kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Najib, Dr M, KAFA, KLIA dan Sukan

PERTAHAN NAJIB, HORMAT DR. M
Selepas Perdana Menteri Najib Tun Razak tampil menjawab kritikan keras Dr. Mahathir Mohamad, apa pula perkembangan selepas ini?

Perlahankah Dr. Mahathir atau makin kuat lagi tekanan ke atas Najib.

Awang tiada jawapan tetapi berharap Dr. Mahathir mengambil isyarat banyak pihak mahukan beliau lebih bersikap adil kepada Najib.

Seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berilah peluang kepada Najib meneruskan pentadbiran dengan caranya tersendiri. Beberapa isu yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir terutama 1MDB kini sedang ditangani termasuk di peringkat Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC).

Pada Awang, kepimpinan Najib perlu dipertahankan sambil kita terus menghormati Dr. Mahathir sebagai negarawan yang banyak berjasa.

Sesungguhnya banyak pihak yang tidak selesa dengan apa yang berlaku dan berdoa agar ada penyelesaian terbaik.

Awang sokong Najib atas banyak faktor dan pertimbangan. Prinsipnya sama. Ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, ramai termasuklah Najib dan insan kerdil seperti Awang berdiri teguh bersama beliau. Biarpun Dr. Mahathir selalu dikritik hebat atas banyak isu, ramai ke hadapan pertahankannya termasuk melalui penulisan. Sokongan itu bukan kosong tetapi bersandarkan merit dan keyakinan.

Hari ini, giliran Najib pula mendapat sokongan yang sama. Belum terlewat untuk redakan keadaan kerana jika berterusan begini dikhuatiri membawa mudarat besar kepada kedudukan politik Melayu. Apatah lagi dalam landskap politik yang jauh lebih mencabar berbanding era sebelum ini. Buktinya sudah ada pihak yang mahu menangguk di air keruh terutama DAP - tersenyum puas. Memetik komen Dr. Rais Yatim: “Ibarat antan dan lesung berlaga, beras bertabur, ayam yang kenyang.” Awang percaya bukan mustahil untuk Dr. Mahathir dan Najib bertaut kembali. Meskipun ada kenyataan Dr. Mahathir yang dilihat menghina dan membawa aib kepada Najib tetapi Perdana Menteri masih memperlihatkan kesabaran dan ketenangannya. Ruang masih terbuka.

Janganlah bermusim

Awang tidak terkejut dengan laporan utama muka depan Utusan Malaysia semalam iaitu kereta sapu dan ulat teksi kenakan caj RM800 dari KLIA ke Kuala Lumpur.

Memang melampau 10 kali ganda berbanding tambang teksi premium iaitu RM80 bagi jarak yang sama.

Tetapi itulah realiti. Awang kerap tulis tentang gejala penipuan tambang melibatkan ulat-ulat dan segelintir pemandu teksi yang bagaikan tidak terbendung.

Maka apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bertindak menerusi operasi penguatkuasaan dengan menyita beberapa buah kereta sapu, ia sangat melegakan. Tahniah.

Ketegasan seperti inilah yang sangat diharapkan. Janganlah bermusim dan hangat-hangat tahi ayam. Kalau di banyak negara termasuk China, penguatkuasaanya hebat, risikan 24 jam setiap hari dan hukumannya keras - membina kuasa cegah yang digeruni. Pegawai yang tak capai KPI juga ditukar, malah ada dipecat.

Agak menghairankan KLIA, lapangan terbang yang dibina bertaraf dunia, tidak mempunyai sistem keselamatan meyakinkan kepada penumpang. Akibatnya kita sentiasa kecundang kepada golongan yang mensabotaj imej dan ekonomi negaranya sendiri. Tetapi pihak berkuasa masih mampu senyum sengih - tanpa rasa malu.

Hinakah guru KAFA?

Rakaman video seorang guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang dihalang untuk menyerahkan memorandum menuntut kerajaan negeri Selangor menunaikan janji menaikkan gaji guru KAFA, menjadi buah mulut selepas insiden itu viral.

Ekhsan Bukharee Badarul Hisham yang bertindak mewakili hampir 10,000 guru KAFA di negeri itu, tanpa segan silu merintih dan merayu di hadapan para pengawal yang menghalangnya. Pada manifesto pilihan raya lepas, kerajaan negeri gabungan PKR, DAP dan Pas berjanji untuk menaikkan gaji guru KAFA daripada RM1,300 kepada RM1,500.

Sebagai insan kerdil, Awang tersentuh melihat insiden itu sambil mengenangkan nasib guru KAFA. Berikut sedutan rayuannya yang penuh sebak.

“Tolonglah, tolonglah, lepaskanlah, tak payah layan saya macam ini. Hina sangatkah ustaz macam saya ni, saya nak jumpa ADUN pun tak boleh. (Kerjaya) macam saya ni didik anak-anak encik. saya nak beri surat je. Tolonglah, saya merayu nak beri surat tu je. Encik bayangkan (nasib) guru KAFA. Siang ada yang jadi cleaner, malam jaga stesen minyak semata-mata kos sara hidup tinggi. Encik bayangkan gaji kami cuma RM1,212. Tolonglah... saya merayu nak hantar surat je. Daripada sebelum PRU-13, kata gaji kami nak dinaikkan RM1,500 tetapi sampai sekarang (tidak dilaksanakan) ... daripada (era) Tan Sri Khalid sampai Azmin Ali, menteri besar baharu. Asyik kaji, rancang, kaji rancang, itu je. Kerajaan negeri buat kami seperti peminta sedekah, hina sangatkah kami guru KAFA yang mengajar Alif, ba , tha. Jika hina sangat, biarlah kami berhenti kerja.”

Kepada semua, terutama Azmin, renungkanlah. Kepada Ekhsan, usah kecewa, guru KAFA tidak hina malah ia kerjaya yang mulia. Berbanding pemimpin dan parti politik yang peralat rakyat dengan janji manis semasa pilihan raya, itu barulah benar-benar hina.

Sukan jadi mangsa

Tak boleh digambarkan dek akal, kerajaan Selangor mahu gunakan slogan politik Kita Lawan yang dijaja dalam siri demonstrasi jalanan sebagai slogan kontinjen untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.

Awang tak pasti sama ada itu idea Menteri Besar Azmin Ali atau orang lain. Sesiapa yang mencadangkan slogan itu patut mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana memalukan negeri itu.

Seandainya Sultan Selangor tidak bertindak campur tangan dengan menegur penggunaan slogan tersebut kelmarin, nescaya kontinjen negeri mencatat sejarah songsang.

Ingatlah, ahli sukan atau peserta kontinjen bukannya peserta demonstrasi liar seperti yang kerap dianjurkan oleh PKR. Janganlah lacurkan sukan dengan politik kotor dan murahan. Kalau mahu berpolitik biarlah secara elegan, tidak melampau dan jagalah sensitiviti rakyat. Sekiranya Azmin ketandusan idea, Awang sedia bantu senaraikan beberapa slogan yang lebih sesuai secara percuma. Awang jamin tidak akan beri slogan kitar semula dan berbau politik. Apatah lagi siri demonstrasi Kita Lawan, ternyata telah ditolak oleh rakyat termasuk ramai ahli PKR sendiri. Kerajaan negeri diharap bertindak cepat tukar slogan. Khabarnya, sebelum teguran terbuka dibuat, ada yang degil mahu mengekalkan slogan tersebut biarpun telah diberikan maklum balas yang sama. Tolong jangan main wayang lagi. - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 12 April 2015

Tags: ekonomi, politik, sukan
Subscribe

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Muflis: Dasar pelik bank?

    WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu. Dalam satu insiden…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments