kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Misteri Batu Bersurat Terengganu bukti tamadun Melayu 
unik dan unggul

Batu Bersurat bukti tamadun Melayu 
unik dan unggul

SUNGGUHPUN ada yang berpendapat tamadun bangsa Melayu tidak setanding dengan tamadun lain di dunia, namun bangsa Melayu sebenarnya memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri sehingga mampu mencapai tahap perkembangan dan kegemilangan yang tinggi.

Jika tidak mana mungkin alam Melayu yang memiliki posisi geopolitiknya yang strategis, kepelbagaian sumber alam, dinamika ekonomi dan sosial budaya yang berkembang diminati dan menjadi rebutan dalam kalangan kuasa-kuasa dunia suatu ketika dahulu.



Bahagian atas muka pertama Batu Bersurat memperlihatkan struktur rekahan atau kekar.

Bahkan, kehebatan masyarakat Melayu sebagai sebuah tamadun yang unggul dan unik sejak berabad-abad lamanya turut diterjemahkan secara tersirat menerusi Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) yang berusia lebih 700 tahun.

Menurut pensyarah kanan, Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Supian Sabtu (gambar), penggunaan tulisan jawi yang dipahat pada permukaan BBPT itu sendiri telah memperlihatkan kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai masyarakat Melayu pada zaman sejarah awal.

Ketika itu, tulisan jawi merupakan abjad piawai bahasa Melayu dan Sanskrit yang digunakan untuk menyampaikan hukum-hukum Islam menerusi visual dalam bentuk yang bukan sahaja difahami sendiri malah oleh orang lain juga. Ini membuktikan bahawa masyarakat pada masa itu menggunakan tulisan jawi untuk perkembangan tradisi ilmuan.

“Batu bersurat merupakan manifestasi kepada perkembangan intelektual pada zaman tersebut kerana ia dipahat oleh masyarakat atau golongan yang memiliki ilmu tentang Islam yang mendalam.

Peruntukan hukum-hakam itu juga dipahat berdasarkan arahan oleh orang yang mempunyai pengetahuan Islam yang tinggi dan dari sudut lain menggambarkan pengetahuan tentang kemahiran memahat sudah ada pada masa itu.


Dr Mohd Supian Sabtu

“Apatah lagi tulisan jawi yang menggunakan bahasa Sanskrit dan Melayu kuno turut memperlihatkan pengaruh Arab. Tulisan yang dipahat sesuai atau selaras dengan perkataan yang disebut maknanya tulisan tersebut berdasarkan sebutan. Sebab itu kita melihat tulisan jawi melambangkan ketinggian intelektual masyarakat pada masa itu,” katanya.

Dalam pada itu, BBPT merupakan satu pengisytiharan undang-undang Islam pertama di negara ini kerana isi kandungannya menyatakan tentang hukum-hakam Islam berdasarkan apa yang terkandung di dalam al-Quran, misalnya hukuman kesalahan zina iaitu direjam bagi yang telah berkahwin dan dipalu seratus kali sebatan bagi yang masih bujang.

“Meskipun wujud pelbagai polemik yang mengatakan batu bersurat itu melambangkan kedatangan awal Islam dan ada mengaitkannya sebagai satu manisfestasi perkembangan Islam namun yang lebih tepat sebenarnya batu bersurat itu merupakan satu pengisytiharan undang-undang Islam yang pertama di negara ini.

“Pengisytiharan itu lebih signifikan kerana secara tidak langsung mengiktiraf Terengganu sebagai sebuah kerajaan terawal melaksanakan undang-undang Islam berbanding kalau kita katakan ianya sebagai petunjuk kepada kemasukan atau perkembangan Islam yang ternyata Melaka mempunyai asas yang lebih kukuh. Ini disebabkan pengislaman Parameswara melibatkan keseluruhan pemerintahan (apabila raja memeluk Islam, keseluruhan rakyat juga memeluk Islam),” katanya.

Menurutnya, isi kandungan batu bersurat menyatakan peruntukan hukuman atau peraturan yang ditujukan kepada sebuah masyarakat di sebuah tempat yang secara tidak langsung menunjukkan satu ‘patukan’ ke arah sebuah sistem bernegara atau bernegeri atau berpemerintahan Islam.

“Jika melihat kerajaan semasa pengaruh Hinduisme di Asia Tenggara, batu bersurat atau prasasti adalah sesuatu yang biasa dan ia juga melambangkan kewujudan sebuah pemerintahan. Perletakan batu bersurat pada ketika itu juga mempunyai pelbagai sebab antaranya memperingati satu peristiwa. Sebagai contoh ketika pemerintahan kerajaan Sriwijaya, batu bersurat atau prasasti Siddhayatra (perjalanan suci) diletakkan.

“Selain itu terdapat juga batu bersurat sumpahan yang bertujuan memberikan impak atau satu naluri ketakutan atau taat pada rakyat bahawa sesiapa yang melanggar peraturan sesebuah negara, individu tersebut akan dilaknat, dihukum atau dimusnahkan ibarat hancurnya telur dilemparkan ke arah batu. Ada juga batu bersurat yang dikaitkan dengan tanah sima iaitu tanah yang dibebaskan dari dikenakan cukai.

“Jadi aspek yang berada sebelum Islam turut dimasukkan dan dikembangkan dalam konteks batu bersurat itu sendiri. Maknanya BBPT merupakan satu pengisytiharan peristiwa berkaitan pusat pemerintahan atau peristiwa pada sebuah masyarakat.

“Ia juga bertindak sebagai satu peringatan kepada siapa yang melanggar peraturan, individu berkenaan akan dijatuhkan hukuman berdasarkan apa yang telah diperuntukkan.

“Selain itu ia juga dikatakan sebagai satu pengiktirafan kepada sebuah negara Islam kerana pada baris awal terkandung kata-kata pujian ke atas Rasulullah SAW kemudian diakhiri pula dengan penutup (dilaknat bagi yang melanggar perintah Allah),” katanya.


Misteri Batu Bersurat Terengganu

MESKIPUN terdapat pelbagai teori dikemukakan mengenai kedatangan awal Islam di Tanah Melayu termasuk apa yang ditemui pada batu-batu nisan di Kedah dan Pahang namun, inskripsi yang dicatatkan pada Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) bertarikh 1303 merupakan satu manifestasi pengisytiharan undang-undang Islam yang jauh lebih signifikan. Setakat ini, BBPT merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran tertua dan tulisan Jawi berbahasa Melayu pertama ditemukan di Malaysia yang jelas mempunyai pengaruh undang-undang Islam.


Batu Bersurat

Meneliti inskripsi yang terukir pada muka atau penampang batu bersurat mungkin hanya sebahagian yang boleh membacanya tetapi untuk memahami kandungannya dengan lebih mendalam memerlukan kajian dan pentafsiran yang lebih terperinci.

Walaupun sudah banyak kertas kerja dibentangkan oleh para pengkaji dari dalam mahupun luar negara bagi merungkai kehebatan BBPT dari pelbagai sudut termasuk tafsiran dan ulasan isi kandungan batu bersurat pada perspektif pengaruh Islam, unsur matematik, ilmu falak dan sejarah kewujudan kerajaan Terengganu lama, namun masih banyak lagi teka teki dan kesamaran yang belum dirungkaikan sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan.

Bagi menyingkap rahsia kehebatan dan misteri di sebalik BBPT wartawan S2, ROZIANAH RISMAN berkunjung ke Muzium Terengganu, Universiti Malaya dan Agensi Nuklear Malaysia untuk mendapatkan pendedahan mengenai hasil seminar, kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh tenaga pakar tempatan.

Tulisan jawi lebih istimewa

KEISTIMEWAAN nilai sejarah yang terletak pada inskripsi Batu Bersurat Piagam Terengganu (BBPT) membolehkan batu itu diiktiraf sebagai Daftar Memori Dunia Antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) pada 2009.

Longgokan batu tongkol granite dan dolerite berbentuk tabular dan pelbagai saiz banyak didapati di Hulu Terengganu.

Menurut Timbalan Pengarah Muzium Terengganu, Che Muhamad Azmil Ngah, pada asasnya batu jenis ‘dolerite’ yang digunakan BBPT itu sendiri tidak mempunyai nilai kerana batu tongkol sungai itu banyak boleh ditemui di Hulu Terengganu.



Wan Mohd Rosli

“Namun yang menjadikan BBPT istimewa kerana mempunyai tulisan jawi yang tertua dan pertama ditemui bukan sahaja di Malaysia malah tidak keterlaluan dikatakan di peringkat dunia. Dari segi bahasa pula menggunakan bahasa Melayu disamping turut menyelitkan perkataan Sanskrit.

“Keunikannya juga terletak pada kandungan atau inskripsi yang dicatat pada batu yang menyatakan tentang undang-undang Islam. Inskripsi yang dipahat pada batu juga menimbulkan banyak persoalan kerana persejarahan Islam pada zaman Melayu sebelum ini belum pernah dicatat pada batu. Jadi BBPT merupakan satu-satunya batu yang mengandungi catatan hukum-hakam Islam yang pernah ditemui,” ujarnya.

Dalam pada itu menurutnya meskipun wujud pelbagai hujah dan debat mengenai kedatangan Islam di Tanah Melayu, namun BBPT berdiri dengan bukti yang tercatat pada permukaannya.



Che Muhamad Azmil

“Sememangnya kita akui tarikh sebenar kemasukan Islam ke alam Melayu tidak dapat dikenalpasti kerana terdapat pelbagai teori dan andaian dikemukakan oleh para pengkaji mengenai perkara tersebut.

“Selain fakta unggul sejarah menyatakan bahawa Islam mula bertapak di Tanah Melayu apabila Parameswara memeluk Islam pada 1414, terdapat juga bukti-bukti lain dikemukakan dari Kedah dan Pahang mengenai kedatangan Islam.

“Sungguhpun begitu, nilai sejarah yang terdapat pada BBPT yang memaparkan undang-undang Islam yang terawal tidak boleh dipertikaikan. Dari segi usia batu tersebut memang kita akui bukan yang tertua kerana di Indonesia terdapat banyak batu bersurat yang dikenali sebagai prasasti lebih tua berbanding BBPT itu sendiri.

“Namun, prasasti di sana tidak menggunakan tulisan jawi yang menyatakan tentang undang-undang Islam. Prasasti Adityawarman misalnya menggunakan tulisan Jawa yang hanya memperkatakan tentang peraturan diraja yang memerintah pada masa itu iaitu hukum-hukum Adityawarman dan bukannya mengenai piagam Islam.

“Justeru yang kita katakan istimewanya BBPT kerana menggunakan tulisan jawi yang tertua dan pertama di dunia Melayu yang menyatakan tentang undang-undang Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah berharap nilai sejarah yang dimiliki BBPT dapat dihayati lebih mendalam sekali gus menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk mendekati warisan khazanah berharga negara.

“Mungkin ramai yang melihat BBPT itu sekadar batu yang mempunyai tulisan jawi yang menjelaskan tentang undang-undang Islam, namun sekiranya dikaji dengan lebih mendalam sebenarnya banyak maklumat yang boleh diperolehi merangkumi pelbagai aspek.

“Lebih penting BBPT itu sendiri melambangkan kehebatan dan jati diri masyarakat Melayu,” katanya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments