kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dokumentasi cara hidup lampau untuk mendidik

Kemajuan yang pesat mengubah cara hidup masa lampau. Teknologi moden serta gaya hidup urban terutamanya, sudah menyebabkan cara hidup masa lampau sebagai suatu tinggalan sejarah. Ada orang yang ingin melupakan sejarah. Tetapi ada orang atau institusi yang mahu memanifestasikan semula sejarah untuk tujuan mendidik.

Muzium didirikan di seluruh dunia, menempatkan artifak, kehebatan atau gambaran cara hidup masa lampau, untuk tujuan mendidik generasi baharu. Begitu juga dokumentasi dan dokumentari dihasilkan, untuk tujuan merakam budaya masa lampau itu yang boleh dihayati semula oleh generasi kini dan akan datang. Cara hidup lampau itu tidak mungkin diulang.

Bagaimanapun, melalui dokumentasi atau dokumentarinya kita dapat melihat hubungan manusia dan alam dalam sesuatu era. Kita juga dapat menyaksikan kerja tangan yang fungsional, serta memahami falsafah mereka terhadap penggunaan sumber alam. Cara hidup masyarakat Melayu juga sedang berubah dengan pantas. Oleh itu, wajar dibuat penelitian mengenai hubungan cara hidup orang Melayu terhadap fauna di sekitar mereka.

Tuhan menjadikan makhluknya, termasuk manusia, untuk menyembah-Nya, tetapi dalam masa sama Tuhan juga memberikan fauna dan flora di alam ini untuk manfaat manusia juga, sebagai makanan dan sebagainya.

Cara hidup lampau

Generasi muda Melayu masa kini, terutama yang tinggal di bandar, tidak lagi mengenal cara hidup lampau bangsanya.
Sebagai contoh, mereka tidak mengetahui jenis serta proses pembuatan alat memerangkap fauna oleh orang Melayu, sama ada untuk tujuan makanan atau hobi, atau sebahagiannya mungkin dijual bagi menambah pendapatan keluarga. Pembuatan alat ini berkembang sejak zaman purba, dengan teknologi serta ilmu yang mudah.

Bagaimanapun, apabila zaman berkembang dan teknologi semakin canggih, pembuatan serta penggunaan alat memerangkap fauna itu kian terpinggir, kecuali di kawasan yang masih terpencil atau di pedalaman. Memerangkap fauna atau haiwan yang halal dimakan oleh orang Melayu Islam adalah suatu fenomena yang lumrah. Oleh itu, orang Melayu merekacipta peralatan yang sesuai dengan haiwan yang ingin diperangkap. Ia dipadankan dengan saiz haiwan, bentuk serta bahan alat perangkap yang harus digunakan.

Fauna yang boleh dimakan bukan sahaja hidup di atas darat. Malah ada yang hidup di dalam air. Oleh kerana Semenanjung yang menjadi kediaman utama orang Melayu ada banyak parit, sungai, tasik, paya dan malah laut yang mengelilinginya, maka orang Melayu mencipta alat perangkap hidupan air ini. Orang Melayu amat mahir mencipta alat menangkap ikan, belut, udang dan sebagainya.

Menangkap haiwan yang hidup di darat, atau yang hidup di dalam air mungkin lebih mudah, jika dibandingkan dengan menangkap burung. Sedangkan banyak jenis burung halal dimakan. Ini suatu cabaran kepada orang Melayu tradisional dalam usaha mencipta alat perangkap burung yang sesuai.

Ada juga sesetengah orang Melayu menangkap burung bukan untuk dimakan, tetapi untuk dipelihara, atau dijual kerana harganya yang mahal. Burung tekukur dan merbuk adalah dua spesies yang ingin diracik oleh pemburu burung biasa. Kemudian timbul minat yang agak luar biasa terhadap spesies burung yang lebih eksotik dan mahal seperti murai batu, kelicap kunyit, candik, punai mas dan sebagainya.

Peralatan tradisional

Pembuatan dan peranan peralatan tradisional menangkap fauna dalam kehidupan masyarakat kita sudah hampir lenyap. Zaman berubah dan gaya hidup masyarakat juga sudah berbeza dari aspek latar alam, pendidikan, sosial dan ekonominya. Penternakan moden dalam kandang atau sangkar juga sudah mencapai kemajuan yang pesat.


Kemajuan serta kemodenan yang dilalui oleh masyarakat Melayu khasnya, menyebabkan kita tidak dapat mempertahankan segala yang indah dan fungsional dari masa lampau - umpamanya adat resam, cara hidup akrab berjiran, dan gotong-royong. Malah hubungan antara manusia dengan landskap alam, flora dan faunanya juga semakin membina jurang luas, terutama bagi mereka yang tinggal di kota besar.

Banyak yang sudah hilang daripada kehidupan lampau bangsa kita. Dokumentasi atau dokumentari mengenainya menjadi amat berharga. Ia menemukan semula pengetahuan dan ingatan kita terhadap cara hidup generasi sebelum kita. Ia menjadi sumber pendidikan sosiobudaya lampau yang berkesan.
Anwar Ridhwan Berita Harian Kolumnis 14 April 2015
Tags: pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments