kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harapan terhadap Akta Hasutan (Pindaan) 2015

SETELAH sekian banyak diperkatakan, terutama sekali di bahagian kedua tahun 2014 yang berakhir dengan Perhimpunan Agung UMNO apabila Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan malah akan diperkemaskan, kini draf pindaannya dibentangkan di Parlimen.

Membaca Rang Undang-Undang Akta Hasutan (Pindaan) 2015 (RUU) sekali imbas pun, ternampak perbezaan “seperti langit dengan bumi” di antara RUU itu dengan RUU Harmoni yang digubal oleh Majlis Peguam sebelumnya. Dengan jelas ternampak kesungguhan dan tanggungjawab kerajaan terhadap ketenteraman dan keamanan negara di samping profesionalisme dalam penggubalannya.

Secara peribadi, sebelum mene­liti isi kandungannya satu persatu pun, saya berasa gembira kerana teguran saya mengenai tiga “rampasan” itu telah diambil kira. Maka sekarang RUU ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri, dasar­nya di peringkat awal pun, ditentukan oleh kementerian berkenaan dan gubalan dilakukan oleh jabatan Peguam Negara. Syabas!

Antara pindaan substantif yang dilakukan ialah:

• Pertama, perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak menjadi kesalahan lagi. Mengikut huraian yang diberi, pindaan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.

• Kedua, memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perbuat­an mengapi-apikan mana-mana orang atau kumpulan orang untuk menuntut pemisahan mana-mana negeri dari Malaysia adalah perbuatan menghasut. Memandang­kan apa yang sedang berlaku di Sabah sekarang, ini memanglah wajar.

• Ketiga, apa-apa perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbu­atan menghasut dan oleh itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesa­lahan di bawah Akta Hasutan.

Ini agak memeranjatkan saya. Saya tidak fikir pindaan ini perlu, terutama sekali memandangkan kepada perkembangan akhir-akhir ini. Kritikan terhadap hakim dan mahkamah tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap ahli politik dan kerajaan. Untuk mengkritik hakim di Parlimen pun memerlukan satu usul yang disokong oleh tidak kurang daripada satu perempat ahli dewan (Perkara 127).

Mengkritik penghakiman ada caranya. Mengutuk hakim, mahkamah dan Badan Perundangan tidak sepatutnya dibiarkan. Cuma saya harap selepas ini mahkamah sendiri akan tegas dalam memakai prosiding menghina mahkamah (contempt of court). Janganlah sampai hakim-hakim dilihat sebagai “cabut” apabila dikutuk oleh penjenayah.

• Keempat, untuk menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas alasan agama. Mengikut huraian, ini selaras de­ngan hasrat kerajaan untuk melin­dungi kesucian agama yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama di Malaysia. Perbuatan menghina dan mempermain-mainkan mana-mana agama boleh menyebabkan ketidakharmonian dan mengancam ketenteraman awam. Ini satu penambahbaikan!

• Kelima, untuk menggantikan hukuman sedia ada bagi kesalahan di bawah subseksyen 4(1) dengan hukuman minimum pemenjaraan selama tempoh tiga tahun sehingga tempoh maksimum tujuh tahun dan meniadakan hukuman denda. Sebagai tambahan hukuman yang lebih tinggi juga diperuntukkan bagi kesalahan jika kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta benda telah disebabkan akibat daripada perlakuan kesalahan itu.

Dalam hal sedemikian, hukuman minimum pemenjaraan selama lima tahun dan hukuman maksimum pemenjaraan selama 20 tahun boleh dikenakan untuk mengambil kira keseriusan kesalahan itu. Ini memang wajar.

• Keenam, seksyen baru 5A memperuntukkan bahawa jika seseorang dituduh atas kesalahan di bawah subseksyen 4(1A) dan terdapat perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada orang yang kena tuduh demi kepenting­an awam, orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Peruntukan ini penting untuk mengelak tertuduh memboloskan diri.

• Ketujuh, seksyen baru 5B bertujuan memberi mahkamah kuasa untuk menghalang seseorang yang dituduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia. Ini termasuklah memerintahkan orang yang kena tuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal keadaan seseorang yang dituduh tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu.

• Kelapan, seksyen baru 6a me­nyatakan bahawa seksyen 173A, 293 dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1A). Ringkasnya, ini untuk mengelakkan penjenayah-penjenayah itu dilepaskan atas jaminan berkelakuan baik yang langsung tidak memberi kesan deterrent.

Secara keseluruhan saya meng­ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana telah mengambil kira pandangan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang cintakan ketenteram­an dan keamanan dengan melakukan pindaan-pindaan ini. Harapan saya ialah akta ini akan dilaksanakan dengan tegas. Mahkamah juga perlu memainkan peranan supaya undang-undang ini memberi kesan yang sepatutnya demi ketenteram­an dan keamanan negara.

- Tun Abdul Hamid Mohamad Utusan Malaysia Rencana 15 April 2015 1:20 AM
Tags: akta, hukum, undang-undang
Subscribe

  • Pentaksiran: Pengajaran Berasaskan Data

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10,223 sekolah…

  • Kejujuran dan Integriti Untuk Pemimpin

    Apabila anda melakukan sesuatu dengan penuh kejujuran, telus dan komitmen, input mencerminkan hasilnya. “ Kita selalu belajar tentang…

  • Pentaksiran Makluman Prestasi

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10, 223…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments