kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Merotan anak hanya isu orang Melayu?

ISU merotan anak masih mendapat perhatian ramai. Buktinya, liputan Bicara Persada bertajuk ‘Rotan: Mendidik atau Mendera?’ yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru dihadiri lebih 300 orang - melepasi separuh daripada jumlah sasaran yang dijangkakan pihak penganjur!

Merotan anak menjadi isu kontroversi setelah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada 24 Januari 2015 mencadangkan agar Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda bagi menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah. Seperti diduga, sebahagian besar rakyat Malaysia melenting dengan cadangan itu.

Rata-rata meluahkan rasa terkilan kerana Malaysia ‘tergamak’ mahu berkiblatkan sistem perundangan Sweden yang kononnya memberi perlindungan kepada kanak-kanak dengan mengangkat hak asasi mereka setaraf orang dewasa. Ramai membayangkan keburukan jangka masa panjang sekiranya undang-undang baharu itu dilaksanakan.

Hakikat yang berlaku di negara itu - kanak-kanak diberi hak untuk menentukan apa yang mereka hendak makan dan pakai, pukul berapa mereka perlu masuk tidur, dengan siapa mereka mahu keluar, malah ibu bapa tidak dibenarkan menukar saluran televisyen yang anak-anak mereka sedang tonton!

Jika demikian, di mana pula hak ibu bapa dalam menentukan didikan terbaik untuk anak-anak?

Seperkara lagi, kebanyakan yang menentang cadangan pindaan akta itu orang Melayu yang dapat dilihat menerusi komen-komen di laman sosial. Antaranya komen sinikal oleh pengguna Facebook (FB), Asnie Mohd. Noor yang mewakili pendapat ayahnya: “Kalau abah, rela kena masuk penjara daripada anak yang masuk penjara.”

Seorang lagi pengguna FB, Zura Snow pula memberi komen: “Peraturan yang akan merosakkan anak-anak Islam pada masa akan datang. Lepas ni kalau anak-anak tidak terdidik, harap jangan kaitkan mak bapa sebab undang-undang yang halang mak bapa mendidik anak.”

Komen-komen lain termasuk, “Lepas ni guru disiplin pun kena penjara.” “Nampaknya ramailah guru akan jadi banduan.”

Keadaan sama juga berlaku dalam program Bicara Persada di UKM. Hampir kesemua individu yang terbabit menggunakan platform tersebut untuk berkongsi masalah, pendapat dan sebagainya adalah orang Melayu. Hairan juga kerana hampir tiada langsung suara daripada wakil bukan Melayu biarpun ternampak kelibat mereka dalam program berkenaan.

Adakah topik bicara itu hanya ‘eksklusif’ untuk orang Melayu? Apakah orang bukan Melayu tidak ambil pusing tentang isu itu? Atau mereka bersetuju ibu bapa yang merotan anak dihukum seperti dalam pindaan undang-undang yang dicadangkan itu? Atau mereka merasakan isu itu hanya diperbesar-besarkan oleh orang Melayu maka tiada keperluan bagi orang bukan Islam mencampuri urusan itu?

Tidak dinafikan, berita penahanan pasangan dari Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal di Sweden kerana kesalahan merotan anak sendiri pada tahun lepas mendapat perhatian dunia. Isu itu menjadi hangat kerana melibatkan soal pertembungan budaya dan tuntutan agama.

Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya bersama-sama bertanggungjawab memastikan sebarang dasar yang digubal memberi manfaat kepada semua. Mana yang baik, kita sokong, mana yang tidak baik, perlu ditegur. Masa depan anak-anak dicorak ibu bapa. Baik didikan, maka baiklah jadinya.

Pepatah Melayu menyatakan, “sayangkan anak, tangan-tangankan”, begitupun, tidaklah sehingga tahap mendera, sebaliknya pukullah dengan kasih sayang sebagaimana yang dituntut Islam. - Utusan Melayu Rencana 22 APril 2015

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments