kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tentera British letupkan Jambatan Victoria , kurang satu jadi seratus

Tentera British letupkan Jambatan Victoria

Di Kuala Kangsar, setiap jambatan menyeberangi Sungai Perak mempunyai sejarahnya yang tersendiri seperti Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah yang merupakan manifesto wakil rakyatnya untuk menghubungkan Sayong dengan pusat bandar.

Justeru, Jambatan Victoria turut mempunyai signifikannya selain menjadi jambatan pertama di Kuala Kangsar dan antara tertua di Malaysia yang menjadi laluan sehala kereta api untuk menyeberangi Sungai Perak.

Jambatan yang terletak di Karai itu dibina pada tahun 1892 dan siap pada 21 Mac 1900. Ia merupakan laluan bagi kereta api barang yang mengangkut arang batu di Enggor untuk dibawa ke Singapura.


JAMBATAN Victoria yang pernah diletupkan tentera British semasa Perang Dunia Kedua kini menjadi salah satu destinasi
tarikan pelancong di negeri Perak.

Menurut Pengarah Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim (gambar), Jambatan Victoria adalah salah sebuah tinggalan sejarah yang penting di Kuala Kangsar serta mempunyai nilai estetik tersendiri.

“Disebabkan sumbangan dan peristiwa yang pernah berlaku ke atas Jambatan Victoria, maka ia diabadikan sebagai warisan di Kuala Kangsar, di samping bangunan-bangunan bersejarah yang lain.

“Jambatan tersebut pernah menyaksikan kemaraan tentera Jepun dari arah utara tanah air sewaktu penjajahannya pada Disember 1941. Antara peristiwa penting adalah British meletupkan jambatan tersebut untuk menghalang tentera Jepun menyeberangi Sungai Perak.

“Malangnya, Jepun telah membina semula jambatan tersebut dengan menggunakan kayu dari pokok yang terdapat di kawasan berhampiran dan mengarahkan penduduk tempatan membinanya,” katanya ketika ditemui S2 di Muzium Perak.

Jelas beliau lagi, selain peperangan, Jambatan Victoria turut terkesan dengan bencana banjir yang beberapa kali melanda Kuala Kangsar.

“Pembinaan Jambatan Victoria yang bermula pada 1892 pernah tertangguh akibat banjir besar yang menyebabkan air sungai naik sehingga 17 meter lebih tinggi daripada paras biasa sekitar enam meter dan arusnya menjadi deras.

“Pembinaannya kemudian diteruskan sehingga siap sepenuhnya pada 1900 dan dinamakan Jambatan Victoria sempena ulang tahun kelahiran Ratu Victoria di England pada 1897 sewaktu pembinaan berlangsung.

“Laluan kereta api sehala tersebut telah dirasmikan oleh Sultan Perak ke-28 iaitu Almarhum Sultan Idris Mursyidul Azam Shah I dan Gabenor Jeneral British Sir Frank Swettenham,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, khidmat Jambatan Victoria ditamatkan pada 2002 selepas kerajaan membina jambatan baharu sebagai landasan berkembar untuk menambah baik operasi perkhidmatan kereta api tanah air.


Kurang satu 
untuk jadi seratus

Pengunjung yang melawat bandar Kuala Kangsar seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menaiki bot menyusuri Sungai Perak bagi melihat sendiri keindahan pemandangan Bandar Diraja itu.



JAMBATAN Sultan Abdul Jalil Shah dibuka pada 2002 bagi menghubungkan pusat bandar Kuala Kangsar dan Sayong.

Bandar ini mendapat jolokan Bandar Diraja sejak abad ke-19 sewaktu pemerintahan Sultan Perak ke-27, Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah. Pada waktu itu, baginda mendirikan istana di Sayong.

Daratan pesisiran Sungai Perak di Kuala Kangsar adalah kawasan tanah rendah dan merupakan sebuah kuala yang ke-99 jika mudik ke hulu dari Selat Melaka.

Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Datuk Dr. Dzulkarnain Abdul Rahman, sejarah Kuala Kangsar adalah sebuah cerita yang panjang dan tidak dapat lari daripada istilah Bandar Diraja.

“Ia mungkin wujud sejak kurun ke-16 atau lebih awal daripada itu. Pada waktu itu hanya terdapat beberapa buah perkampungan dengan binaan yang menggunakan kayu dan papan.

“Sumber ekonomi bagi penduduk ketika itu adalah menangkap ikan, bertani, mengusahakan kebun getah, ternakan dan sebagainya. Kemudian, selepas kemasukan British, ada industri melombong arang batu di kawasan Enggor.

“Itulah serba ringkas asal bandar Kuala Kangsar ini yang turut dikenali sebagai bandar yang terkenal dengan labu sayong,” katanya kepada S2.

Mencari sejarah nama Kuala Kangsar, Dzulkarnain yang juga ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Perak berkata, perkataan Kuala Kangsar bersempena dengan kedudukannya sebagai kuala ke-99 di Sungai Perak.



JAMBATAN Iskandar merupakan jambatan terawal yang menghubungkan penduduk di kawasan Sayong, Kota Lama Kiri, Kota Lama Kanan dan Karai.

“Saya tidak pasti jika ada tanjung atau kuala menghala ke hulu Sungai Perak selepas Kuala Kangsar. Daerah itu mendapat nama daripada istilah ‘Kurang Sa’ iaitu lagi satu untuk cukup seratus.

“Kiraan kuala bermula dari Bagan Datoh (laut Selat Melaka) hinggalah ke Kuala Kangsar yang mana terdapat 99 kuala dan tanjung. Daripada perkataan ‘Kurang Sa’, lama kelamaan perkataan itu menjadi Kangsar selepas cara sebutan diringkaskan seperti sekarang.

“Namun, ada juga cerita lain yang berpendapat bahawa Kuala Kangsar mendapat nama daripada sebatang pokok Kangsar yang terletak di kuala tebing Sungai Perak. Bagaimanapun, tiada cerita lanjut tentang sejarah tersebut dan saya lebih yakin dengan kisah ‘Kurang Sa’,” ujarnya.

Di samping itu, sejarah Kuala Kangsar mempunyai pengaruh yang besar dalam pentadbiran negara sewaktu pemerintahan British pada awal kurun ke-19, menjadikan daerah bersejarah itu sebagai pusat pentadbiran Tanah Melayu sebelum Kuala Lumpur.

MURAL yang dihasilkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar menghiasi bangunan-bangunan lama dalam kawasan bandar.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak, Rozali Suhardi, berkata, ketika itu Kuala Kangsar menjadi pusat pentadbiran bagi negeri-negeri bersekutu.

“Istana Iskandariah menjadi Istana Negara apabila negeri Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan diletakkan dalam sebuah sistem persekutuan iaitu Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

“Istana yang terletak di Bukit Chandan itu pernah menjadi tempat Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) yang pertama dan telah dipengerusikan oleh Sir Frank Swetthenham iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu serta turut dihadiri Sir Charles Mitchell sebagai wakil British.

“Kemudian, persidangan tersebut ditukar lokasinya di Kuala Lumpur selepas disertai negeri-negeri tidak bersekutu iaitu Johor, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 1948,” katanya.

Beliau menambah, Kuala Kangsar menyimpan seribu kenangan buat penduduknya dan antara peristiwa yang pasti diingati adalah bencana banjir besar pada 1967 yang banyak mempengaruhi pembangunan di Bandar Diraja itu.

Tags: heritage, sejarah, warisan
Subscribe

  • Paying the price for being young and reckless

    CLOSE to 25,000 Malaysians from Gen Y – defined as those below the age of 35 – have officially been declared bankrupts in the past five…

  • Seeking greater awareness

    SINCE the inception of the Credit Counseling and Debt Management Agency (AKPK) in 2006, the total number of consumers seeking its service has grown…

  • Youth bankruptcy

    I RECEIVED a WhatsApp message recently about two youths. One of them graduated from a university with a RM60,000 student loan and the other…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments