kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Contohi pemimpin berintegriti

Topik berkenaan kepemimpinan dan pemimpin telah menjadi subjek popular bagi para penulis, termasuklah ahli akademik, penyelidik, ahli politik dan lain-lain.

Ramai antara mereka bersetuju bahawa ciri utama seorang pemimpin ialah berkelakuan baik. Kebolehan untuk memimpin adalah di tempat kedua.

Mengikut Mark Sanborn di dalam bukunya, You Don’t Need A Title To Be A Leader, kepemimpinan ialah satu seni untuk mendapatkan pelaksanaan yang luar biasa daripada seorang pekerja biasa.

Pemimpin pula ialah seseorang yang mengetuai sekumpulan orang, khususnya ketua bagi sesebuah negara atau organisasi.

Ini adalah definasi seperti yang terdapat di dalam kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary.

Harvey Robbins dan Michael Finley yang menulis di dalam buku mereka, The Accidental Leader, berkata: “Anda tidak perlu menjadi seorang yang sempurna untuk menjadi seorang pemimpin yang tertib”.

Namun, pemimpin yang sesuai untuk diikuti ialah apabila seseorang itu mempamerkan sifat atau keperibadian yang elok, antaranya ialah integriti.

Apakah yang dimaksudkan dengan integriti? Seperti yang diiklankan di dalam akhbar arus perdana, sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menggunakan perkataan integriti sebagai satu daripada tiga elemen di dalam cogan kata korporatnya.

Dua elemen lagi ialah kebijaksanaan dan kecemerlangan.

Bagi mereka, integriti ialah berkenaan sesuatu nilai dan akhlak yang betul dalam kehidupan kita. Ia dilihat sebagai tulang belakang yang memegang teguh akan sesuatu keperibadian yang positif.

Satu lagi IPTS juga mengiklankan cogan kata mereka menggunakan perkataan integriti, kualiti dan penyayang.

IPTS ketiga pula membuat publisiti seperti berikut: Integriti yang menentukan pengambilan kerja dalam dunia korporat.

Oxford Dictionary pula memberikan definasi bagi integriti sebagai sesuatu yang mempunyai kualiti dari segi amanah serta mempunyai prinsip moral yang tinggi.

Jika seseorang pemimpin itu amanah, beliau akan bercakap benar dan tidak berbohong ataupun menipu.

Moral pula bolehlah dihuraikan sebagai mempamerkan sesuatu kelakuan yang betul serta standard yang biasa diterima oleh masyarakat.

Ia juga boleh memahami serta dapat membezakan antara kelakuan yang betul dan yang salah.

Contoh yang paling cemerlang dari segi integriti ini ialah Nabi Muhammad SAW.

Ketika hayatnya, baginda Rasulullah diberikan gelaran sebagai ‘al-Amin’, yang bermaksud orang yang dipercayai.

Seorang penulis, George E. Wolf, P.E. ada mengatakan bahawa ramai antara kita suka menambah atau mereka cerita di dalam laporan, penyampaian atau semasa mengemaskinikan sesuatu program.

Ia bertujuan untuk menarik minat atau agar sesuatu laporan boleh diterima ramai.

Mengikut beliau, integriti dan mereka cerita ini adalah konsep yang tidak selari atau secocok.

Ramai juga pemimpin politik dan korporat memberikan ulasan tentang konsep integriti ini.

Antaranya adalah seperti berikut:

n Kecekapan dan kebolehan penjawat awan adalah sangat mustahak dan integriti mestilah menjadi pelengkapnya.

n Disebabkan kurang sifat integriti, ramai pemimpin korporat kecundang semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dahulu.

n Apabila anda hidup dengan amalan integriti, anda berjaya. Anda mempunyai sifat yang terbuka dan jujur. Dengan itu, kehidupan harian anda tidaklah berserabut, malahan anda kurang mengalami tekanan perasaan.

Dalam tahun 2006, Mori of United Kingdom (UK) dan Business Ethics Institute of Malaysia (BEIM) berganding bahu membuat satu soal selidik tentang 15 jenis pekerjaan.

Para responden di UK dan Malaysia mempercayai profesional berikut: Pertama ialah doktor, kedua guru dan ketiga profesor. Ahli politik diletakkan di paras bawah sekali.

Jika seseorang pemimpin mempunyai sifat integriti, dia mempunyai kebebasan untuk membuat sesuatu keputusan dengan bebas, tanpa memihak kepada sesuatu kumpulan.

Pertimbangan hanya dibuat untuk kebaikan syarikat atau organisasi yang dipimpinnya.

Seseorang pemimpin akan diikuti disebabkan para pengikut mempunyai rasa hormat serta percaya kepadanya, bukan sekadar di atas kebolehan memimpin yang dimilikinya.

Kita tidak perlu menghadiri kursus kepemimpinan di Harvard atau Cambridge untuk mengetahui bahawa ujian asid seseorang pemimpin ialah untuknya menoleh ke belakang.

Ini adalah bertujuan untuk mengetahui sama ada masih ada lagikah para penyokong yang mengikutnya.

- Kamaruddin Hassan Shah Alam Utusan Malaysia Rencana 16 April 2015
Tags: integriti, pemimpin
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments