kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengguna bijak, peniaga sengsara pening dengan caj pelbagai

Rakyat semakin pening dengan caj pelbagai

PELANGGAN membeli kereta dan selepas segala proses dokumentasi selesai, pembeli menyedari bahawa dia tidak diberikan tayar. Aduan dibuat dan syarikat pengeluar kereta berkenaan memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi membincangkan sama ada perlu atau tidak tayar berkenaan diberikan kepada pembeli. Situasi ini seperti tidak masuk akal tetapi ia seakan sama dengan apa yang berlaku di negara ini.

Selain cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang masih memeningkan rakyat, caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan tambah mengusutkan lagi kepala pengguna. Faktanya ialah GST menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sebelum ini berada pada kadar antara lima, enam dan 10 peratus mengikut kategori barangan. Jadi apa rasionalnya caj perkhidmatan dalam industri hotel dan makanan itu mahu dibincangkan lagi.

Orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan mempersoalkan sama ada hasil kutipan caj perkhidmatan itu disalurkan kepada pekerja atau untuk keuntungan sampingan syarikat. Hakikatnya, kutipan tersebut seharusnya diberikan oleh pengguna atas layanan dan perkhidmatan pekerja kepada pengguna.

Sepatutnya sebelum GST bermula pada 1 April lalu, semua perkara berbangkit perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada rakyat. Perancangan GST bukannya suatu perkara baharu sebaliknya kajian demi kajian mengenainya telah dibuat kerajaan sejak lebih 30 tahun lalu iaitu pada 1983, dengan sebagai permulaannya satu pasukan dihantar ke Korea Selatan bagi mengkaji pelaksanaan sistem cukai berkenaan di negara tersebut.

Pada 1988 semasa Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa kerajaan bakal melaksanakan GST dan pada 1992, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST dalam Bajet 1993 tetapi kemudiannya ditangguhkan.

Pelaksanaannya timbul semula apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 mengumumkan pelaksanaannya dalam Bajet 2005. Pada 2009, Rang Undang-Undang GST dibaca untuk kali pertama, namun pelaksanaannya belum diputuskan sehinggalah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 bagi dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Sebagai seorang tukang masak, masakan yang bakal dihidangkan kepada pelanggan semestinya yang terbaik. Mungkin selera pengguna berbeza, ada yang sukakan rasa pedas atau kuahnya lebih tetapi perkara asas seperti kena masukkan garam atau gula dalam masakan adalah perkara terpenting. Pendekatan malas iaitu meminta pengguna mengecap masakan sama ada garamnya telah dimasukkan atau tidak, merupakan satu ‘dosa besar’ dalam arena masakan.

Memang tidak salah untuk tukang masaknya membawa keluar dan menghulurkan bekas garam kepada pelanggan, respon daripada aduan yang dibuat, namun air muka dan maruah penyedia makanan itu pastinya akan terjejas.

Isu perasaan tidak berpuas hati rakyat terhadap caj 10 peratus ini bukannya perkara baharu, sebaliknya pernah dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada 28 Februari lalu semasa menyampaikan penerangan mengenai GST, Bajet 2015 dan isu-isu semasa, pada majlis bersama penduduk Kampung Larut Tin, Taiping, Perak.

Berikut antara jawapan beliau, “Jadi saya nak beritahu pengguna supaya jangan bayar caj perkhidmatan 10 peratus itu jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan pihak hotel atau restoran yang mengenakan caj itu.”

Ketegasan kerajaan amat diperlukan, kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji caj tersebut? Rakyat semakin keliru dengan isu-isu berbangkit seperti ini. Caj ini perlu dihapuskan serta-merta jika tidak pengguna terpaksa membayar cukai sebanyak 16 peratus - caj perkhidmatan 10 peratus dan GST enam peratus. Kemarahan rakyat semakin membuak-buak, di merata tempat, sama ada dalam Facebook, WhatsApp, laman sosial lain, kedai kopi, pasar raya, stesen minyak, kedai gunting rambut dan segala tempat melibatkan transaksi duit, rata-rata meluahkan perasaan marah mereka.

Mana penyelesaiannya, apakah perlu dibiarkannya menjadi sejuk dengan sendiri? - Tarmizi Abdullah Utusan Malaysia Rencana Dimensi 16 Aril 2015

Pengguna bijak, peniaga sengsara
"Gunakanlah hak anda sebagai pengguna’ - Itulah peringatan yang sering dilaungkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kerajaan kepada orang ramai.

Peringatan itu diberikan berdasarkan hakikat bahawa pengguna adalah faktor penentu jatuh bangun seseorang peniaga. Tidak kira apapun perniagaan yang mereka jalankan, golongan peniaga memerlukan sokongan pengguna.

Tetapi malangnya, acap kali pengguna gagal menggunakan hak mereka. Sebaliknya, apa yang sering kita saksikan apabila berlaku kenaikan harga barang atau berhadapan dengan peniaga tamak, jari dituding kepada kerajaan khususnya KPDNKK.

Satu perkara yang harus difahami, buatlah sebanyak mana pun peraturan, wujudkanlah sebanyak manapun undang-undang atau lancarkanlah seberapa banyak pun operasi ini tidak akan mendatangkan apa-apa hasil selagi pengguna masih leka dan tidak mahu menggunakan kuasa yang ada pada mereka.

Kuasa kerajaan melalui KPDNKK hanyalah berusaha untuk melakukan langkah sebaik mungkin untuk memantau dan membanteras peniaga tamak. Tetapi kuasa pengguna lebih besar kerana mereka berupaya menentukan sesuatu perniagaan itu mampu bertahan atau tidak.

Tetapi persoalannya, apakah pengguna di negara ini benar-benar menggunakan hak mereka sepenuhnya? Sama ada hendak akui atau tidak, sebahagian besar kita tidak menggunakan kuasa itu sebaik-baiknya. Tidak kira sama ada mak cik di kampung atau eksekutif di syarikat swasta. Kesemua mereka mempunyai hak sebagai pengguna.

Di dalam laman web KPDNKK yang boleh dilayari di http://www.kpdnkk.gov.my sudah dijelaskan secara terperinci lapan hak-hak pengguna iaitu hak mendapat keperluan asas, hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk menyuarakan pendapat, hak untuk mendapat ganti rugi, hak untuk mendapat pendidikan pengguna dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan bersih.

Soalnya, adakah kelapan-lapan atau salah satu daripada hak itu digunakan sepenuhnya oleh pengguna? Apa yang sering sahaja kita dengar hanya keluhan mengenai kos barang yang semakin meningkat dan perbuatan peniaga tamak yang masih bermaharajalela.

Dalam berhadapan isu-isu itu kerajaan melalui KPDNKK tidak duduk diam, sebaliknya pelbagai usaha dilakukan sama ada melalui kempen mahupun operasi. Tetapi sekali lagi ini tidak akan berkesan jika pengguna masih belum mahu menggunakan hak mereka sepenuhnya.

Isu mengenai hak pengguna ini penulis bangkitkan ketika isu berhubung caj perkhidmatan sedang hangat diperdebatkan. Ada yang mahu caj ini dimansuhkan dan ada pula pihak yang mempertahankannya.

Sementara menanti apa keputusan rasmi yang akan dibuat oleh kerajaan, adalah wajar jika pengguna menggunakan hak mereka untuk `memboikot’ atau tidak mengunjungi mana-mana restoran atau hotel yang masih mahu membebankan pengguna dengan mengenakan caj itu.

Langkah itu perlu dilakukan kerana seperti mana kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris - “Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran kerana kutipan bayaran itu tidak ada kena mengena langsung dengan pengguna sebaliknya perkara itu terkandung dalam syarat dan perjanjian antara majikan dan pekerja.’’

Menyentuh soal ini, penulis teringat satu peristiwa di sebuah restoran di Seremban baru-baru ini, apabila seorang pelanggan enggan membayar caj perkhidmatan sebanyak 10 peratus yang dikenakan. Walaupun restoran itu memaparkan notis berhubung caj tersebut namun pelanggan itu tetap enggan membayarnya kerana berpendapat itu hak beliau memandangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sudah dilunaskan.

Apa yang menariknya, bantahan pelanggan itu dihormati oleh pengusaha restoran tersebut. Tetapi soalnya berapa ramaikah yang mempunyai sikap seperti pelanggan itu. Mungkin dari segi undang-undang restoran atau hotel berhak mengenakan caj itu tetapi pelanggan masih keliru kerana sebelum ini mereka difahamkan hanya perlu membayar GST sahaja bukan caj perkhidmatan.

Sudah pasti kekeliruan ini akan ditangani oleh KPDNKK melalui jawatankuasa khas caj perkhidmatan yang akan ditubuhkan. Tetapi pengguna tidak boleh bergantung kepada kerajaan atau kementerian semata-mata bagi menangani permasalahan itu.

Pengguna perlu menggunakan hak mereka habis-habisan. Jangan berikan sedikit pun ruang kepada mana-mana peniaga untuk mengambil kesempatan. Perlu ada keberanian dan sikap menentang mana-mana peniaga yang tamak.

Ini memandangkan kerana sikap pengguna `yang terlalu baik’ itulah yang memungkinkan wujudnya peniaga tamak. Mereka akan mengambil kesempatan kerana mengetahui pengguna di Malaysia tidak akan menentang `perbuatan jahat’ mereka. Sebab itulah apabila ada sahaja ruang untuk menaikkan harga mereka akan mengambil kesempatan. Sebagai contohnya, peniagalah paling cepat naik harga apabila harga bahan bakar naik tetapi mereka paling liat untuk menurunkan harga jualan apabila harga bahan bakar turun.

Tetapi apa yang pengguna lakukan bagi mengajar ketamakan peniaga-peniaga seumpama itu? Boleh dikatakan tidak ada. Sebaliknya yang kita saksikan dalam laman-laman sosial KPDNKK dan kerajaan diserang habis-habisan. Malah paling memualkan ia dijadikan isu politik.

Kalau dalam sesuatu isu pengguna laman sosial ini boleh menggesa orang ramai memboikot sesebuah restoran makanan segera atas sentimen agama atau ada kaitan halal dan haram - walaupun kadang kala ia tidak pasti - kenapakah dalam soal berhadapan dengan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan khususnya ketika GST mula dilaksanakan mereka tidak berbuat demikian?

Sememangnya kos sara hidup semakin meningkat tetapi boleh dikawal jika orang ramai menggunakan kuasa mereka kerana pengguna bijak akan memastikan peniaga tamak sengsara. Justeru jangan sia-siakan hak anda.   - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 16 April 2015 2:16

Tags: cukai, ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments