kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wajar mansuh 
caj perkhidmatan

POLEMIK tentang cukai yang pengguna perlu bayar nampaknya masih belum reda. Tatkala isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa mulai 1 April lalu terus mencetuskan pelbagai perdebatan dan persoalan dek kerana kekeliruan dan salah faham kini timbul pula isu mengenai caj perkhidmatan yang masih perlu ditanggung pengguna walaupun sudah membayar GST. Ini menjadikan pengguna terpaksa membayar dua caj pada satu masa.


SEORANG pelanggan menunjukkan resit pembayaran yang tertera makluman tentang 10% caj perkhidmatan dan 6% GST yang dikenakan ke atas pelanggan di sebuah restoran di sekitar Kangar, Perlis, baru-baru ini.

-

Antara caj perkhidmatan yang terus menjadi pertikaian dalam kalangan pengguna mahupun persatuan pengguna dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain adalah caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan yang dilihat jelas tidak adil kepada pengguna.

Pengguna seolah-olah dipaksa membayar dua cukai iaitu GST dan caj perkhidmatan.

Maka ramai pihak menyambut baik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek baru-baru ini yang memaklumkan bahawa kerajaan sedia menimbang untuk memansuhkan caj perkhidmatan 10 peratus dalam industri hotel dan makanan jika dilihat tidak adil kepada pengguna.

Apa yang pasti, andai caj ini dihapuskan, pengguna hanya perlu membayar harga barang dan perkhidmatan sahaja tanpa caj sampingan dan pihak majikan tidak boleh memanipulasi pekerja mereka.

Senario semasa menunjukkan pengguna sangat keliru dengan caj perkhidmatan yang dikenakan ini.

Isu caj perkhidmatan ini mengelirukan pengguna selepas pelaksanaan GST kerana kebanyakan pengguna beranggapan ini adalah caj di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Rata-rata semua pihak merangkumi orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan turut mempersoalkan sama ada hasil kutipan caj perkhidmatan itu disalurkan kepada pekerja atau keuntungan sampingan syarikat.

Sepatutnya kutipan tersebut diberikan oleh pengguna atas layanan dan perkhidmatan pekerja kepada pengguna. Tetapi adakah itu yang berlaku selama ini?

Amalan dan penetapan semasa adalah caj perkhidmatan bagi industri perhotelan adalah tetap pada kadar 10 peratus manakala caj perkhidmatan bagi industri makanan dan minuman adalah dari lima hingga 10 peratus.

Dalam keadaan sekarang masyarakat mula sangsi dengan matlamat GST kerana pada peringkat awal kerajaan memberi jaminan bahawa cukai ini berperanan meringankan beban tetapi kini realitinya pengguna terpaksa membayar dua cukai yang berbeza.

Maka dalam konteks ini kerajaan wajar masuk campur dan selesaikan isu ini dengan segera.

Sebagai pihak berkuasa dan pembuat dasar dan keputusan kita berharap agar pihak kerajaan tidak hanya mengkaji tetapi \bertindak lebih agresif dengan memansuhkan caj perkhidmatan ini dengan segera.

Hal ini penting kerana sejak 1 April isu GST sudah mula memberikan pelbagai cabaran kepada pihak kerajaan terutamanya dengan peningkatan aduan serta kekeliruan dalam kalangan pengguna yang merasakan diri teraniaya kerana berlakunya peningkatan harga barangan serta kos sara hidup secara keseluruhannya.

Maka kerajaan tidak boleh membiarkan isu ini berpanjangan lagi. Cukuplah dengan GST jangan biarkan peniaga terus menekan pengguna dengan pelbagai strategi licik yang lain seperti ini.

Jelas hak pengguna sangat dicabuli dalam hal ini. Banyak teka teki dan polemik dicetuskan oleh caj perkhidmatan ini.

Apakah benar pekerja dapat balik kutipan caj ini oleh pihak hotel dan pengusaha restoran?

Hakikatnya jumlah caj tersebut sepatutnya diberikan pelanggan hanya jika mereka berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan yang telah diberikan. Bukan hak pengusaha untuk menentukan kadarnya. Tetapi itu tidak berlaku pada hari ini.

Apa yang menjadi pertikaian dan kekhuatiran dalam kalangan pengguna adalah caj perkhidmatan yang dikutip ini tidak diberikan kepada pekerja, sebaliknya hanyalah menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha yang jelas tidak adil kepada pekerja dan juga pengguna.

Justeru dalam hal ini penulis sangat bersetuju dengan saranan dan gesaan beberapa persatuan pengguna dan juga badan bukan kerajaan yang mahukan kerajaan lebih tegas dalam hal ini dengan terus memansuhkan saja caj perkhidmatan terbabit demi kebajikan pengguna.

Misalnya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap kerajaan tidak membuang masa untuk mengkaji caj perkhidmatan yang dikenakan pengusaha restoran dan hotel terhadap pengguna, sebaliknya perlu bertindak tegas menghapuskan bayaran itu dengan segera.

Menurut Presiden CAP SM Mohamed Idris, langkah itu perlu kerana masyarakat hari ini kerap mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu bertolak ansur terhadap pengusaha restoran, hotel dan syarikat telekomunikasi hingga membebankan mereka sebagai pengguna.

Tambah beliau, pengusaha restoran dan hotel seolah-olah mengambil kesempatan terhadap ‘kelembutan’ kerajaan dengan memberi alasan caj perkhidmatan lima hingga 10 peratus yang dikenakan terhadap pengguna itu akan diberikan kepada pekerja.

Pandangan yang sama turut disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang melihat caj perkhidmatan tidak lagi wajar dikenakan pada masa sekarang. Katanya, kerajaan seharusnya mengikut corak sendiri dan bukan berpandukan negara yang mengamalkan pelaksanaan cukai ini. Caj perkhidmatan memang tidak diperlukan dan seharusnya di buang terus daripada sistem kerajaan.

Jelas sekarang pengguna semakin tertekan dan mula dibebani dengan pelbagai bayaran tambahan selain GST yang sedia ada.

Dalam situasi ini kita tidak mahu menambah lagi beban rakyat dengan caj perkhidmatan seperti ini apatah lagi ini bakal memberi signal yang kurang baik terhadap imej dan kemampuan kerajaan dalam menangani isu seperti ini sekali gus membela nasib dan kebajikan pengguna.

Kita harap agar kerajaan tidak terpedaya dengan pelbagai alasan yang dikemukakan oleh pihak majikan demi mempertahankan caj perkhidmatan terbabit yang jelas hanya menguntungkan mereka dan semakin menekan dan merugikan pengguna.

Tidak logik jika kerajaan menerima alasan pengusaha hotel dan restoran itu kerana kutipan bayaran itu tiada kena-mengena langsung dengan pengguna, sebaliknya terkandung dalam syarat serta perjanjian antara majikan dengan pekerja.

Justeru, kenapa pengguna yang dikambing hitamkan ataupun dijadikan sebagai mangsa keadaan?

Tags: cukai, ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments