kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tokoh hebat dari Kuala Kangsar dan labu sayong

Labu Sayong Kuala Kangsar

Selain
gelaran Bandar Diraja, Kuala Kangsar juga terkenal dengan identitinya dalam industri kraf iaitu labu sayong yang sering dijadikan cenderahati ataupun tanda kenangan apabila berkunjung ke sana.

Labu sayong pada suatu ketika dahulu hanyalah digunakan sebagai bekas tembikar untuk menyimpan air minuman. Sejarah asalnya juga dikatakan datang dari mukim Sayong di Kuala Kangsar.

Bekas tembikar tersebut dikatakan telah wujud sejak ratusan tahun dahulu dan hanya boleh diperolehi di Kuala Kangsar kerana bahan mentah iaitu tanah liat yang digunakan untuk membuatnya hanya terdapat di daerah Sayong sahaja.

Terdapat nasihat orang tua-tua dahulu menyatakan air yang disimpan di dalam labu sayong mempunyai khasiat tersendiri seperti dapat menyejukkan badan.

Menurut seorang pengusaha labu sayong, Ridzuan Hamli,48, tidak mustahil air yang disimpan dalam bekas tembikar itu mempunyai khasiat memandangkan bahan yang digunakan untuk membuatnya terdiri daripada bahan mineral semula jadi iaitu tanah liat.





PENGGUNAAN acuan antara inovasi pembuatan untuk menghasilkan labu sayong dengan cepat dan banyak. INOVASI labu sayong telah dipelbagaikan untuk kegunaan tertentu seperti bekas simpanan, tabung, lampu dan sebagainya. RIDZUAN Hamli menunjukkan labu sayong buatannya yang boleh dijadikan barang hiasan selain menyimpan air.


“Salah satu keunikan yang terdapat di Kuala Kangsar adalah labu sayong dan ia menjadi identiti bagi daerah ini. Bila orang nampak labu sayong, mesti ingat Kuala Kangsar.

“Labu sayong diperbuat daripada sejenis tanah liat yang hanya terdapat di sebatang sungai dekat Kampung Kepala Bendang, Sayong.

“Sepanjang saya mengusahakan labu sayong, belum pernah lagi saya mendengar atau terbaca tempat lain ada tanah liat sebaik di sini. Ciri-ciri tanahnya adalah tidak berbau, sesuai untuk menakung air dan tidak mudah pecah,” katanya kepada S2.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kegunaan labu sayong kini tidak lagi hanya sebagai tempat menyimpan air, malah turut dijadikan sebagai perhiasan.

“Saya masih lagi menjual labu sayong yang boleh menyimpan air, cuma permintaan sekarang banyak kepada barangan perhiasan seperti pasu bunga, lampu tidur dan sebagainya.

“Inovasi pembuatan labu sayong sekarang sudah berkembang. Ramai orang menjadikan bekas tembikar ini sebagai cenderahati untuk tetamu dan hadiah.

“Selain itu, ada juga yang menempah dalam kuantiti yang banyak terutama labu bersaiz kecil sebagai pemberian buah tangan kepada tetamu untuk majlis perkahwinan,”ujarnya.


Tokoh hebat dari Kuala Kangsar

Selain dikenali Bandar Diraja, Kuala Kangsar turut terkenal sebagai tempat yang melahirkan ramai ikon-ikon negara dan tokoh korporat.

Bandar itu pernah menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin di Tanah Melayu, gabenor-gabenor British dan para bangsawan untuk menghantar anak-anak mereka ke situ.



KOLEJ Melayu Kuala Kangsar kini menawarkan program Diploma Baccalaureate yang akan membawa pelajar melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia.

Terdapat dua kategori pendidikan yang diketengahkan sewaktu pemerintahan British iaitu pendidikan barat dan pendidikan agama.

Antara sekolah-sekolah terkenal di Kuala Kangsar adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Madrasah Idrisiah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom.

Sekolah-sekolah tersebut dahulunya dikenali sebagai tempat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang hebat. Hal itu diakui sendiri oleh Pengetua MCKK, Anand Baharudin.

“Tujuan asal penubuhan sekolah ini pada 1905 adalah untuk mendidik golongan elit Melayu yang terdiri daripada kerabat diraja yang bakal memegang tampuk pemerintahan negeri pada waktu itu.

“Kemudian, selepas tahun 1947, skop kemasukan pelajar diperluas dan MCKK mula menerima pelajar daripada masyarakat umum. Sungguhpun begitu, mereka perlu memenuhi kelayakan akademik tertentu,” katanya kepada S2.

Ujar beliau lagi, MCKK sehingga kini komited dalam menerapkan aspek-aspek kepimpinan kepada 706 pelajarnya melalui pelbagai akiviti ekstra kurikulum.








Pengetua MCKK, Anand Baharudin

Pengetua Madrasah Idrisianh, Khairul Anwar El Syazalli Musa


“Di MCKK, ada pelbagai persatuan serta majlis perwakilan pelajar. Justeru, ia secara tidak langsung melatih mereka dengan aspek-aspek seperti kemahiran kendiri, kepimpinan dan pentadbiran. Selain itu, mereka turut didedahkan dengan aktiviti sukan dan sukan paling terkenal di sini ialah ragbi,” katanya sambil memberitahu tradisi kepimpinan tersebut telah lama diamalkan dan mungkin ia merupakan salah satu faktor ramai nama-nama besar kini merupakan alumni MCKK.



MADRASAH Idrisiah turut menyumbang dalam bidang pendidikan di Kuala Kangsar dan melahirkan ramai tokoh-tokoh agama.

Antara nama-nama besar graduan MCKK ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Hussein; Pakar Motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan penulis tersohor, Allahyarham Ishak Muhammad atau dikenali sebagai Pak Sako.

Turut melahirkan pemimpin-pemimpin hebat dalam bidang agama ialah Madrasah Idrisiah yang diilhamkan oleh Sultan Perak ke-28 iaitu Almarhum Sultan Idris Mursyidul Azam Shah pada 1917.

Menurut Pengetuanya, Khairul Anwar El Syazalli Musa, madrasah itu adalah sekolah di bawah kelolaan Sultan Perak yang bertujuan memberi pendidikan seimbang antara agama dan akademik.

“Sekolah ini banyak sejarah. Sumbangannya pada negara tidak boleh dinafikan. Salah seorang pendidik yang pernah mengajar di sekolah ini ialah datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Sheikh Abdullah Fahmi, seorang tokoh ulama terkenal.

“Selain itu, Sultan Perak ke-30, Almarhum Sultan Iskandar Shah juga pernah mengajar di sini. Malah baginda turut menubuhkan kuliahnya sendiri iaitu Kuliah Iskandar.

“Memang banyak tokoh agama lahir dari Madrasah Idrisiah. Lapan Mufti Perak adalah alumni madrasah ini termasuk Tan Sri Dr. Harussani Zakaria,” ujarnya.

Tags: heritage, sejarah, warisan
Subscribe

  • Pakar Pakau

    Saya sedang membaca beberapa berita sensasi di portal media apabila satu mesej WhatsApp diterima bersama satu lampiran fail disertakan. Mesej…

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments