kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hidup tertekan dikongkong keluarga

DANIEL berang dengan tindakan ibunya. Apa sahaja yang mahu dilakukan, pasti akan disekat. Itu tidak boleh, ini boleh, semuanya jadi serba tidak boleh. Apa yang boleh? Semuanya kena ikut kehendak ayah dan ibunya.

Daniel merasakan egonya tercabar. Pergerakannya disekat, apatah lagi mahu bersosial dengan kawan-kawan. Hanya kerana Daniel anak tunggal dalam keluarga, ibu dan ayah merasakan mereka berhak menentukan masa depannya. Musyawarah? Istilah itu langsung tidak ada dalam keluarga Daniel.

Hakikatnya, Daniel bukan lagi budak kecil yang perlu patuh atas setiap kehendak keluarganya. Dia juga punya hasrat hati dan keinginan untuk melakukan apa yang dia mahu. Dan lantaran kongkongan keluarganya selama ini, kawan Daniel boleh dikira dengan jari. Semuanya itu gara-gara sekatan yang dibuat oleh keluarganya.

Boleh membawa kepada sesuatu yang di luar jangkaan


TINDAKAN menyekat kemahuan anak-anak akan membuatkan golongan ini sentiasa membina jurang pemisah. - Gambar hiasan
-

Ibu dan ayah akan menentukan dengan siapa dia boleh berkawan. Kalau ibu dan ayah melarang Daniel berkawan dengan seseorang yang tidak ‘cocok’ dek pandangan mereka, Daniel harus memutuskan hubungan tersebut. Jika tidak, bukan sahaja Daniel yang dimarahi, malah kawannya pun turut menerima nasib sama.

Justeru, Daniel sering keseorangan. Sudahlah tiada adik-beradik, kawan-kawan pun selalu mengelakkan diri daripada berkawan dengan Daniel kerana takut menjadi mangsa amarah kedua ibu bapa Daniel.

Kini, usia Daniel menginjak 18 tahun dan baharu selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bertuahnya Daniel, dia seorang budak yang bijak sekalipun banyak aktivitinya disekat. Sebagai anak pintar, sudah tentu, Daniel ada cita-citanya.

Kepada ibu dan ayah diluahkan kehendaknya untuk mengambil jurusan kejuruteraan. Itu minatnya sejak dari kecil dan dia sememangnya mengharapkan, keputusan cemerlang dalam SPM tersebut, akan membolehkan dia merealisasikan impian dan cita-citanya.

Malang sekali buat Daniel, apabila hasratnya itu diluahkan, rupa-rupanya, mereka telah ada perancangan tersendiri. Secara diam-diam, kursus pengajian buat Daniel telah ditentukan. Apa lagi kalau tidak bidang kedoktoran yang menjadi harapan mereka.

Betapa kecewanya Daniel apabila ibu dan ayahnya memberitahu, keputusan telah pun dibuat untuknya. Kata mereka, Daniel hanya perlu tunggu jawapan, sama ada permohonan tersebut diterima atau sebaliknya.

Entah kenapa hari itu, emosi marah Daniel tidak dapat dikawal. Sebaik ibu dan ayahnya berkata demikian, dia lantas menghentakkan kakinya menuju ke kamar dan menutup pintu dengan kuat. Dia tidak tahu kepada siapa harus dia meluahkan rasa kecewanya.

Dia tahu ibu dan ayahnya kecewa dengan tindakannya tadi tapi sebagai seorang remaja, dia juga ada pilihannya sendiri. Dia bukan robot yang diarah untuk melakukan apa sahaja. Dia manusia yang punya keinginan agar apa yang dilakukan kelak mencapai kepuasannya.

Daniel tidak mahu lagi dipaksa ikut itu dan ini. Tempoh 17 tahun yang lalu, Daniel sentiasa akur dengan kehendak ibu dan ayah. Dan kini dia mahu mereka juga memahami apa yang dia kehendaki. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Daniel lari daripada kongkongan keluarga yang dianggap olehnya keterlaluan!

Tags: keluarga
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments