kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenangan banjir dan bot penambang

Kenangan bot penambang Sungai Perak

Sebelum Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah siap dibina pada 2002, penduduk di Sayong menggunakan bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak.

Mereka mengelak untuk melalui Jambatan Iskandar kerana jarak yang jauh, selain perlu menggunakan kenderaan sendiri.

Seorang pengusaha bot persiaran Sungai Perak, Azmi Nordin (gambar), 42, memberitahu sebelum tahun 2002, Sungai Perak meriah dengan kegiatan bot penambang.

“Kira-kira 20 tahun lalu, saya sudah mula berjinak-jinak dengan perusahaan bot penambang. Masa itu, saya tolong ayah kutip tambang, bersihkan bot, ikat tali dan sebagainya.

“Memang meriah pada waktu itu. Sehari boleh dapat RM80 hingga RM100, berpusu-pusu orang beratur hendak naik bot. Pada waktu itu juga, bot yang digunakan lebih besar berbanding sekarang.

“Sejak jambatan dibina, tiada lagi orang hendak seberang sungai dengan bot penambang,” katanya.

Tambahnya, pembinaan jambatan tersebut memang baik walaupun pengusaha bot penambang tidak dapat lagi menyediakan khidmat untuk menyeberangi sungai.





PENDUDUK dari Sayong turut membawa motosikal menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Perak sekitar tahun 1990-an.

“Sejak jambatan dibina, kebanyakan pengusaha telah menukar pekerjaan mereka,” katanya.
Mengimbas nostalgia bot penambang, katanya, beliau mengenakan caj RM1 dan kebanyakan penumpang adalah penduduk kampung yang mahu ke bandar Kuala Kangsar. Menariknya, ada yang turut membawa motosikal naik ke atas bot.
“Itulah kenangan di Sungai Perak. Sekarang, saya mengusahakan bot persiaran untuk bawa pengunjung menyusuri sungai bagi melihat pemandangan bandar Kuala Kangsar dari Sungai Perak,” ujarnya.

Banjir besar tenggelamkan istana

Apabila bertandang ke Kuala Kangsar, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk melawat tempat-tempat bersejarah di sana dan mengabadikan kenangan dengan bergambar di lokasi-lokasi menarik.

Namun, jika mengkaji sedikit tentang sejarah dan latar belakang bandar Kuala Kangsar, sebenarnya daerah tersebut menyimpan begitu banyak kenangan yang terpahat dalam hati penduduknya termasuklah beberapa peristiwa seperti perkhidmatan bot penambang, banjir dan sebagainya.



SEBUAH panggung wayang di Kuala Kangsar ditenggelami air dalam peristiwa banjir pada tahun 1967.

Peristiwa banjir yang seringkali melanda Kuala Kangsar turut menjadi catatan dalam sejarah pembangunannya apabila bencana tersebut memaksa pembinaan istana baharu yang didirikan di puncak Bukit Chandan.

Peristiwa yang berlaku pada tahun 1926 itu telah menenggelamkan sebahagian besar kawasan perkampungan di Sayong termasuklah Istana Sultan Perak. Sejak peristiwa tersebut, istana baharu dibina di atas bukit untuk mengelakkan istana tenggelam akibat banjir.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Shahrom Abdul Malik (gambar), faktor banjir di Kuala Kangsar khususnya dalam kawasan bandar berpunca daripada kedudukan geografinya yang terletak berdekatan Sungai Perak dan berhampiran Banjaran Titiwangsa.



Shahrom Abdul Malik

“Bandar Kuala Kangsar terletak dekat dengan Sungai Perak. Selain itu, kedudukannya juga berhampiran dengan Banjaran Titiwangsa yang menerima limpahan air hujan dari sana sehingga menyebabkan air Sungai Perak naik mendadak.

“Bencana banjir pernah melanda bandar Kuala Kangsar sejak tahun 1897. Namun, peristiwa banjir terburuk pernah melanda kawasan ini pada 1926 yang turut menyaksikan beberapa daerah di negeri lain turut ditenggelami air seperti Kuala Lumpur.

BUKIT Chandan yang menempatkan Istana Iskandariah adalah lokasi baharu selepas istana lama di Sayong tenggelam akibat banjir.

“Selepas peristiwa banjir di sini, beberapa buah empangan telah dibina untuk mengatasi masalah tersebut. Empangan Bersia merupakan yang pertama dibina, kemudian beberapa empangan lain turut dibina seperti Temenggor dan Kenering untuk mengatasi masalah banjir secara berperingkat, selain menjana tenaga elektrik untuk penduduk seluruh negeri Perak,” katanya ketika ditemubual S2.

Tambah beliau lagi, peristiwa banjir yang berlaku di Kuala Kangsar banyak memberi impak kepada pembangunan bandar dan ekonomi penduduk.

“Dalam sektor pelancongan, banyak usaha sedang dilakukan seperti pembinaan hotel dan tempat-tempat rekreasi. Namun, banjir yang berlaku pada tahun lalu telah menenggelamkan hotel di persisiran Sungai Perak.

“Selain itu, terdapat beberapa kemudahan pelancongan turut terjejas seperti jeti Sungai Perak dan beberapa kawasan berhampiran sungai.

“Apabila tiba musim tengkujuh, air sungai naik mendadak akibat pelepasan air dari empangan di hulu Sungai Perak,” ujarnya.

Selain peristiwa banjir, Sungai Perak juga menyimpan pelbagai kenangan buat penduduk Kuala Kangsar terutama bagi mereka yang pernah menggunakan bot penambang untuk ke seberang.

Tags: heritage, sejarah, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments