kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anak jati bangunkan Kampung Janda Baik

Anak jati bangunkan Kampung Janda Baik

PUSAT peranginan dan percutian di kawasan tanah tinggi sememangnya menjadi identiti Kampung Janda Baik sejak ia mula popular sekitar 1980-an.


Suasana sungai di Kampung Janda Baik yang menggamit kedatangan pengunjung untuk beriadah.

Jika tidak mahu bermalam, pengunjung boleh sahaja menghabiskan masa seharian bermandi-mandi atau berkelah bersama keluarga ataupun rakan-rakan di sekitar kawasan peranginan yang tersedia di kampung itu.

Banyak calet yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan diusahakan di kampung tersebut. Namun tinjauan S2 mendapati kebanyakannya tidak mempunyai prasarana lengkap untuk menjalankan aktiviti riadah mahupun kemudahan bilik yang setaraf dengan hotel lima bintang.

Prihatin dengan keperluan itu, anak jati Kampung Janda Baik, Mohd. Fauzi A. Latif terdorong untuk membangunkan kampungnya yang semakin hari semakin padat dengan pelbagai kemudahan dengan menawarkan pakej kem motivasi bina diri.

Malah, dia juga memikirkan kawasan hijau di Kampung Janda Baik perlu dibangunkan dengan cara yang betul dan terkawal selepas melihat banyak kawasan lereng bukit diteroka sesuka hati oleh pendatang luar yang menanam halia.

Untuk itu, berbekalkan pengalaman yang ada, dia membeli tanah seluas 4.4 hektar di Kampung Cherengin dan membangunkan sebuah resort bertaraf antarabangsa, Cherengin Hills Convention & Spa Resort. Resort itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan 136 bilik penginapan pelbagai saiz termasuk lapan suite dan dua suite perdana.

Terdapat juga kemudahan kolam renang, bilik persidangan, kafetaria dan restoran yang menyajikan makanan barat, timur serta beberapa makanan popular penduduk Kampung Janda Baik.

Mohd. Fauzi yang merupakan seorang peguam menambah, matlamat utama resort itu diwujudkan adalah menjadikannya sebagai pusat sehenti program bina diri dan percutian lengkap.

“Dengan adanya pelbagai jenis bilik penginapan termasuk kolam renang, bilik persidangan, kafe dan restoran, mereka yang menginap di sini tidak perlu ke mana-mana. Mereka boleh melakukan apa sahaja di sini, lebih-lebih lagi lokasinya yang hampir dengan Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd. Fauzi yang merupakan waris kepada salah seorang individu yang mula-mula membuka Kampung Janda Baik iaitu Haji Yaseh Da’un berkata, selepas memfokuskan kepada pakej bina diri dan seminar, pihaknya kini mensasarkan untuk mempromosikan pula percutian keluarga di pusat peranginan itu.


Produk pelancongan berpotensi besar
MELALUI sepanjang jalan menuju masuk ke Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang membuatkan penulis seolah-olah sedang berada di Eropah.

Ini kerana barisan pokok-pokok konifer di lereng-lereng bukit di kiri dan kanan jalan menjadikan suasana agak berlainan daripada hutan hujan tropika yang biasanya dapat dilihat di negara ini.

Terasa sungguh segar dan nyaman apabila berada di kawasan dengan ketinggian kira-kira 500 meter dari aras laut itu, jauh dari hiruk-pikuk kota raya.

Jarak memandu ke Kampung Janda Baik tidak sampai 45 minit dari Kuala Lumpur. Justeru itu, ia memudahkan warga kota ‘melarikan diri’ daripada kehidupan yang penuh dengan tekanan.

Tidak jauh dari pintu gerbang yang menyambut pengunjung ke Kampung Janda Baik, Hutan Lipur Konifer menggamit kedatangan orang ramai ke situ.

Hutan pokok konifer itu ditanam oleh Jabatan Perhutanan sejak 1960-an bertujuan menutup muka bumi yang tidak mempunyai pokok besar, selain memenuhi industri pembuatan kertas ketika itu.

Lebih jauh ke dalam, pengunjung akan melalui empat kampung kecil iaitu Kampung Sum Sum, Janda Baik, Cheringin dan Chemperoh, selain terdapat juga kampung Orang Asli di hujung kampung.

Sepanjang melalui kesemua kampung-kampung kecil itu, dapat dilihat banyak calet serta resort kecil yang sedia menanti kedatangan pengunjung untuk menikmati sendiri kehidupan di kampung yang indah itu.

Mohd. Fauzi A. Latif

Terdapat kira-kira 40 buah calet dan resort kecil yang dibangunkan penduduk tempatan dan orang luar di kampung itu sejak Kampung Janda Baik mula popular sekitar tahun 1980-an.

“Kampung Janda Baik merupakan kehidupan yang berasaskan pelancongan. Itu adalah aktiviti utama penduduk di kampung ini yang mana ramai mengusahakan calet dan resort untuk menampung permintaan dari luar yang banyak,” demikian kata Pegawai Perhubungan Awam Kampung Janda Baik, Azelan Latif.

Katanya, tidak semua pengusaha pusat pelancongan tersebut adalah anak jati Janda Baik kerana ada juga orang luar yang membeli tanah di situ dan mengusahakan pusat percutian sendiri.

Walaupun begitu katanya, aktiviti yang mereka jalankan sebenarnya membuka ruang dan peluang untuk kampung itu terus membangun sebagai lokasi pelancongan menarik di Pahang dan seluruh negara.

Beliau berkata, bukan sahaja pengunjung dari ibu negara malah Janda Baik turut menjadi pilihan orang kenamaan yang membeli tanah dan membina kediaman di kampung itu.

“Pembinaan kilang memproses wayar kuprum terbesar di dunia iaitu Elektrisola juga memberi manfaat pekerjaan kepada ramai penduduk di sini. Selain itu, hotel bertaraf tiga bintang, Cheringin Hills Convention Spa & Resort turut melimpahkan rezeki buat anak-anak muda di kampung ini,” katanya.

Tambahnya, terdapat kira-kira 40 buah resort dan calet yang dibangunkan penduduk tempatan dan orang luar di kampung itu sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Kampung Janda Baik, Zahari Arop berkata, setiap hujung minggu, Kampung Janda Baik menerima kira-kira 1,000 hingga 2,000 pengunjung untuk berkelah bersama keluarga mahupun bermalam di pusat percutian sedia ada.

Katanya, kawasan utama perkelahan dan perkhemahan tertumpu di sekitar Pulau Santap yang mempunyai aliran sungai cetek serta tidak merbahaya kepada pengunjung.

Bercerita lanjut, Zahari berkata, Pulau Santap diberi nama apabila Almarhum Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar ketika pemerintahannya sering berkunjung ke kampung itu.

“Baginda sering bersantap di situ, selain membina sebuah istana hinggap di tebing sungai untuk beradu apabila berkunjung ke Kampung Janda Baik. Disebabkan itu, kawasan itu diberi nama Pulau Santap. Namun, istana hinggap itu telahpun dirobohkan,” katanya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments