kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jamaludin Jarjis tokoh belakang tabir

INTELEKTUAL, komited dan baik hati. Tiga perkataan itu menyimpulkan karakter bekas Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dari sudut pandangan mereka yang pernah mengenali rapat dan bekerja bersamanya sebelum beliau terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada tanggal 4 April lalu.

Sumbangan bekas Ahli Parlimen Rompin itu kepada negara amat besar sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat sedih dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai satu tragedi besar.

Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Jamaludin seorang yang amat komited dengan kerjanya dan akan buat sehabis baik untuk mencapai apa yang beliau mahu buat.

Katanya, Allahyarham juga suka menolong orang dan selalu ke hadapan dalam jika ada masalah bagi membantu menyelesaikannya. “Malam sebelum kejadian itu, saya dan Tan Sri makan malam dengan orang UMNO Bahagian di Pekan, Pahang. Semasa pemasangan khemah untuk jamuan itu, lampu beberapa kali padam dan menyala semula.

“Dengan latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik, Tan Sri menjadi juruelektrik tengok apa masalah. Dia kemudian meminta pekerja di situ mencabut wayar kipas bagi mengelak berlaku ‘power trip’,” katanya.

Diiktiraf Amerika

Tengku Sariffuddin yang banyak mengenali Jamaludin kerana sama-sama bekerja di Jabatan Perdana Menteri berkata, kehilangan Jamaludin amat dirasai kerana Allahyarham banyak melakukan kerja penting di belakang tabir termasuk dalam memperluaskan hubungan diplomatik, politik dan strategik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

“Sebab itu, apabila beliau meninggal dunia, banyak rakaman takziah dan penghargaan diberikan oleh pihak AS termasuk oleh Setiausaha Negaranya, John Kerry dan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC). Malah, Kedutaan Amerika di Malaysia mengibarkan bendera separuh tiang sebagai memperingati Allahyarham.

“Mereka akui peranan Tan Sri di belakang tabir banyak menyumbang kepada hubungan kedua-dua buah negara. Tan Sri sebenarnya banyak memberikan sumbangan dari segi perkara yang tidak dihebahkan di media tetapi ia menyumbang kepada kejayaan perancangan dan program,” ujarnya.

Sepanjang berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dari 2009 hingga 2012 dan Duta Khas Malaysia ke AS selepas itu, sumbangan Allahyarham dalam meletakkan hubungan Kuala Lumpur dan Washington ke tahap paling tinggi memang diakui ramai.

Lawatan Presiden AS, Barack Obama ke negara ini pada tahun lalu yang merupakan kunjungan pertama presiden negara itu ke Malaysia dalam tempoh 48 tahun selepas kunjungan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966, antara bukti kejayaan usaha yang dibuat oleh Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias masih terasa kehilangan Jamaludin sehingga hari ini kerana sudah menganggap bekas Pengerusi perbadanan itu sebagai mentor dan abang kandungnya sendiri.

Beliau yang bekerja bersama Jamaludin sejak Allahyarham di Kementerian Kewangan pada 2002, menyifatkan bekas Menteri Kewangan Kedua itu sebagai seorang yang cerdik dan mempunyai pemahaman serta boleh membuat analisa mendalam terhadap isu-isu semasa yang memberi kesan kepada rakyat.

“Kita nampak di permukaan sahaja tetapi arwah pergi lebih mendalam untuk faham isu-isu begini. Arwah juga seorang yang kalau sudah faham sesuatu isu, beliau akan ghairah dengan perkara itu dan akan buat sampai berjaya untuk kebaikan rakyat.

Sumber rujukan

“Sebagai individu, arwah seorang lelaki yang bijak. Sebagai bos, saya melihat beliau sebagai mentor. Saya banyak belajar dari cara pemikirannya yang berstruktur. Sebagai seorang yang mempunyai doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, apabila menganalisa isu, arwah tengok secara berstruktur,” katanya.

Menurut Abdul Mutalib, sebagai seorang rakan, beliau amat senang apabila mengadakan perbincangan intelektual dengan Jamaludin kerana Allahyarham sentiasa memberikan peluang kepadanya untuk mengutarakan idea, walaupun tidak semestinya pandangan itu diterima.

“Semua staf PR1MA merindui beliau. Arwah ini ibarat, kalau kita ada isu yang tidak boleh selesai, kita cari beliau dan arwah akan beri kita jalan atau cara menyelesaikan masalah. Beliau adalah sumber rujukan kepada kami semua.

“Satu lagi perangai arwah ialah kalau beliau terfikir atau teringat sesuatu benda penting atau masalah di tengah malam atau dalam kereta, arwah tidak akan catit dalam buku nota atau tunggu esok, sebaliknya beliau akan terus hubungi pegawai untuk melihat isu tersebut,” tambah beliau.

Katanya, Allahyarham juga seorang yang amat sensitif terhadap orang susah dan tidak pernah menolak jika orang meminta bantuan daripada beliau. “Saya pernah tengok dengan mata saya sendiri arwah ini banyak bantu orang susah, buat kerja kebajikan dan hal-hal Islamiah terutamanya dakwah. Kalau orang minta bantuan, saya tidak pernah tengok beliau kata tidak,” ujarnya.

Semua kakitangan PR1MA juga faham benar bahawa Jamaludin amat menggemari masakan ikan patin sehingga hidangan itu sudah menjadi ‘trademark’ dan kemestian dalam setiap program perbadanan itu kerana Allahyarham selalu bercerita tentang masakan kesukaannya itu, tambah Abdul Mutalib.

Kejadian yang menimpa Jamaludin turut memberikan kejutan besar kepada angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kerana Allahyarham selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada masa itu bertanggungjawab menjayakan program Angkasawan Negara dengan kerjasama Rusia.

Kata Sheikh Muszaphar, walaupun tidak mengenali Jamaludin secara rapat, Allahyarham tiga kali datang melihat beliau menjalani latihan di Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin di Star City, Moscow, Rusia bagi memastikan segalanya berjalan lancar sebelum berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Tan Sri sering memastikan saya sentiasa menjaga kesihatan dan berpesan kepada saya supaya melakukan yang terbaik untuk negara apabila pergi ke angkasa. Saya lihat Tan Sri seorang yang berjiwa besar, periang dan mempunyai visi besar dan tahu apa yang beliau hendak buat. Beliau seorang yang sentiasa berfikir,” katanya.

Menurut Sheikh Muszaphar, selepas kembali dari angkasa, beliau beberapa kali pernah mengikut Jamaludin berjumpa dengan penduduk Rompin dan melihat Allahyarham menjaga kawasannya dengan baik sehingga amat disenangi rakyat.

Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham ialah dalam satu majlis perkahwinan di Pahang dua bulan lalu dan dalam pertemuan itu, Jamaludin meminta beliau supaya meneruskan usahanya menggalakkan golongan belia menjadi usahawan.

“Tan Sri ada minta saya buat buku meja kopi (coffee-table) tentang kisah penjelajahan saya ke angkasa dari awal hingga akhir dengan gambar yang belum pernah disiarkan sebelum ini. Buku ini sudah siap minggu lepas tetapi saya terkilan kerana Tan Sri tidak sempat melihatnya,” ujarnya.

Orang yang hebat akan memilih pemikiran yang menguatkannya, tetapi orang yang lemah akan memilih pemikiran yang menjatuhkan semangat dan keyakinannya. Yakinlah dengan konsep pemikiran "Reset Minda, iaitu ADA – BERI – DAPAT”. Konsep pemikiran ini merumuskan bahawa, kita hanya dapat apa yang kita fikir, rasa dan buat. Kalau kita mendapat sesuatu peristiwa atau perkara yang tidak elok, maka hal ini bermakna kita telah melakukan sesuatu perkara yang tidak elok. - Amizul Tunizar Ahmad Termizi Utusan Malaysia Rencana 19 April 2015 1:02 AM

Tags: politik, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments