyat, maka Abdul Hadi sudah boleh lepas tangan selain menunggu ‘habuan’ untuk dikritik oleh orang ramai. Pada hemat penulis, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Pas, Abdul Hadi sudah kekurangan bisanya oleh jawatankuasa ber­kenaan khususnya dalam kalangan puak Erdogan, justeru pelaksanaan hukum hudud disifatkan ‘talian hayat’ kepada beliau untuk terus dilihat sebagai seorang pemimpin tertinggi parti yang menguasai Pas. Jika pemilihan parti Pas pada Jun ini menyaksikan Jawatankuasa Pusat Pas dikuasai oleh puak Erdogan, pastinya nyawa hukum hudud tidak akan ke mana dan ini bermakna kegagalan kepada pemimpin-pe­mimpin yang taksub percayakan agama seperti ulama-ulama mereka. Selain faktor perpecahan dalam parti Pas yang berpecah kepada dua puak, pelaksanaan hukum hudud yang dibayangkan Mohd. Amar akan mencontohi empayar Perancis melaksanakan hukuman memotong tangan dan memenggal kepala menimbulkan kegusaran kalangan orang ramai, sekali gus menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pas. DAP tidak boleh bergembira awal jika Pas kehilangan kuasa di Kelantan kerana DAP juga dibayangkan akan menerima nasib sama. Pendek kata, kedua-duanya akan kecundang! Jika DAP bijak, biarkan sahaja hukum hudud diluluskan di Dewan Rakyat, biarpun menyaksikan Pas kehilangan kuasa di Kelantan. Setidak-tidaknya, DAP tetap menang dan kekal kuasa di Pulau Pinang. Penulis berpandangan, jika benar Pas telah berazam mahu me­laksanakan hukum hudud, sudah pasti mereka telah mengkaji kesan-kesannya selepas itu. Mungkin terlalu percaya pada diri sendiri atau mungkin Pas akan berbaik semula dengan UMNO untuk bersama-sama memperkukuh­kan kedudukan dan kuasa orang Melayu dan terus memperjuangkan agama Islam? Sama ada beroleh kuasa ataupun tidak, bagi Pas itu adalah feno­mena biasa dalam berpolitik. Adalah sangat tidak berbaloi jika DAP yang diperjuangkan Lim Kit Siang bertahun-tahun lamanya dan kini diwarisi anaknya, Lim Guan Eng kehilangan kuasa di Pulau Pinang ha­nya kerana ‘bercakaran’ dengan Pas.

TUN MAHATHIR 
HAMBAT NAJIB?

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 6 April 2015 tidak ketinggalan mengupas isu berhubung desakan Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia berikutan pelbagai isu dan skandal membabitkan pemimpin nombor satu negara itu. Artikel bertajuk ‘Paksa Perdana Menteri letak jawatan jangan sesekali dimulakan’ ditulis oleh editorial akhbar berkenaan yang disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman B10 membayangkan ke­getiran dihadapi Barisan Nasional (BN) ekoran kritikan secara terbuka bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib sejak kebelakangan ini. BN yang sedia maklum berhadap­an dengan situasi politik yang agak kompleks kini terpaksa bergelut untuk merampas dan mengekalkan dua kerusi Parlimen, iaitu Permatang Pauh ‘dikosongkan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan kerana kesalahan meliwat, manakala Rompin ditinggalkan Tan Sri Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Seme­nyih, Selangor pada 4 April lalu. Tun M dikatakan bertindak seolah-olah ‘pemantau’ apabila se­ring membuat teguran dan kritikan ke atas kepimpinan Najib secara terbuka dalam blognya berkaitan pelbagai isu antaranya skandal 1MDB dan Altantuya, isu lama yang dikitar semula menyebabkan rakyat kembali mengingati isu itu, sekali gus memberi kesan negatif kepada BN dalam pilihan raya kecil (PRK) kelak. Sebagai bekas Perdana Menteri yang pernah memerintah selama 22 tahun, tentu ramai yang percaya tanpa was-was dengan Tun M biarpun tanpa dilampirkan bukti kukuh berhubung dakwaan skandal berkaitan yang kononnya melibatkan Najib. Begitupun, Najib memilih untuk menjadi pasif, sedangkan dalam BN sendiri kedengaran banyak suara yang berbeza-beza berhubung isu itu. Antaranya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berpendapat Najib tidak perlu menjawab tohmahan Tun M kerana zaman Najib tidak sama dengan Tun M dan bekas perdana menteri itu sepatutnya faham kea­daan tersebut, manakala Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO pula mahu Najib menjawab semua soalan yang disebut Tun M dalam blognya. Di sebalik hal itu, kepimpinan Najib sehingga hari ini dilihat mendapat sokongan ketua-ketua bahagian UMNO dan pemimpin-pe­mimpin parti komponen BN yang antara lain menyatakan secara terbuka akan menjadi tulang belakang menyokong Najib. Pada hemat pengarang, Najib bukan sahaja bertindak bijak apabila tidak mengambil peduli pelbagai kritikan yang dilontarkan terhadapnya, malah menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi kepimpinan beliau dalam PRK dan pilihan raya umum akan datang.

MAHATHIR KIASU?

Akhbar China Press bertarikh 6 April 2015 juga menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai ketidakpuasan hati Tun M berhubung ke­pimpinan BN yang dinaungi Najib. Dalam artikel bertajuk ‘Apa sebenarnya yang Mahathir mahukan?’ ditulis oleh Tan Guan Fung yang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C19 menyifatkan bekas perdana menteri keempat itu bersikap kiasu sama seperti mendiang Lee Kuan Yew. Umum tahu, Kuan Yew setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura masih terus memegang jawatan penting dalam kerajaan sehingga ke akhir hayatnya baru-baru ini. Sebagai warganegara, Tun M memang layak dan berhak untuk menegur kepimpinan Najib dan BN, kecuali jika teguran mempunyai unsur kepentingan peribadi, maka pandangan beliau tidak perlu dihormati. Setelah melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, Tun M dilihat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib, sedangkan ke­dua-duanya adalah ‘pewaris’ beliau dan pernah menjadi menteri Kabinet di bawah pemerintahannya. Dari kaca mata Tun M, Abdullah dan Najib tidak lulus sebagai perdana menteri dan menganggap kedua-duanya mempunyai prestasi yang amat buruk. Jika begitulah, maka siapa pula yang layak menjadi perdana menteri? Setiap zaman berbeza, justeru Tun M sepatutnya faham keadaan itu dan tidak menggunakan sudut kaca mata seperti zaman beliau menjadi perdana menteri. Umpama pepatah Cina, ‘Bertukar Maharaja akan berubah cara mentadbir, bermakna orang yang sambut jawatan itu akan bawa masuk pengikut-pengikut mereka sendiri, bina kroni-kroni sendiri’ - See more
Utusan Malaysia Rencana Isu Akhbar Cina 9 April 2015
Tags: isu, politik
Subscribe

  • Berani

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments