kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Undang-undang berfungsi jika diterima rakyat

Undang-undang mencerminkan aspirasi masyarakat, budaya, kepercayaan politik dan keadaan ekonomi. Kita menggunakan undang-undang bagi mengawal hubungan manusia antara satu sama lain; mengawal hubungan rakyat dan kerajaan dan undang-undang juga mekanisme menyelesaikan pertikaian. Ini adalah antara intipati tulisan saya, minggu lalu.

Undang-undang akan berfungsi dengan baik apabila ia difahami dan dapat diterima oleh masyarakat. Namun, undang-undang tidak mudah untuk difahami oleh orang kebanyakan, seperti juga bidang lain, kedoktoran, ekonomi, atau juga agama. Selain itu, undang-undang bergantung kepada banyak faktor.

Antara lain, undang-undang mungkin juga bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial. Walau apa pun keadaannya, seboleh mungkin kita hendaklah mempunyai undang-undang. Bahkan kita bukan setakat memerlukan undang-undang, tetapi kita memerlukan undang-undang yang berkesan. Keberkesanan undang-undang dapat dilihat apabila ia dapat mengawal keadaan ekonomi, ia dapat mengawal keadaan sosial dan politik.

Dalam mencari keberkesanan undang-udang, mungkin akan menjadi mudah untuk kita sekiranya kita dapat menghasilkan sebuah buku yang menyediakan jawapan kepada semua permasalahan, tidak kira sama ada ia berkaitan masalah sosial, politik dan ekonomi.

Namun, hakikatnya ialah kita tidak akan mampu untuk menghasilkan buku seumpama itu kerana undang-undang mempunyai skop yang luas dan teori yang berbeza.

Fahami teori undang-undang

Dalam memahami objektif undang-undang, kita hendaklah faham mengenai teori undang-undang. Ada pelbagai teori undang-undang yang perlu kita hayati sebelum kita tentukan apakah falsafah undang-undang yang boleh kita terima dalam masyarakat kita untuk mencapai objektif undang-undang.

Teori yang pelbagai itu hendaklah juga dapat difaham oleh masyarakat kerana masyarakat jugalah yang akan merasai kesan undang-undang. Antara teori undang-undang yang sering dirujuk ialah Natural Law, Historical Jurisprudence, Utilitarian dan Positivism.

Ada juga teori seperti Sociological Jurisprudence, Legal Realists dan Legal Sociologists. Menurut Natural Law Theory, undang-undang dianggap sebagai God-given atau anugerah Tuhan dan ada sebahagian naturalis menganggap undang-undang adalah sesuatu yang wujud dengan kejadian manusia secara semula jadi.

Mengenai kemoralan, naturalis berhujah bahawa konsep kebaikan moral hendaklah bebas daripada pendapat atau pandangan kerajaan atau institusinya mengenai kebaikan atau kejahatan. Maka naturalis tidak membolehkan kerajaan membuat undang-undang sesuatu kebaikan itu menjadi kejahatan atau menjadikan kejahatan itu kebaikan.

Atas prinsip kebaikan semula jadi daripada Tuhan itulah suatu undang-undang itu dibina. Maksudnya, parameter yang mesti digunakan dalam membuat undang-undang ialah prinsip kebaikan menurut yang dianjurkan oleh Tuhan, bukan ciptaan manusia atau kerajaan. Historical Jurisprudence pula lahir sebagai respon kepada Natural Law Theory. Menurut teori ini, hanya amalan yang mengharungi masa dan bertahan lama yang boleh menjadi undang-undang. Teori ini tidak membenarkan perubahan mendadak, tetapi menyokong evolusi atau perubahan perlahan dalam undang-undang.

Teori Historical Jurisprudence ini menggalakkan kestabilan undang-undang, yang mana hanya amalan yang konsisten dan diterima masyarakat boleh diterima sebagai undang-undang.

Sementara itu, Utilitarian Theory memberi tumpuan kepada 'kegunaan sosial' undang-undang, berbanding keperluan metafizik atau kerohanian manusian. Istilah kebaikan dan keadilan tidak wujud dalam teori ini. 'Utilitarians' berpendapat, undang-undang hendaklah menghormati 'kebahagiaan awam', supaya mereka mendapat 'keseronokan maksimum' serta 'kepayahan minimum'. Maksudnya, undang-undang hendaklah menghormati apa yang dimahukan masyarakat mengikut kehendak masyarakat. 'Positivism' pula mementingkan apa yang tersurat.

Sesuatu yang bertulis dalam undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan yang sah adalah undang-undang, tidak kira apa juga nilai yang ada dalam undang-undang itu. Teori undang-undang di atas berkembang berdasarkan kepada keadaan dan keperluan masyarakat. Perbezaan dalam penerimaan teori ini akan menyebabkan perbezaan mengenai apakah yang dikatakan sebagai 'undang-undang'.

Dalam memastikan suatu undang-undang itu diterima oleh masyarakat serta diterima menjadi mekanisme yang berkesan maka undang-undang kita hendaklah mempunyai gabungan teori ini. Mungkin tidak mudah untuk kita membina peradaban perundangan kita, tetapi itu bukan mustahil.  Dr Shamrahayu A Aziz  Berita Harian Kolumnis 29 April 2015
Tags: undang-undang
Subscribe

Posts from This Journal “undang-undang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments