kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendidikan teras masyarakat maju

SETELAH hampir 58 ta­hun Malaysia mencapai ke­mer­dekaan, sistem pen­didikan negara telah mengalami ba­nyak perubahan. Terba­haru, kerajaan mengumumkan Pe­lan Pembangunan Pendidikan Ma­laysia, Pengajian Tinggi atau lebih dikenali sebagai PPPM (PT) 2015-2025. Pelan ini merupakan kesinambungan PPPM 2013-2025. Dengan inisiatif ini, lengkaplah perancangan kerajaan untuk mentransformasikan sis­tem pendidikan negara.

Sebelum ini, melalui PPPM, sistem pendidikan prasekolah sehingga ke tingkatan lima menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). KBAT dilaksanakan bagi menepati piawaian antarabangsa. Tidak cukup dengan itu, KBAT mampu melahirkan modal insan yang berfikir di luar kotak, krea­tif, kritis dan inovatif. Dengan ini, modal insan Malaysia bukan sahaja berdaya saing di pasaran kerja domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.



KEJAYAAN pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sematan, Lundu, Sarawak yang beberapa kali memenangi Pertandingan Robotik Kebangsaan peringkat negeri antara elemen daya saing yang ditekankan dalam KBAT. GAMBAR HIASAN

Dalam suasana masyarakat dunia yang semakin kompleks dengan idea-idea terkini, mahu tidak mahu masyarakat Malaysia juga perlu mengetahui situasi semasa dan ke­sannya pada masa depan. Tunjangnya ialah daya pemikiran tidak boleh kaku dan lesu apabila berhadapan dengan sesuatu isu semasa. Pelbagai persoalan yang sukar perlu ditangani dan dijawab secara terbaik agar akhirnya sebarang keputusan mendatangkan kebaikan kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Bagi melestarikan modal insan yang secara konsisten dilatih supaya cemerlang dalam semua aspek kehidupan, PPPM (PT) dibentuk agar menekankan aspek etika, kerohanian dan moral. Sekali lagi negara memerlukan ramai modal insan yang bukan setakat terbaik, seimbang, berdaya saing dari sudut intelektual dan emosi tetapi juga cemerlang sahsiah.

Masyarakat Malaysia yang masih kuat berpegang pada adab ketimur­an sejak sekian lama perlu belajar bahawa betapa rosaknya sistem masyarakat negara-negara maju yang meminggirkan aspek kerohanian dan keagamaan. Itu bezanya mereka dengan kita. Meskipun diasak dengan pelbagai idea Barat yang majoritinya bersifat fahaman dan idea yang terlalu berkiblatkan sistem duniawi yang individualistik dan materialistik. Maka, berkecamuklah masyarakat mereka sampaikan segala penyelewengan besar yang berlaku berpunca daripada tangan-tangan mereka.

Misalnya, sudah acapkali dunia dilanda krisis ekonomi ekoran tangan-tangan mereka yang meminggirkan etika, kerohanian dan mo­ral. Dalam satu sudut, masyarakat kita terlalu dibuai dengan dakyah kononnya mereka itu mengamalkan prinsip etika yang hebat. Namun, kita terlupa bahawa etika yang diamalkan oleh mereka telah melahirkan insan-insan yang telah merosakkan sistem ekonomi dunia sebagaimana contoh paling tepat berlaku pada tahun 2008 dan pelbagai krisis penyelewengan korporat yang dilakukan oleh mereka. Episod-episod krisis ekonomi dan penyelewengan korporat akan sentiasa diulang-ulang pada masa akan datang selari dengan kosong­nya roh kerohanian masyarakat mereka yang terus menerus mencabar amal­an agama sebenar yang datang­nya dari Yang Maha Esa.

Dalam hal ini, para pelapis ke­pimpinan negara tidak boleh menjadikan Barat sebagai ikutan yang terus menerus mencabar adat dan adab ketimuran. Walhal, asakan demi asakan pemikiran dan tingkah laku mereka yang meminggirkan agama untuk mempengaruhi ge­nerasi muda amat tidak sesuai dalam masyarakat Malaysia.

Apalah gunanya kita dapat melahirkan masyarakat yang terlalu hebat dalam pelbagai bidang tetapi akhlaknya diikat dengan amalan yang cukup rendah budi pekertinya seperti biadab dan sombong. Sewajarnya, lebih tinggi ilmu seseorang maka lebih merendah diri kerana mengetahui bahawa ilmu yang diperoleh datangnya dari Allah SWT. Jika ilmu yang ada melahirkan masyarakat yang riak, sombong, hasad dengki, mementingkan diri dan hanya berasakan dirinya sahaja yang betul, maka tunggulah keruntuhan masyarakat yang amat dahsyat sama sekali.

Jadi, sistem pendidikan negara yang menggabungkan PPPM dan PPPM (PT) merupakan intipati pro­ses pembelajaran sepanjang hayat yang menghasilkan rakyat Malaysia berakhlak tinggi. Malah, melalui kedua-duanya, generasi muda mempunyai keupayaan berdikari sebagai penjana pekerjaan.

Modal insan pada masa akan datang tidak boleh lagi bertindak sebagai pencari kerja kerana ia akan membuatkan masyarakat kita berada di takuk yang sama. Dengan iltizam untuk menjayakan Model Baharu Ekonomi (MBE), setiap daripada modal insan yang bakal memasuki pasaran kerja perlu menjana peluang-peluang pekerjaan sendiri melalui kemahiran keusahawanan yang tinggi kerana ia mampu melipat gandakan pendapatan untuk mereka.

Sebab itulah dari awal lagi ge­nerasi muda dilatih agar mempu­nyai KBAT supaya mereka ini sentiasa mempunyai kekuatan menyelesaikan masalah dalam menghadapi dunia ekonomi baharu pada masa akan datang. Aspek keusahawanan sebagai penjana pekerjaan telah membuktikan banyak kejayaan dalam kalangan negara-negara yang berpendapatan tinggi. Lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dijana oleh mereka, lebih tinggilah prospek ekonomi negara kita berada pada nilai rantaian tinggi bertunjangkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang bersifat dinamik.

Dengan kemahiran-kemahiran tinggi dan terkini berpaksikan penge­tahuan yang luas akan membantu memacu serta melonjakkan ekonomi Malaysia. Pendidikan negara terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu meluaskan ilmu pengetahuan mereka. Bahkan mereka yang berusia juga boleh meningkatkan ilmu pengetahuan melalui sistem pembelajaran secara separuh masa sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran. Dengan kata lain, sistem pendidikan negara tidak sesekali mendiskriminasikan mana-mana pihak.

Tidak cukup dengan itu sistem pendidikan negara juga menekankan aspek teknikal dan vokasional kepada mereka yang kurang meminati bidang akademik di universiti-universiti awam dan swasta. Ilmu bukanlah hanya hak eksklusif untuk mereka yang berada di menara gading semata-mata. Bahkan, ilmu itu berada di mana-mana sahaja menanti kita mencarinya melalui sistem pendidikan yang digubal bersesuaian dengan budaya, agama dan sosial masyarakat Malaysia. Yang pasti, setiap daripada kita bertanggungjawab merealisasikan pendidikan sebagai teras kepada masyarakat maju yang bukan setakat berjaya di dunia semata-mata tetapi juga memenuhi kebijaksanaan me­nuju kecemerlangan di akhirat yang hakiki sifatnya.

Tags: kbat, pendidikan, pppm
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments