kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jasa Rahim Kajai kepada negara

NAMANYA Tanah Melayu tetapi status pemiliknya tidak sehebat namanya. Secara amnya era antara 1900 hingga jatuhnya Jepun di Tanah Melayu pada 1945, bangsa Melayu yang bahasanya pernah menjadi lingua-franca, serba kekurangan dalam segenap segi.

Penjajah terus bermaharajalela, kebebasan dan hak penduduk pribumi terus ditindas, natijahnya Melayu terus menjadi sejuk beku, takut untuk menyuarakan hak mereka, jauh sekali untuk bangkit memajukan diri sendiri.

Pada masa inilah munculnya tokoh penulis, Abdul Rahim Salim atau lebih dikenali sebagai Rahim Kajai yang memberikan sumbangan besar kepada negara dengan menggunakan platform kewartawanan bagi melahirkan pemikiran yang merintis perjuangan penduduk tempatan untuk meningkatkan kesedaran menentang dasar kolonialisme British.

Gelaran Kajai adalah bersempena dengan tempat kelahiran kedua-dua ibu bapanya dari Kajai, Minangkabau, Indonesia. Rahim Kajai dianggap tokoh penting pada tahun-tahun 1930-40 an yang wujud pada zaman tersebut kerana masih kurangnya individu lain pada masa itu yang berani mengemukakan pandangan terbuka untuk membela kaumnya agar berani memajukan diri.


AZIZ Ishak, Kamarudin Ismail dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor (barisan belakang tengah) bergambar kenangan bersama-sama guru pengiring dan pelajar sekitar Kuala Lumpur pada majlis perasmian Program Bicara Tokoh Wilayah Persekutuan - Abdul Rahim Kajai 2015 anjuran Angkasa dengan kerjasama Utusan Malaysia di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Keberanian dan kelantangan beliau yang dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada 1894, dalam memperjuangkan martabat Melayu begitu menonjol semasa mengetuai akhbar Utusan Melayu sebagai Ke­tua Pengarang pada 1939.

Menurut Pengarah Muzium Wa­risan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Samsudin, Rahim Kajai ialah seorang pendebat dan ahli polemik yang u­lung dalam zamannya, malah sering diperkatakan dalam kalangan wartawan pada masa itu kerana beliau tidak pernah kalah dalam perdebatan dengan pengarang-pengarang akhbar lain melalui lidah pengarang.

Katanya, pada masa itu akhbar Melayu memainkan peranan utama mencetuskan kesedaran kepada bangsa itu de­ngan menceritakan kehidupan dan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu sebelum dikupas secara mendalam termasuk punca-punca kelemahan bangsa itu dan masalah yang disebabkan oleh dasar British.

“Lama-kelamaan akhbar telah menjadi medan bagi para wartawan dan pembaca bertemu bagi membincangkan masalah yang dilihat mereka. Setiap masalah dikupas secara mendalam dan membina kematangan pembaca mengenai sesuatu permasalahan. Akibatnya berlakulah perubahan yang besar dalam bidang akhbar Melayu - bilangan pembacanya bertambah, pembaca memberikan pandangan mereka, wartawan yang juga penulis menjadi lebih yakin dan dikenali ramai.

“Rahim Kajai antara yang paling ghairah berdebat bukan sahaja de­ngan pengarang-pengarang akhbar lain tetapi juga dengan tokoh-tokoh agama dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Beliau menceburkan diri dalam kontroversi soal-soal agama di zamannya. Pendirian dan kefahamannya adalah agama Islam harus dihayati demi mengangkat darjat bangsa Melayu untuk kemajuan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bicara Tokoh Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) Wilayah Persekutuan, Abdul Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Melayu Moden dan Bengkel Keusahawanan Dalam Bidang Kewartawanan di Dewan Besar Utusan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anjuran Ang­katan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Naib Presiden Angkasa, Kamaruddin Ismail.

Sementara itu, Ka­maruddin menjelaskan bahawa program Bicara Tokoh itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendapatkan informasi mengenai tokoh yang dipilih pihak koperasi sekolah yang terlibat dengan PKS itu.

Katanya, tujuan utama PKS di perkenalkan ialah melatih koperasi-koperasi sekolah menganjurkan pakej pelancongan bermanfaat di samping mewujudkan budaya keusahawanan dan menjana pendapatan koperasi melalui projek tersebut.

“Setiap negeri akan memper­kenalkan tokoh sejarawan negara dengan cara membuat lawatan di lokasi-lokasi yang terlibat. Abdul Rahim Kajai dipilih di peringkat Wilayah Persekutuan dan kita wajibkan mereka untuk membuat lawatan di Utusan kerana tokoh tersebut begitu sinonim dengan Utusan Melayu pada ketika dahulu sehingga melahirkan ramai wartawan berwibawa,” katanya.

Program PKS yang berkonsepkan hos dan tamu diilhamkan oleh bekas Yang Dipertua Angkasa, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Pelaksanaan projek ini yang diperkenalkan secara rasmi pada 2003 bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dan mendapat pengalaman secara langsung dalam merancang, mengurus dan melaksanakan PKS dengan sokongan dan galakan pengetua, guru-guru koperasi, ibu bapa dan bimbingan serta latihan daripada Angkasa.

Melalui PKS terdapat fokus subjek iaitu tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada bidang pendidikan yang mempunyai hasil penulisan, mendapat pengiktirafan atas sumbangan dan jasa; lawatan ke tempat bersejarah yang boleh menimbulkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar yang me­nyertai projek tersebut.

Setiap negeri akan memperkenalkan tokoh sejarawan negara dengan cara membuat lawatan di lokasi-lokasi yang terlibat seperti tempat kelahiran dan sekolah tokoh ber­kenaan menimba ilmu. Pelaksanaannya akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai sumbangan tokoh terbabit kepada agama, bangsa dan negara apabila peserta terbabit mengetahui mengenai apa yang diperjuangkan oleh tokoh yang dipilih.

Antara tokoh yang ditonjolkan dalam PKS ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) di Negeri Sembilan, Aminuddin Baki di Perak, Ishak Muhammad (Pak Sako) di Pahang dan Abdullah Abdul Kadir Munsyi (Munsyi Abdullah) di Melaka.

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “tokoh” Tag

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments