kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Banyak misteri belum dirungkai

Banyak misteri belum dirungkai Kampung Buluh

SABAN tahun penganjuran Seminar Batu Bersurat di bawah Muzium Terengganu menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan pengkaji sejarah, pakar arkeologi dan saintis malah turut menarik perhatian orang ramai yang ingin mengetahui asal usul khazanah penting negara itu.

Meskipun sudah banyak kertas kerja dibentangkan daripada pelbagai latar belakang pembentang termasuk bahasa, ekonomi dan matematik, namun masih banyak misteri yang belum terungkai.

Di dalam hasil kajian lapangan oleh Agensi Nuklear Malaysia, terdapat persoalan yang ditimbulkan antaranya kemungkinan wujudnya sebuah bengkel di sebuah kampung atau lokasi yang dijadikan tempat untuk memahat batu berkenaan.


Lokasi awal penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu di Kampung Buluh, Kuala Berang, Terengganu.

Lokasi penempatannya setelah siap dipahat juga menjadi tanda tanya kerana pastinya batu bersurat ditempatkan di satu tempat yang terhormat memandangkan inskripsinya mengandungi undang-undang yang menjadi rujukan semua lapisan masyarakat pada masa itu.

Selain itu, persoalan mengenai teknologi yang digunakan untuk memahat permukaan batu bersurat turut diketengahkan.

Menurut Ketua Sektor Pameran dan Pendidikan Muzium Terengganu, Rashid Hamat, banyak persoalan yang masih menantikan jawapan dan kajian berterusan dari masa ke semasa perlu dilakukan bagi merungkai segala-galanya berkaitan batu bersurat tersebut.

“Ketika Seminar Batu Bersurat diadakan setiap tahun, kita telah membincangkan banyak perkara dari pelbagai sudut termasuklah dari segi asal usul batu bersurat, bahasa yang digunakan, struktur pemerintahan, penyebaran Islam, institusi pendidikan dan pembelajaran serta dari sudut ekonomi, matematik dan astronomi.

“Setakat ini kira-kira 70 buah kertas kerja sudah dibentangkan dan dua buah buku hasil daripada kertas kerja tersebut telah diterbitkan. Kemungkinanan pada tahun ini terdapat 12 atau 13 lagi pakar atau pihak berkaitan yang membentangkan kertas kerja mereka.

“Sungguhpun setiap tahun sudah banyak perbincangan dan penghujahan diberikan namun masih banyak misteri yang belum dirungkaikan,” katanya.

Antara perkara yang masih menjadi persoalan, identiti pengukir atau pemahat batu bersurat tersebut.

“Ada kemungkinan pemahat adalah dalam kalangan orang Cina kerana berdasarkan pemerhatian di Guangzhou, China terdapat banyak ukiran tulisan yang dipahat pada batu. Jadi persoalannya adakah orang yang Cina memahat batu bersurat itu? Itu yang kita hendak kaji sekarang ini.

“Selain itu turut menjadi tanda tanya dimanakah sisa-sisa serpihan batu bersurat yang telah pecah dan adakah masih terdapat batu bersurat lain yang belum ditemui.

“Begitu juga dari segi perkembangan Islam di Nusantara sebelum abad ke 14 dan hubungan luar Terengganu ketika alam Melayu. Kajian ini perlu dilakukan bagi mengetahui lebih lanjut sejarah batu bersurat dan komuniti yang bersangkutan dengannya,”ujarnya.

Dalam pada itu, Muzium Terengganu akan mengadakan Seminar Antarabangsa Batu Bersurat Piagam Terengganu pada 9 dan 10 Mei ini di Dewan Batu Bersurat, muzium tersebut.


Teknologi nuklear kesan asal usul 
Batu Bersurat
SETAKAT ini, asal usul Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) belum dapat disahkan, namun pembangunan analisis terhadap unsur serta kajian asalan BBPT yang dijalankan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sejak lima tahun lalu sedikit sebanyak membuka lembaran pengetahuan baharu mengenai batu bersurat tersebut.

Kerja-kerja awal dilakukan sebelum proses penyinaran ke arah Batu Bersurat Piagam Terengganu.

Menurut Pengurus dan Pegawai Penyelidik Utama, Nuklear Malaysia, Dr. Jaafar Abdullah, berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap komposisi unsur BBPT mendapati bahawa batu tersebut diperbuat daripada batu tongkol sungai dan jenis batuannya adalah dolerite dan bukannya jenis ‘granite’, batu gunung atau batu hampar sebagaimana yang dikatakan sebelum ini.

“Di dalam kajian tersebut, kita menggunakan teknologi nuklear iaitu Teknik Neutron Teraruh Sinar Gama Segera (NIPGAT) mudah alih.

“Sistem tersebut direkacipta dan dibangunkan dengan menggunakan kaedah pengukuran berasaskan isipadu serta dilakukan secara ujian tanpa musnah sampel yang menggunakan sumber radioaktif beraktiviti rendah dari isotop neutron (Cf-252), spektroskopi sinar gama serta perisian komputer khusus.

“Hasil cerapan geologi yang dilakukan mendapati BBPT terdiri daripada batuan igneus berbutir halus bersifat homogen dan berwarna kelabu gelap kehijauan. Berdasarkan ciri-ciri elemen dan unsur yang dimiliki, kita percaya batu bersurat itu merupakan jenis dolerite.

“Selain itu bentuknya tabular, serta bundar dengan permukaan luaran dan bucu-bucu yang agak licin mempunyai persamaan dengan batu tongkol sungai yang banyak terdapat di kawasan Terengganu khususnya di Hulu Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu bagi mengenal pasti asal usul batu bersurat, pihaknya turut melaksanakan aktiviti kajian lapangan dan persampelan di beberapa lokasi terpilih di sekitar Terengganu, Kelantan, Pahang dan Selangor.

“Persampelan ini dilakukan di tempat-tempat yang mempunyai batu delorite termasuk yang terdapat di Lembah Bujang, Kedah.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan di semua lokasi tersebut, kita dapati batu tongkol sungai yang terdapat di sekitar Hulu Sungai Terengganu seperti Sungai Panchor dan Sungai Lawit mempunyai persamaan dari segi unsur-unsur kimia, bongkah batu berbentuk segi empat dan butirannya yang halus dengan batu bersurat.

“Berbanding dengan batu delorite yang terdapat di kawasan lain seperti di Selangor misalnya, batu-batu tongkol kebanyakan berbentuk bulat dan butirannya pula lebih kasar. Permukaan yang tidak rata dan butiran yang kasar ini yang menyukarkannya batu tersebut untuk dipahat.

“Justeru, berdasarkan persamaan yang dimiliki, batu bersurat pada peringkat awal dipercayai berasal dari Hulu Terengganu namun kita masih belum memuktamadkan hasil dapatan itu memandangkan proses penyelidikan masih lagi dijalankan bagi melengkapkan skop kajian meskipun sebahagian besar data-data saintifik untuk kajian asalan batu bersurat telah diperolehi,” katanya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments