kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Langkah Wan Azizah'

Selepas Langkah Kajang yang mengunggulkan Da­tuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai 'hero’ pen­ye­la­mat kemelut politik Selangor pada 2014, kini PKR dan DAP mahu mengusung orang yang sama sebagai Ketua Pembangkang.

Wan Azizah, 63, bagi PKR dan DAP sekali lagi mahu 'di­boneka’ sebagai ketua mereka di Parlimen. Setelah Langkah Kajang gagal di Selangor akibat gerakan halus Pas, kemahuan kedua-dua parti ini seperti tidak lagi boleh dihalang.

Mereka mahu mencalonkan Wan Azizah mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ter­humban ke penjara gara-gara perbuatan liwatnya. Sehingga hari ini, Wan Azizah merupakan satu-satunya calon popular untuk bertanding di P44.

Sejak kerusi P44 ini diumumkan kosong, Wan Azizah se­perti lipas kudung berkejaran di serata Permatang Pauh untuk bersama penduduk. Wan Azizah malah turut ke­li­ha­tan bersama program kerajaan DAP Pulau Pinang. Begitu se­kali DAP mahu mengangkat Wan Azizah. Rasanya tidak sukar untuk menelah apa yang tersirat di sebalik kemahuan DAP itu.

Dulu, Wan Azizah pernah dipersembahkan oleh PKR dan DAP melalui Langkah Kajang selepas nafsu Anwar ter­ganjal akibat perbuatan liwat. Kini, orang yang sama ma­hu dipersembahkan untuk jawatan Ketua Pembangkang meng­gantikan Anwar melalui kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Barangkali satu kebetulan kerana menggunakan cara yang sama dan plot cerita yang sama. Di Kajang, Wan Azizah menggantikan Anwar dan di Permatang Pauh ini, sekali lagi beliau menjadi pengganti diri.

Sekali lagi juga, ini tidak lebih merupakan kisah per­se­teruan politik antara PKR dan DAP dengan Pas. Lagi-lagi, ini semua angkara Anwar. Selama manakah kita boleh bersabar membuang waktu dan tenaga untuk mengurus orang ini dan keluarganya?

Di Kajang tanpa restu Pas, DUN Kajang dikosongkan pa­da Mac 2014 kononnya demi perjuangan ke Putrajaya dan menghalang cita-cita UMNO. Tetapi apa yang berlaku Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diganti.

Mujurlah Pas dapat mengubah strategi kotor Langkah Ka­jang. Orang nombor dua PKR, Azmin Ali akhirnya yang dipilih menjadi Menteri Besar. Wan Azizah pula dibiarkan terkebil-kebil mengurus DUN Kajang.

Begitu juga di Permatang Pauh, kehadiran Pas seperti tiada nilainya. PKR dan DAP seperti sengaja tidak mengen­dah­kan mesej Pas yang menolak keluarga Anwar dinobatkan sebagai pemimpin utama.

Wan Azizah terang-terang ditolak oleh Pas untuk menjadi Menteri Besar. Tidak faham-fahamkah mereka?

Atau ini mungkin strategi PKR dan DAP sebagai signal bahawa pendirian Pas kini tidak lagi penting dalam gerakan pakatan pembangkang? ‘Pedulikan Pas’ barangkali sesuai un­tuk dijadikan slogan baharu mereka.

Realitinya Pas menurut tafsiran mereka tidak akan berada dalam kedudukan sekarang tanpa sokongan PKR dan DAP. Pas hanya mampu menjadi jaguh di Kelantan. Barangkali be­narlah analisis pemimpin DAP bahawa Pas yang akan rugi jika meninggalkan pakatan. Inilah yang mahu DAP dan PKR buktikan.

Mereka pun sudah mendapat pengganti. Persatuan Um­mah Sejahtera Malaysia (Pasma), pertubuhan bukan ke­ra­jaan serpihan Pas sudah dipersiapkan menggantikan ke­tia­da­an Pas kelak.

Bagaimanapun Pas be­lum membuat pendirian ras­mi tentang calon P44. Se­takat ini bantahan Pas hanya dibuat secara sen­yap-senyap. Pas masih ma­hu berbudi bahasa dan menjaga adab berkawan.

Seperti yang berlaku di DUN Kajang, Wan Azizah mempunyai peluang untuk menang di Permatang Pauh. Berdasarkan rekod, Parlimen ini adalah kubu Anwar. Sejak 1982, sama ada masih bersama BN atau PKR, kawasan ini umpama milik mutlak Anwar dan isterinya.

Ini merupakan kali ke­dua selepas 26 Ogos 2008, pilihan raya kecil diadakan di Permatang Pauh yang mempunyai 70,760 pen­g­un­di itu. Apa yang berlaku di Permatang Pauh ini bah­kan tidak pernah terjadi da­lam sejarah pilihan raya Malaysia.

Pada 2008, Wan Azizah meletakkan jawatan un­tuk memberikan laluan ke­­pada suaminya itu. Ka­­li ini, pilihan raya di­adakan berikutan usaha ter­akhir Anwar memohon pengampunan diraja ditolak.

Biarpun adegan berulang tetapi orang Permatang Pauh selama ini tidak jelak untuk terus memilih orang yang sama. Sejak 1982, orang yang sama itulah silih berganti bertakhta di mata majoriti pengundi di situ.

Entah apa keramatnya. Entah apa manfaatnya tetapi rea­litinya Permatang Pauh tak ubah seperti milik keluarga ini. Setelah 33 tahun berlalu iaitu sejak 1982, mampukah Anwar dan Wan Azizah mempertahankan rekod aneh ini?

Kali ini, pada 7 Mei ini, senario berbeza berbanding pada pilihan raya umum 2013 mahupun pilihan raya kecil 2008. Pada pilihan raya kecil 2008, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi.

Pada pilihan raya umum 2013 pula, Anwar mem­per­ta­hankan kedudukannya dengan majoriti menurun iaitu 11,721 undi sahaja. Walaupun dari segi data sejak 1982, undi yang diperoleh Anwar dan Wan Azizah sentiasa turun naik tetapi data itu wajar membuatkan jentera pilihan raya pakatan pembangkang resah.

Atas kertas, Wan Azizah ada kelebihan untuk memper­ta­hankan kerusi P44 walaupun tanpa sokongan penuh Pas. Berulanglah drama Langkah Kajang dan kita pula, untuk kesekian kalinya akan terus dihidangkan dengan cerita po­li­tik yang sama. - Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana Warung Rakyat 19 April 2015

Tags: pilihanraya, politik
Subscribe

Posts from This Journal “pilihanraya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments