kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Janda Baik asalnya 
kisah janda Orang Asli

Asalnya kisah janda Orang Asli
KAMPUNG Janda Baik pada asalnya mula diteroka dan dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932 iaitu Haji Yaseh Da’un, Haji Kadir Hitam dan Haji Idris Awang.

Namun, cerita di sebalik nama kampung yang unik itu sebenarnya bermula daripada kisah yang disampaikan secara turun-temurun oleh generasi ke generasi penduduk kampung tersebut.

Menurut anak jati kelahiran Kampung Janda Baik, Prof. Dr. Kamaruzaman Moidunny, sebelum orang Melayu dari Kampung Ketari dan Kampung Benus di Bentong berpindah ke Kampung Janda Baik, kawasan itu merupakan hutan belantara yang tidak pernah diteroka oleh sesiapa.


Salah seorang individu yang mula membuka Kampung Janda Baik, Haji Yaseh Daun (berkot hitam) bersama-sama penduduk di atas pelantar masjid pertama di kampung itu pada 1933.

Jelasnya, Orang Asli dari suku kaum Temuan yang diketuai seorang Tok Batin bernama Emok telah mula menduduki sekitar kawasan tersebut.

Kamaruzaman yang merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Penilaian dan Peperiksaan, Institut Aminuddin Baki berkata, Tok Batin Emok dikisahkan pernah terpikat dengan seorang anak dara dari suku kaum Orang Asli lain yang mendiami Hulu Kenaboi di Negeri Sembilan.

“Kawasan Hulu Kenaboi ini merupakan kawasan yang boleh dilawati dengan menggunakan jalan hutan dari Kampung Janda Baik. Oleh kerana Tok Batin terbabit terlalu mencintai anak dara jelita berasal dari Hulu Kenaboi itu, maka dia pun menceraikan isterinya bernama Endut,” katanya.

Beliau yang pernah menjalankan kajian berkenaan Kampung Janda Baik berkata, setelah Tok Batin Emok berpindah ke Negeri Sembilan untuk tinggal bersama isteri baharunya, bekas isterinya Endut tinggal seorang diri di kampung asal.

Bagaimanapun, Tok Batin Emok yang pada asalnya kaya telah jatuh miskin akibat terlalu mengikut kehendak isteri mudanya yang cantik. Selepas jatuh miskin, isterinya lari ke Jelebu, Negeri Sembilan meninggalkan suaminya.

“Maka pulanglah semula Tok Batin itu ke Kampung Janda Baik. Dia mendapati jandanya tetap menunggunya dengan penuh setia dan sedia menerimanya semula sebagai suami. Mereka pun bersatu kembali dan hiduplah mereka dengan kebahagiaan. Sejak dari itu kampung ini dikenali sebagai ‘Janda Balik’ yang diambil daripada peristiwa seorang janda ‘berbalik’ kepada bekas suaminya,” katanya.

Namun, menurut Kamaruzaman, nama Janda Balik lama-kelamaan telah bertukar menjadi Janda Baik apabila perkataan itu disebut berulang kali secara cepat.


Pelajar Sekolah Kebangsaan Janda Baik bergambar di hadapan bangunan sekolah beratap rumbia yang mula dibina pada 1939.

Kemudian katanya, pada 1934, Pegawai Daerah Bentong ketika itu, Orang Kaya Shahbandar Datuk Hussain yang merupakan datuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahukan kampung tersebut diwartakan.

Katanya, sehubungan itu, orang kampung telah berpakat untuk menetapkan nama dan hasil pungutan suara, mereka telah mencadangkan tiga nama untuk diwartakan secara rasmi.

“Tiga cadangan itu adalah Kampung Tiga Haji, Kampung Hulu Benus dan Kampung Janda Balik. Nama Kampung Tiga Haji dicadangkan berdasarkan tiga orang haji yang membuka kampung ini. Cadangan nama Kampung Hulu Benus pula diambil berdasarkan kedudukan Janda Baik yang terletak di bahagian hulu kepada Kampung Benus Ulu dan Kampung Benus Hilir.

“Manakala cadangan nama Kampung Janda Balik pula diambil berdasarkan peristiwa seorang janda Orang Asli suku Temuan yang berbalik semula ke pangkuan bekas suaminya setelah diceraikan.

“Setelah dibuat pemilihan di antara tiga cadangan nama tadi, maka persetujuan diambil untuk memilih nama Janda Balik sebagai nama kampung. Nama ‘Janda Balik’ ini akhirnya diubah suai sedikit lalu menjadi nama ‘Janda Baik’,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Haji Yaseh, Haji Kadir dan Haji Idris melalui pelbagai cabaran dalam usaha mereka membuka kampung tersebut untuk dijadikan penempatan orang kampung dari Bentong.

Katanya, pada peringkat awal, ketiga-tiga mereka telah meminta kebenaran daripada Pegawai Daerah yang ketika itu adalah orang Inggeris, namun ditolak dengan alasan kawasan tersebut merupakan hutan simpan dan sekiranya diterokai dikhuatiri akan menjejaskan kawasan tersebut.

Setelah beberapa kali ditolak, akhirnya pada 1930, ketiga-tiga mereka mendapat kebenaran untuk mengusahakan penerokaan dan pembukaan Kampung Janda Baik apabila kelulusan diberikan bagi tanah berkeluasan 800 hektar bagi menggantikan kawasan Kampung Benus Ulu dan Benus Hilir yang telah ditenggelami banjir besar sebelum itu.


Buka Janda Baik selepas banjir besar

BANJIR besar yang melanda Kampung Benus Hulu dan Kampung Benus Hilir di Bentong, Pahang pada 1926 merupakan antara punca Kampung Janda Baik dibuka untuk didiami penduduk dari kampung berkenaan.

Kampung Benus di Bentong,Pahang merupakan kawasan yang didiami oleh penduduk yang kemudian berpindah ke Janda Baik bermula 1932 selepas berlaku banjir besar.

Menurut seorang pengkaji yang membuat kajian berhubung Kampung Janda Baik, Zabidi Othman, kejadian banjir besar tersebut juga telah memberi kesan kepada Kampung Ketari yang terletak kira-kira dua kilometer dari Bentong.

Katanya yang berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, oleh kerana banjir telah menenggelamkan ketiga-tiga kampung yang menjadi penempatan awal orang Melayu di sekitar Bentong maka mereka mengambil inisiatif mencari penempatan baharu yang lebih selamat di kedudukan lebih tinggi.

“Kedudukan Kampung Janda Baik di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 500 meter dari paras laut serta salirannya yang baik menjadi alternatif penting bagi penduduk Kampung Benus dan Ketari. Tambahan lagi, tanah di Kampung Janda Baik sesuai untuk bercucuk tanam termasuk sawah padi,” katanya.

Tambahnya, pada masa sama, dasar perlombongan bijih timah juga memberikan kesan kepada penduduk Kampung Ketari dan Benus apabila sebahagian besar tanah pertanian di Bentong dibeli oleh dua orang saudagar berbangsa Inggeris yang membuka lombong secara besar-besaran di kedua-dua kampung tersebut.

“Oleh itu, penduduk Melayu di sekitar Bentong (Ketari dan Benus) tidak berpeluang untuk bercucuk tanam dan mengusahakan penternakan kerana kekurangan tanah. Sebahagian besar kawasan pertanian dan penternakan mereka telah bertukar menjadi kawasan perlombongan bijih timah menyebabkan mereka terpaksa mencari kawasan baru untuk meneruskan kehidupan cara lama iaitu bercucuk-tanam dan memelihara binatang ternakan.

“Perlombongan di kawasan Batu Empat Jalan Bentong-Kuala Lumpur di Kampung Benus dan Kampung Chamang juga menyebabkan kawasan pertanian dan penternakan semakin terhad. Sebagai alternatif untuk kesinambungan hidup mereka, kawasan baru terpaksa dicari. Alternatifnya, sebahagian kecil penduduk Melayu berpindah ke Kampung Asap di Lebu, Bentong dan sebahagian besarnya berpindah untuk meneroka kawasan baru di Kampung Janda Baik, Bentong,” katanya.

Katanya, ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu pula, orang Melayu di Bentong yang takut dan bimbang telah berpindah ke Kampung Janda Baik kerana merasakan kawasan itu lebih selamat memandangkan jalan dan laluan ke situ berbukit-bukau dan sukar bagi tentera Jepun melaluinya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments