kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apabila UMNO menyerang Jho Low dan Siti kagum Che Det

Apabila UMNO menyerang Jho Low

Apabila UMNO mulai menyerang dan membuat laporan polis terhadap bilionaire Cina asal Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low) yang kini menetap di New York kerana menyindir UMNO sebagai 'putar belit', seorang rakan meminta reaksi saya. Tanpa berfikir panjang sebab sudah lama berfikir tentang Jho Low, saya menjawab, “Suatu yang sangat menarik.”

Dia tanya lagi, apakah yang menariknya? Saya menjawab, itu satu pembuka jalan untuk kita mengetahui misteri Jho Low yang didakwa mempunyai hubungan dengan syarikat pelaburan negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Bagaimanapun pihak kerajaan dan 1MDB sendiri menafikan perkara tersebut. Malah Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia 15 Februari lalu menafikan Jho Low mempunyai kaitan dalam 1MDB tetapi tidak mengakui pernah bertemu dengan Jho Low.

Kepada Mingguan Malaysia, Arul berkata, “Saya pernah berjumpa dengannya (Jho Low) di Kuala Lumpur. Ini sama seperti saya berjumpa dengan orang lain yang terlibat dalam dunia perniagaan kerana saya berada dalam sektor perbankan. Tetapi Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB dan saya tidak menjumpai sebarang dokumen yang mengaitkannya dengan syarikat ini.”

Tetapi baru-baru ini dalam satu temu bual dengan akhbar Financial Daily, Jho Low didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup semua ke­pincangan yang berlaku dalam 1MDB dan menyifatkan pemimpin UMNO sebagai ‘kaki putar belit’. Beberapa pemimpin UMNO peringkat bahagian mendesak Jho Low pulang dan memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu 1MDB.

Dakwaan Jho Low ini menjadi antiklimaks kepada penafian banyak pihak bahawa dia tidak terlibat dengan 1MDB. Adakah ini sengaja diada-adakan oleh Jho Low untuk menjatuhkan reputasi kerajaan dan UMNO. Dakwaan begini sangat serius dan sudah semestinya ada tindakan susulan supaya imej negara, 1MDB dan UMNO tidak tercalar.

Bagi saya perkembangan terbaharu ini adalah cukup baik untuk menyingkap misteri Jho Low yang sudah lama berlegar dan menjadi topik sembang di kedai kopi hingga restoran lima bintang. Misterinya bukanlah kekayaan yang luar biasa tetapi selepas dikaitkan dengan syarikat milik kerajaan yang sememangnya sudah kontroversi.

Daripada kontroversi ini, ada pula yang berkata apa perlunya mendesak Jho Low memberikan penjelasan kepada PAC? Bukankah dia tidak terlibat dengan 1MDB? Malah desakan UMNO seolah-olah mengesahkan Jho Low ada memberikan ‘khidmat’ kepada syarikat tersebut. Adakah ini menunjukkan UMNO lebih tahu hubungan Jho Low dengan 1MDB berbanding Arul yang belum panas kerusi Presiden yang didudukinya?

Sementara itu Pemuda UMNO pula mencabar dan membuat laporan polis terhadap Jho Low. Saya menyanjung keberanian semua tindakan UMNO yang memperlihatkan iltizam untuk membersihkan nama yang telah dibusukkan oleh bilionaire tersebut seolah-olah UMNO mengawal operasi 1MDB.

Tetapi janganlah setakat membuat laporan polis sahaja. UMNO juga kena memastikan supaya Jho Low bertanggungjawab terhadap dakwaannya. Yang lebih penting Jho Low perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan "putar belit” itu. Harap tindakan proaktif ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Sebabnya misteri Jho Low ini sekiranya tidak dirungkai akan meninggalkan persepsi buruk kepada kerajaan.

Pada masa sama serangan balas UMNO kena pada masa dan tempatnya. Sekiranya mendiamkan diri atau menyorok kepala macam burung kasawari, bukan sahaja rakyat negara ini tetapi di seluruh dunia menganggap memang benar ada kaki ‘putar belit’ dalam UMNO. Ini memberikan imej buruk kepada parti yang majoriti dalam kerajaan.

Jadi, apa yang diharapkan ialah Jho Low menyambut cabaran UMNO dan menjelaskan apa, di mana dan kenapa dia menjadi ‘kambing hitam’ dalam isu 1MDB. Tidak kira sama ada sebagai ‘orang tengah’, ‘orang tepi’ , ‘orang-orang’ atau ‘bayang-bayang,’ yang penting mesti jawab. Tentulah tidak adil selepas dia melemparkan tuduhan liar terhadap UMNO di luar negara tetapi tidak berani mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhannya.

Kekaguman Siti kepada Dr. Mahathir sejak dulu

Saya harap tidak ada pihak yang membuat tafsiran bahawa kenyataan Siti Nurhaliza menyokong bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad sebagai politik. Siti meluahkan pandangan ini dalam twitternya baru-baru ini.

Malah saya tidak fikir Siti mahu terlibat dengan pergolakan dalam UMNO sekarang. Bagi saya kenyataan Siti bukanlah suatu yang luar biasa kerana kenyataan serupa telah diucapkan berulang kali sejak mula menjadi penyanyi lebih kurang 20 tahun lalu.

Dalam banyak tulisan tentang Siti sejak dulu lagi, dia selalu merakamkan kekagumannya terhadap Dr. Mahathir. Saya percaya ketika demikian 20 tahun lalu bukanlah kerana Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Jadi, kalau 20 tahun dulu kenyataan Siti tidak pernah diambil endah atau tidak ambil “pot” oleh orang politik, kenapa kenyataan kali ini pula harus dibaca, ditilik atau dibina persepsi sebagai kenyataan politik? Perkara itu memang berlaku dalam politik tetapi jangan samakan orang politik dengan orang biasa.

Kalau Siti seorang ahli politik sudah tentu dia tidak melahirkan sokongan terbuka kepada Dr. Mahathir pada hari ini walaupun pernah berkata ayat yang sama suatu masa dulu. Kalau dia membuat juga, alamat jangka hayat politiknya akan pendek kerana tidak pandai membaca firasat catur politik.

Tetapi Siti bukanlah ahli politik. Walaupun begitu pengaruhnya berjaya merentasi batas politik yang sempit. Dunia politik yang disempitkan itulah melahirkan sesetengah orang politik yang juga sempit kepalanya. Mereka sanggup bermuka-muka dan tidak akan menyanggah waima dikatakan bulan berwarna hijau. Ini bukanlah suatu yang luar biasa, malah yang tidak berbuat demikian pula dianggap luar biasa.

Oleh kerana itu seseorang pemimpin, tidak kira pada peringkat mana sekalipun tahu bahawa sokongan kepada mereka bukanlah semuanya ikhlas. Sampai masa hanya rakyat biasa sahaja bersama pemimpin berjasa, juak-juak politik lompat entah ke mana.

Bagaimanapun orang macam Siti yang tidak ada kepentingan politik akan terus menyokong pemimpin yang pernah berjasa. Malah rakyat terus menghormati sekalipun sudah tidak berjawatan lagi.

Saya harap Siti tidak akan dipandang serong oleh pihak tertentu ekoran tulisan di twitternya. Sebaliknya sesetengah orang politik yang oportunis perlu mencontohi Siti yang menghormati pemikiran sendiri. Saya kagum dengan bekas Menteri Pertanian, Aziz Ishak yang sanggup dipecat oleh Tunku Abdul Rahman kerana percaya dia melakukan tindakan yang betul. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana Anekdot Ahad 19 April 2015

Tags: ekonomi, politik
Subscribe

  • Education is a learning curve

    TERTIARY level students, especially those in their final year, are a step away from graduation and have one foot in the working world. I must admit…

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • Do academic understand ‘unwrapping standards’?

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are able to…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments