kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengapa kusut 
dan kelam-kabut?

TARIKH 1 April telah berlalu. GST telah mula dilaksanakan.

Kalau tidak silap saya, dasar cukai tersebut telah diumumkan tidak kurang dari dua tahun yang lalu. Dan segala persiapan sewajarnya telah dapat dibuat dengan lengkap, rapi dan teliti.

Tetapi sehingga ke hari ini masih ada beberapa isu yang belum selesai. Masih ada perkara-perkara yang belum jelas. Dan ada pula elemen-elemen baru yang timbul yang menimbulkan persoalan.



Kelihatan seorang pekerja Kedai Rakyat 1Malaysia menyusun barang bagi memulakan perniagaan seperti biasa tanpa kenaikan harga walaupun dengan pelaksanaan GST ketika tinjauan dilakukan di Kuala Lumpur, 1 April lalu. BERNAMA

Segala tempias dan kesan negatif telah, dan akan terus dirasai oleh kerajaan. Rakyat yang tidak puas hati akan menempelak kerajaan. Dan akhirnya pemimpin-pemimpin akan dipersalahkan.

Sebenarnya perlu diteliti di mana timbulnya kekusutan dan kelam-kabut tentang GST itu. Seperti kata orang tua-tua...“bukan salah ibu mengandung”.

Tidak boleh dinafikan bahawa pendekatan untuk menyelaras cukai-cukai terlibat di bawah sistem percukaian “Cukai Barang dan Perkhidmatan”, atau “Goods and Services Tax” atau singkatan akronimnya “GST”, adalah wajar dan baik.

Tetapi, jika suatu yang baik, mengapakah telah mendatangkan banyak masalah?

Jelas bahawa dalam memperkenalkan sesuatu dasar baru, yang secara langsung akan melibatkan rakyat sebagai pengguna, dari segenap lapisan masyarakat, maka perlu ada langkah-langkah tertentu yang perlu diambil, sebelum dasar dirumus, dan akhirnya dilaksanakan.

(1) Perlu diadakan rundingan dengan pihak2 yang berkaitan iaitu:- 
 • pertubuhan peniaga dan industri, yang kecil dan yang besar. Jangkauan liputan mesti seluas-luasnya supaya sebanyak boleh pendapat dan syor diperoleh, untuk menjadi panduan pelaksanaan.

• pihak-pihak yang mewakili pengguna dalam kalangan persatuan dan NGO, untuk mereka benar-benar memahami kesan dasar tersebut kepada mereka sebagai pengguna.

• wakil-wakil pertubuhan yang ada kaitan dengan industri dan perniagaan, seperti mewakili para akauntan supaya mereka boleh menasihatkan syarikat-syarikat yang merupakan pelanggan mereka.

(2) Apabila telah dirumuskan dasar tersebut maka penjelasan dan penerangan perlu dibuat kepada rakyat, dengan cara yang benar-benar efektif. Bukar setakat PR, atau kecekapan menggunakan media baharu.

Di sinilah berpuncanya segala masalah.

Rakyat cuma ingin tahu beberapa perkara asas, antaranya:-

Apa barang dan perkhidmatan yang disenarai sebagai “kena GST” dan apa pula “yang tidak kena GST”? Tidak ramai yang faham konsep “zero rated” kerana pada asasnya bererti “tidak kena GST” (iaitu buat masa sekarang). Jika pengguna tidak mengetahui akan senarai tersebut, maka mudah untuk mereka ditipu. Dan akan ada GST yang telah dikenakan, tetapi tidak sampai kepada kerajaan. Iaitu diambil oleh peniaga.

Bagaimana 6% GST dikenakan? Jika di restoran, adakah hanya ke atas bil untuk makanan sahaja, atau 6% juga dikenakan ke atas caj service atau caj perkhidmatan yang berupa 10% daripada bil makanan?

Sekarang ada kedai yang menge­nakan 6% ke atas makanan sahaja; Tetapi ada pula yang mengenakan 6% ke atas caj service.

Yang manakah yang betul? Jika telah terlebih bayar, maka wang tersebut akan masuk ke dalam poket pekedai.

Dan belum selesai penjelasan ini, telah timbul pula isu baru, iaitu bahawa hanya restoran dan hotel yang mempunyai “Perjanjian Kolektif”, yang boleh mengenakan caj service.

Terus menambah kelam-kabut! Padahal caj service te­lah pun dilaksanakan sekian lama! Mengapa dibangkitkan perkara yang sebenarnya bukan isu?

Dan sambil ada jabatan yang menjadikan GST bahan tarian dan nyanyian, terlalu ramai pihak dalam kerajaan yang cuba “membuat penjelasan” dan “memberi penerang­an”.

Masalahnya tiada koordinasi pendapat dan penjelasan. Masing-masing akhirnya menokok-tambah kepada kekeliruan dan kelam-kabut! Dan ada juga “pendapat dan penjelasan” tidak munasabah, sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Amatlah mengecewakan apabila sesuatu dasar yang baik telah menghadapi kusut dan kelam-kabut dalam peringkat pelaksanaannya.

Jentera kerajaan perlu belajar daripada kesilapan-kesilapan dan kekurangan-kekurangan itu.

Jika terdapat kelemahan antara peringkat penggubalan dasar de­ngan peringkat implementasi, maka wajar pembetulan dilakukan segera.

Jangan dibiarkan sehingga berlaku seperti tikus memperbaiki labu yang ditebuknya.

Kecekapan jentera kerajaan diukur dengan sejauh mana rakyat menerima baik dasar-dasar yang dirumus dan dilaksanakan. Hal ini kerana, walau bagaimana baik dan logik sekalipun sesuatu dasar itu, jika tidak diterangkan dan dibentangkan secara telus, jelas, dengan cara yang mudah, dan senang difahami, maka dasar yang baik itu akan tenggelam dalam kekusutan dan kelam-kabut yang timbul.

Dan seluruh kerajaan akan dipersalahkan!

Tags: cukai, ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments