kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harumanis dan ekonomi masyarakat

INVEST Malaysia 2015 yang diadakan minggu lalu melibatkan penyertaan syarikat-syarikat ger­gasi dan terkenal di Malaysia. Acara itu diadakan sebagai platform perjumpaan dalam kalangan ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat terkemuka di Malaysia bagi mengutarakan pendapat dan pengumuman mengenai pembangunan terkini pasaran modal Malaysia. Ini sekali gus membolehkan mereka membina rangkaian kukuh dengan pihak berkuasa yang terlibat secara langsung dalam pasaran modal Malaysia.

Mereka yang diangkat sebagai CEO sudah tentulah dalam kala­ngan yang terbaik, cerdik pandai dan hebat dalam perniagaan. Kita tidak boleh menyangkal bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan CEO-CEO ini yang ak­hirnya berjaya menjadi nakhoda syarikat-syarikat di Malaysia. Ada di antara mereka datangnya daripada keluarga yang susah dan bukannya berasal daripada golongan elit.

Sekarang ini mereka sudah boleh tersenyum lebar kerana sudah berjaya mencapai hierarki tertinggi dalam syarikat, seterusnya berada dalam golongan mereka yang berpendapatan tinggi. Ini hasil kejayaan DEB yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja.

Itu kisah DEB dan CEO-CEO yang telah berjaya, bagaimana pula dengan ramai lagi rakyat Malaysia yang belum mampu meningkatkan status mereka ke tahap yang lebih baik. Pasaran modal sudah tentu di luar daripada jangkauan mereka. Bagi mereka, apa yang penting, meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Apabila bercakap mengenai taraf hidup, rata-rata masyarakat luar bandar masih bergantung kepada pertanian. Kebetulan pula di utara tanah air, musim mangga harumanis sudah pun bermula. Mungkin akan ada yang bertanya apa kena mengena harumanis dengan taraf hidup? Bagi yang belum mengenali mangga ini, harumanis adalah mangga yang bernilai tinggi. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ha­rumanis merupakan mangga pa­ling mahal di Malaysia. Bagi sesiapa yang menetap di utara tanah air dan merupakan penggemar tegar harumanis, pasti mengetahui harganya telah meningkat begitu ketara ke­belakangan ini.

Cuba tanya generasi lama di Perlis, berapakah harga sekilo harumanis lima belas tahun yang lalu? Pernah suatu ketika dahulu, harga sekilo harumanis hanyalah RM2.50 sekilogram tetapi kini sudah mencecah RM35 sekilogram. Sebagai pengemar tegar harumanis, saya sendiri pernah berkesempatan membeli harumanis pada harga sekitar RM4-RM5 sekilogram pada tahun 2004.

Kini harganya meningkat sehingga berkali-kali ganda. Memang benar, harumanis masih boleh dibeli dengan harga RM20 sekilogram, namun kualitinya berbeza dengan harumanis yang berharga lebih mahal. Cuma kena tahu yang mana berkualiti tinggi dan yang mana kurang kualitinya. Dibimbangi bukan setakat tidak mengetahui kua­litinya, malah untuk membezakan yang mana satu mangga harumanis pun menjadi masalah bagi pembeli yang tidak biasa dengannya.

Maklumlah dengan harga yang sebegitu tinggi, tidak mustahil ada segelintir golongan peniaga yang cuba memperdayakan bakal pembeli. Ini kerana terdapat juga mang­ga-mangga lain semasa musim harumanis. Itu belum disebut lagi harumanis yang belum masak ranum tetapi tidak sabar-sabar dijual oleh segelintir peniaga yang ingin mengaut keuntungan berlebihan. Rasanya sudah tentu jauh beza berbanding yang masak ranum. Harumanis hanya benar-benar sedap dimakan begitu sahaja apabila sudah masak ranum. Ia juga boleh dimakan bersama-sama dengan pulut.

Disebabkan harganya yang semakin tinggi, pengusaha harumanis yang memiliki pokok-pokok harumanis terpaksa berjaga siang dan malam memastikan harumanis tidak dicuri oleh orang. Paling tidak pun mengupah orang menjaga harumanis tersebut. Malah, jangan terkejut, buah ini umpama “emas” yang berada di kedai-kedai emas yang mana berisiko “dirompak” pada bila-bila masa sahaja. Saya difahamkan di Pusat Kecemerla­ngan Harumanis di Sungai Batu Pahat, Perlis pun terpaksa mengupah orang menjaga harumanis pada waktu malam.

Tidak sebagaimana mencuri durian yang bernilai tinggi seperti Musang King yang lebih susah berbanding mencuri harumanis, maka tidak menghairankanlah mangga ini menjadi idaman si pencuri tidak kira umur. Yang penting dapat dijual dengan harga tinggi. Jika sekiranya harga harumanis masih lagi kekal RM2.50 sekilogram sebagaimana 15 tahun yang lalu, adakah si pencuri ini mahu mengambil risiko “memetik” harumanis di waktu malam?

Jadi, melihat senario semasa ini, harumanis adalah contoh terbaik produk luar bandar yang boleh menguntungkan ramai pihak. Ter­utamanya penduduk kampung berpendapatan rendah yang selama ini tidak pernah terfikir pendapatan mereka boleh bertambah dengan begitu ketara. Ia tetap dicari oleh pengemar seluruh Malaysia meskipun harganya mahal dan musimnya hanya setahun sekali iaitu bermula pada bulan April sehingga penghujung bulan Jun.

Ini bermakna, penduduk tempatan boleh menjana pendapatan secara mampan. Bahkan, ada yang membuka gerai di tepi jalan menjual jus dan pulut harumanis bagi sesiapa sahaja yang ingin menikmati buah tersebut. Buah ini juga sudah dikomersialkan ke luar negara. Inisiatif telah dijalankan untuk membolehkan harumanis berbuah sepanjang tahun. Dengan kata lain, buah mangga bernilai tinggi ini mampu dikomersialkan sepanjang tahun dan ini sudah tentu boleh membantu penduduk tempatan meningkatkan ekonomi mereka.

Bahkan jika kena gayanya buah ini juga boleh ditanam secara ko­mersial di bahagian utara negeri Kedah iaitu di daerah Kubang Pasu yang bersempadan dengan negeri Perlis. Cuaca di kawasan tersebut tidak jauh bezanya dengan cuaca di Perlis. Usah terkejut, terdapat penduduk yang menetap di sekitar daerah Kubang Pasu telah berjaya menanam pohon harumanis di halaman rumah mereka. Apa yang menakjubkan pohon-pohon tersebut boleh mengeluarkan hasil. Manakala, kualitinya pula sama sebagaimana harumanis yang ditanam di Perlis. Cuma bezanya ia belum lagi ditanam secara komersial di Kubang Pasu.

Bayangkan jika ia berjaya diko­mersialkan, pastinya buah mangga “emas” ini bukan sahaja mampu mengubah status ekonomi ma­syarakat di Perlis tetapi juga di utara Kedah pada tahap yang lebih baik. - Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 30 April 2015

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments