kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bapa mentua gila harta

SUDAH banyak kali kita mendengar mengenai orang yang amat taksub dengan harta sehingga sanggup bergaduh adik-beradik, anak-beranak saman-menyaman di mahkamah dan sebagainya.

Terdapat juga ibu bapa yang menentukan jodoh anak-anak demi menjaga harta mereka tidak jatuh ke tangan orang lain.

Ada juga yang mahu anak-anak mereka hanya berkahwin dengan orang yang berharta tanpa mahu mempedulikan perasaan anak yang sudah mempunyai pilihan sendiri.

Bercakap mengenai orang yang begitu mementingkan wang dan harta, Julia (bukan nama sebenar) meluahkan perasaan yang disimpan sekian lama.

Dia yang kini berusia awal 30-an, merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak berumur tujuh dan lima tahun.

Julia telah ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya sejak lima tahun lalu. Ketika itu anak-anaknya masih kecil dan dia pula tidak bekerja.

Semasa berkahwin dengan suaminya, Khairul, rumahtangganya bahagia sahaja. Suaminya bekerja di sebuah agensi kerajaan dan mereka tinggal menyewa di rumah milik bapa Khairul.

Sanggup membuang cucu untuk dapat duit sewa

DIHALAU mentua hidup merempat
.

Bagaimanapun tahun demi tahun dia mula dapat melihat perangai suaminya yang sebenar.

Khairul malas pergi bekerja. Setiap hari dia akan lewat ke tempat kerja dan dalam seminggu mesti sekurang-kurangnya sehari dia akan ponteng. Ada sahaja alasan, demam, selesema, sakit itu, sakit ini dan sebagainya.

Rupa-rupanya, kata Julia, suaminya itu memang mempunyai sikap pemalas dan lebih teruk lagi mula berjinak-jinak dengan dadah.

Oleh kerana selalu ponteng ditambah dengan masalah disiplin, Khairul diberhentikan kerja.

Menurut Julia, itu bukanlah pekerjaan Khairul yang pertama, malah sudah empat kali dia bertukar tempat kerja kerana masalah disiplin. Ibu bapa mentuanya juga sudah lali dengan perangai anak lelaki mereka yang terbawa-bawa sejak bujang lagi.

Khairul merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Kedua-dua adiknya berjaya dalam pelajaran hingga ke menara gading dan menjawat jawatan tinggi, yang sudah tentu membanggakan kedua-dua ibu bapa mereka.

Bagaimanapun Khairul tidak seperti adik-adiknya. Dia malas belajar dan hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pekerjaannya pun dicarikan oleh bapanya yang sanggup bertanyakan kepada kenalan jika mereka mahukan pekerja. Pun demikian, dia tidak pernah serik walaupun dimarahi atau dinasihati oleh ibu dan bapanya.

Berbalik kepada kisah Julia, setelah ditinggalkan oleh Khairul, dia bersama kedua-dua anaknya masih tinggal di rumah sewa bapa mentuanya itu.

Pada pendapatnya, tidak salah dia tinggal di situ kerana rumah tersebut adalah rumah mentuanya dan dia adalah ibu kepada dua orang cucu mentuanya.

“Saya tersilap. Dua bulan Khairul menghilangkan diri dan dua bulan juga rumah sewa tidak berbayar. Bulan pertama, bapa mentua datang untuk mengutip duit sewa rumah. Saya katakan Khairul masih belum balik dan tidak ada memberikan wang belanja.

“Bulan kedua, bapa mentua datang lagi. Saya berikan alasan yang sama. Saya beritahu makan minum kami anak-beranak pun ibu bapa saya yang beri. Saya pula tidak bekerja kerana anak-anak masih kecil.

“Pada bulan ketiga, bapa mentua datang dan menghalau saya serta kedua-dua cucunya itu keluar dari rumah sewa.

“Kata bapa mentua, kalau tak boleh bayar sewa, lebih baik keluar sahaja kerana masih ada orang lain yang boleh menyewa. Saya terkejut kerana bapa mentua tergamak menghalau saya dan anak-anak saya yang merupakan darah dagingnya. Bukan salah saya kerana tidak dapat membayar sewa rumah tetapi salah anaknya sendiri.

“Saya tidak mahu berbalah dengan bapa mentua. Saya berjanji saya akan keluar dari rumah tersebut walaupun saya sendiri tidak tahu ke mana saya akan pergi.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa saya yang hanya berpendapatan sederhana. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai pilihan selain meminta tolong daripada mereka. Dengan tangan terbuka mereka menerima saya dengan anak-anaknya saya.

“Kata mereka, walau macam mana susah pun, saya dan anak-anak tetap darah daging mereka sendiri. Mereka tidak akan membiarkan kami hidup merempat. Mereka mengajak saya dan anak-anak tinggal bersama mereka.

“Tidak seperti ibu bapa mentua saya. Sejak saya keluar dari rumah sewa, mereka tidak pernah mencari saya dan anak-anak. Mereka seperti membuang kami dan tidak hairan langsung dengan cucu-cucu mereka ini.

“Sehingga ke hari ini, anak sulung saya sudah bersekolah darjah satu. Baik Khairul, ibu bapa mentua atau adik-adiknya tidak pernah datang atau mencari kami. Mereka seolah-oleh menganggap kami tidak pernah wujud.

“Saya tidak faham, apa perasaan mereka. Seorang datuk dan nenek boleh melupakan cucu-cucu sendiri sedangkan dia hanya mempunyai empat orang cucu sahaja. Dua orang anak saya dan dua orang anak adik Khairul.

“Kata orang, biasanya datuk dan nenek terlalu sayangkan cucu melebihi anak sendiri. Berbeza dengan ibu bapa mentua, yang sanggup kehilangan cucu kerana lebih mementingkan harta,” kata Julia yang kini sudah bekerja sambil belajar secara jarak jauh di sebuah universiti tempatan.

Memikirkan cerita Julia, saya termenung seketika. Amat jarang sekali mendengar kisah sedemikian, namun hakikatnya masih ada orang yang bersikap sebegitu. Mereka sepatutnya ingat bahawa harta dan wang ringgit lama-kelamaan akan habis dan umur pula semakin meningkat tua.

Zuriat dan keturunan membawa nama kita hingga ke syurga. Apalah erti kekayaan jika tiada anak cucu yang mendoakan kita setelah kita tiada lagi di dunia.

Tags: keluarga
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments