kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Janda Baik terkenal selepas nahas Cessna

Pernah dirancang jadi pusat pentadbiran negara
SEBELUM
Putrajaya wujud, Kampung Janda Baik pernah dicadangkan untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.


Abdul Rani Mat Piah

Malah kawasan kampung itu juga pernah disenaraikan sebagai antara lokasi untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun akhirnya kerajaan memutuskan untuk membinanya di Sepang, Selangor.

Menurut bekas Ketua Kampung Janda Baik, Abdul Rani Mat Piah, 78, oleh kerana ramai penduduk yang tidak bersetuju maka rancangan untuk menjadikan Janda Baik sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan dan KLIA tidak menjadi kenyataan.

“Jadi, kerajaan ketika itu memilih kawasan Sepang untuk membina Putrajaya dan KLIA. Mungkin kerana selepas rancangan itu tidak jadi, maka ramai orang luar datang membeli tanah di sini dan ada yang membina kawasan peranginan seperti calet dan resort,” katanya.



Kawasan sawah padi yang dahulunya diusahakan penduduk Kampung Janda Baik kini bertukar menjadi kawasan tanaman sayur.

Kata Abdul Rani, Kampung Janda Baik sebenarnya merupakan kawasan penanaman sawah padi yang menjadi sumber pendapatan dan makanan utama penduduk di kampung itu suatu masa dahulu.

Namun dek kerana penghijrahan golongan muda ke ibu kota, maka tiada lagi orang yang boleh mengusahakan penanaman padi di kampung itu.

Katanya, kawasan sawah padi juga telah ditukar menjadi kawasan menanam sayur-sayuran dan kolam ternakan ikan pada masa kini.

Menceritakan lanjut, Abdul Rani berkata, Kampung Janda Baik juga pernah menjadi perhatian pihak tentera Jepun suatu ketika dahulu yang masuk ke situ untuk mendapatkan bekalan makanan kerana mengetahui kampung itu mempunyai bekalan padi dan beras yang banyak.

“Ketika itu, saya masih kecil. Apabila ada maklumat mengatakan pihak tentera Jepun akan datang, maka ada orang kampung terutama kaum wanita akan lari masuk bersembunyi di dalam hutan. Selepas Jepun keluar, barulah orang kampung keluar dari tempat persembunyian,” katanya.


Piramid Melayu di Janda Baik hanya mitos
CERITA-cerita
pelik di dalam internet mengaitkan Kampung Janda Baik dengan kewujudan piramid dari tamadun Melayu lama dan dikatakan ia dibina bagi tujuan tertentu atas sebab-sebab yang menjadi rahsia.



Sebuah bukit yang terdapat di Kampung Janda Baik dikaitkan dengan mitos piramid Melayu di dalam beberapa blog internet.

Namun, dakwaan tersebut dianggap sebagai mitos dan kisah karut oleh penduduk kampung itu sendiri. Ini kerana tidak ada bukti kukuh bagi mengesahkan dakwaan tersebut, selain bentuk muka bumi yang seakan-akan piramid yang terdapat di situ.

Menurut Pegawai Perhubungan Kampung Janda Baik, Azelan Latif, dakwaan itu hanyalah cerita yang mungkin direka oleh sesetengah pihak dan disebarkan di dalam internet apabila mereka melihat bentuk muka bumi di Kampung Janda Baik itu ada yang seperti piramid yang dibina manusia.

“Kami penduduk di kampung ini sememangnya tidak pernah melihat bukti sebenar kewujudan piramid bagi tujuan rahsia kerajaan seperti yang didakwa. Malah tidak pernah pula ada orang luar yang datang semata-mata mahu mencari piramid tersebut. Tiada juga bukti mana-mana pihak berkubu di situ atau menjadikan tempat itu sebagai pangkalan atau sebagainya,” katanya.

Menurut beberapa dakwaan di dalam beberapa blog, Kampung Janda Baik menjadi lokasi kewujudan piramid yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan tamadun dahulu kala dan ada pula dakwaan yang mengatakan piramid itu kini sedang dikawal rapi oleh pihak kerajaan.

Kata Azelan, mungkin kerana terdapat bukit-bukau yang sememangnya berbentuk piramid membuatkan orang ramai menganggap dakwaan tersebut sebagai benar.

“Memang bentuk muka bumi di kampung ini seakan-akan piramid membuatkan ada orang percaya bahawa cerita itu benar. Tetapi kami di sini mengetahui bahawa itu hanyalah mitos,” katanya.


Terkenal selepas nahas Cessna
KAMPUNG
Janda Baik menjadi sebutan ramai dan popular apabila Malaysia digemparkan dengan kejadian sebuah pesawat ringan yang membawa seorang menteri Kabinet terhempas di sekitar kawasan hutan berhampiran kampung itu pada Januari 1982.


Ghazali Shafie dimandikan dengan air tolak bala oleh penduduk Kampung Janda Baik selepas peristiwa nahas Cessna di kampung itu pada 1982. -

Seorang penduduk yang juga Pegawai Perhubungan Kampung Janda Baik, Azelan Latif berkata, beliau yang masih bersekolah ketika kejadian nahas itu memberitahu terdengar berita mengenai sebuah pesawat jenis Cessna 206 telah terhempas di Kampung Som Som Hilir yang terletak di Janda Baik.

“Ketika itu, saya terdengar pesawat tersebut membawa seorang menteri Kabinet iaitu Allahyarham Tan Sri Mohamad Ghazali Shafie yang ketika itu merupakan Menteri Luar Negeri. Beliau ketika itu ditemukan terselamat apabila tersangkut di atas rimbunan pokok buluh, sementara dua lagi terkorban,” katanya.

Azelan berkata, dua yang terkorban itu ialah pembantu juruterbang, Varghese Chacko dan pengawal peribadi Mohamad Ghazali iaitu Asisten Suprintenden Charoen Daan.

Katanya, Mohamad Ghazali merupakan satu-satunya yang terselamat apabila pesawat yang dipandunya terhempas di atas rimbunan pohon buluh di kampung tersebut.

“Sejak peristiwa itu, Kampung Janda Baik mula jadi terkenal. Ramai orang dari luar yang datang ke sini ketika peristiwa itu termasuk pasukan mencari dan menyelamat. Mungkin kerana namanya yang unik dan pelik, maka kampung ini meniti di bibir-bibir ramai orang,” katanya.

Sejak dikenali katanya, Kampung Janda Baik tidak putus-putus menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja mahu berehat dan menenangkan diri dengan bercuti di situ, malah lokasi di kampung itu juga sering menjadi pilihan penerbit drama dan filem untuk menjalankan penggambaran.

Malah katanya, kampung itu juga sering menjadi lokasi tumpuan bagi golongan ternama dan berada yang memilih untuk membeli tanah di situ serta membina kediaman sama ada untuk menetap di kampung itu atau dijadikan tempat rehat hujung minggu.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments