kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mandailing dalam rumpun Melayu

MALAYSIA memang cukup dikenali dengan keunikan kepelbagaian kaum. Umum mengetahui bahawa tiga kaum utama yang menghiasi setiap sisi negara berkeluasan 329,750 kilometer persegi terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India tidak termasuk masyarakat peribumi yang menghuni Sabah dan Sarawak.

Kemajmukan kaum ini bermula dengan migrasi dari negara asal akibat perang atau menjadi tenaga buruh bagi aktiviti-aktiviti perlombongan dan ekonomi tradisional sewaktu zaman peperangan dahulu.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa satu etnik yang boleh dikategorikan dalam rumpun Melayu yang turut berhijrah ke Malaysia adalah orang Mandailing, berasal dari Indonesia.

Penempatan

Masyarakat Mandailing mungkin cukup asing kerana mereka kurang menonjol, namun sebenarnya ramai tokoh negara yang aktif dalam bidang politik, ekonomi, hiburan dan agama lahir daripada golongan tersebut.

Penyelidik Persatuan Warisan Mandailing Malaysia, Affifuddin Hassan, 55, berkata, masyarakat Mandailing termasuk dalam kalangan orang Melayu berasal dari Sumatera Utara, Indonesia.

“Kebanyakan yang datang ke Malaysia adalah semasa Perang Padri sekitar tahun 1803 hingga 1838 dan bersembunyi di Negeri Sembilan. Selepas tamat pertempuran tersebut, perpindahan besar-besaran berlaku sekitar tahun 1841.

“Mereka yang datang ini bertujuan untuk berniaga dan kembangkan agama Islam kerana majoriti orang Mandailing mempunyai pegangan agama kuat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, permulaan penempatan masyarakat Mandailing adalah sekitar Kuala Lumpur namun ramai berhijrah ke Perak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Sehingga kini, majoriti orang Mandailing yang menetap di Malaysia adalah di Perak hasil perkahwinan campur.

“Setakat ini, kira-kira 200,000 hingga 300,000 orang Mandailing di Malaysia.

“Pada mulanya, mereka menetap di kuala-kuala atau tepi sungai bagi menjalankan aktiviti ekonomi tradisional namun peredaran zaman mengubah struktur penempatan,” ujarnya.

Lambang

Orang Mandailing turut mewarisi dan mempelajari seni silat sebagai pertahanan diri.



Biarpun penduduk Mandailing dikatakan agak susah mengenali orang sekaumnya sendiri, namun mereka mempunyai ikatan silaturahim yang kuat.

“Ya, memang sebenarnya agak sukar untuk mengenali orang sebangsa sendiri melainkan betul-betul rapat atau tahu loghat percakapannya.

“Bagaimanapun, kami mempunyai marga, torombo (salasilah) dan nama yang melambangkan seseorang itu merupakan orang Mandailing,” jelasnya.

Panggilan nama keluarga yang menunjukkan seseorang itu merupakan orang Mandailing adalah seperti Nasution, Siregar dan Harahap.

Secara keseluruhannya, mereka mempunyai sekurang-kurangnya 20 lagi nama lain yang melambangkan seseorang itu adalah orang Mandailing.

Selain itu, orang Mandailing mempunyai bahasa loghat tersendiri yang jauh beza dengan pertuturan orang-orang jawa dan masyarakat lain.

Terdapat enam jenis bahasa yang diguna pakai orang Mandailing iaitu hata somal (bahasa harian), hata andung (bahasa meratap), hata tias dohot jampolak (bahasa kasar) , hata sibaso (bahasa dukun), hata poda (bahasa khutbah atau ceramah) dan hata bulung (perumpamaan).

Sebagai contoh, ucapan salam dalam bahasa Mandailing adalah horas yang membawa maksud apa khabar.

“Ini antara identiti masyarakat Mandailing yang masih kekal sehingga ke hari ini dan ada antara sebutan atau bahasa-bahasa itu masih digunakan.

“Justeru, gelaran nama dan bahasa adalah ciri utama masyarakat Mandailing yang membolehkan orang lain mengenali kami lebih dekat,” jelasnya.

Dua perkara tersebut diibaratkan sebagai gelaran kekal bagi melambangkan orang Mandailing dan jika diubah nilai komersialnya akan terjejas.

Tokoh

Hidangan tradisi orang Mandailing, sambal belacan,ulam-ulaman, pucuk ubi tumbok dan nasi upa-upa
yang masih lagi dikekalkan hingga ke hari ini terutamanya ketika majlis keramaian.



Bagi Timbalan Presiden Saroha (satu hati) Mandailing Malaysia, Abu Bakar Al-Fatah Harahap, 40, yang juga seorang guru di Jelebu, Negeri Sembilan mengakui, kekuatan orang Mandailing adalah kemampuan mereka berdikari walau di mana saja kerana mempunyai semangat perjuangan yang tinggi. “Kami boleh diibaratkan seperti enau dalam belukar kerana sentiasa bersemangat meneruskan kehidupan dan tidak pernah berputus asa.

“Ramai yang berhijrah ke Malaysia berjaya dalam bidang masing-masing dan ada antara kami menjadi tokoh terkenal negara,” katanya.

Antara tokoh cemerlang yang berasal daripada keturunan Mandailing ialah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainon Said, tokoh korporat, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar termasuk artis seperti Allahyarham AR Tompel, Azean Irdawaty, Ahmad Tarmimi Serigar dan Cico Harahap.

Orang-orang Mandailing juga cukup terkenal dengan ketaatan pada agama. Bagi menunjukkan sikap patuh kepada agama Islam, mereka mempunyai slogan tersendiri, taat marugamo, elek mar anak boru, hormat marmora, rosu markahanggi.

Selain itu, sikap mudah mesra, panas baran dan cepat terasa hati juga antara perwatakan orang-orang Mandailing.

Menurutnya, perwatakan itu memang sebati dengan orang Mandailing yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Apabila berkumpul dan berjumpa, semua orang mahu bercakap hingga kadangkala menimbulkan pertengkaran.

“Bagaimanapun, ia bukanlah pertengkaran yang serius sebaliknya lebih bersifat berkongsi pandangan masing-masing,” jelasnya.

Salah satu keunikan masyarakat Mandailing yang masih menjadi identiti mereka ialah adat perkahwinan. Affifudin memberitahu, pengantin Mandailing kebiasaannya akan memakai pakaian berwarna merah, emas dan hitam yang sememangnya menjadi warisan sejak dahulu lagi.

Kemudian, pada majlis persandingan, tetamu akan dihidangkan nasi upa-upa yang membawa maksud menghargai jemputan dan merahmati pengantin.

“Nasi upa-upa merupakan hidangan penting sebagai penghargaan dan mendoakan yang baik-baik kepada pengantin.

“Nasi itu dihidangkan di atas dulang bersama lauk-pauk seperti telur dan udang,” jelasnya.

Tradisi upa-upa tersebut seperti menjadi kewajipan kerana ia melambangkan semangat kepada pengantin.

“Setiap tetamu yang hadir akan diminta memberi nasihat kepada pengantin mengenai alam rumah tangga dan selepas itu barulah diadakan adat merenjis serta makan beradab sebagai penutup majlis,” jelas Afiffudin.

Katanya, bagi menambahkan kemeriahan majlis perkahwinan atau keramaian, masyarakat Mandailing akan mempersembahkan tarian yang dipanggil gordang sembilan.

Suara alam

Alunan gordang sembilan akan didendangkan semasa majlis perkahwinan orang Mandailing.



Peralatan yang digunakan dalam persembahan tersebut ialah sembilan buah gendang (gendang dua muka) yang berukuran kecil, tiga biji cak lempong, sepasang gong, sepasang tali sesayak, sebiji canang, dan sebuah seruling.

Lagu-lagu yang dicipta daripada alat muzik ini berasaskan suara alam seperti kicauan burung, deruan air sungai, suara katak dan suara petir.

Dari segi makanan, mereka mempunyai menu istimewa yang bercirikan tradisional dan mempunyai sedikit persamaan dengan hidangan Melayu.

Antara menu yang kekal menjadi warisan zaman-berzaman adalah pucuk ubi tumbuk atau lemak pucuk ubi.

Cara penyediaannya berbeza kerana pucuk ubi itu ditumbuk sebelum dimasak dengan bahan-bahan utama lain.

“Selain itu, menu rendang belut dan rabar (kerabu) turut menjadi hidangan utama masyarakat Mandailing setiap kali perayaan atau menyambut tetamu di rumah,” ujar Afiffuddin.

Salah satu makanan yang menjadi tarikan utama orang Mandailing adalah buah silua yang kebiasaannya menjadi buah tangan kepada para tetamu.

“Buah silua ini boleh diibaratkan seperti dodol yang diisi dalam anyaman daun kelapa. “Ia boleh dikategorikan sebagai hadiah atau buah tangan kepada tetamu,” jelasnya.


Afifuddin (duduk tiga dari kiri) menghadiri majlis perjumpaan orang Mandailing
di Kampung Lintang, Sungai Siput, Perak baru-baru ini.


Tags: etnik
Subscribe

Posts from This Journal “etnik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments