kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melawat Titanic

Kapal Titanic yang karam di Lautan Atlantik kira-kira 103 tahun dulu, dianggap sebagai tragedi maritim paling buruk dalam sejarah dunia.

Lebih 1,500 orang maut dalam tragedi berkenaan tetapi itu juga menyebabkan Titanic dianggap sebagai kapal paling ikonik di dunia.



SATU babak filem popular Titanic pada 1997 yang dilakonkan oleh Kate Winslet dan Leonardo DiCaprio.

Walaupun dianggap sebagai kapal paling terkenal di dunia, tidak ramai berpeluang melihat kapal berkenaan secara dekat.

Paling hampir kapal itu boleh dihampiri ialah dengan melawat muzium Titanic di Belfast, Ireland Utara atau menonton filem Titanic yang dilakonkan aktor terkenal, Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet.

Namun, sebuah syarikat kini menawarkan pengalaman menyelam pada kedalaman 3.81 kilometer untuk melihat bangkai kapal itu di dasar Laut Atlantik.

Lawatan itu membawa pengunjung melihat tangga mewah Titanic, sauh kapal yang besar dan bilik Marconi yang memancarkan isyarat kecemasan SOS buat kali pertama di dunia.


BLUEFISH menawarkan pengalaman unik ke dasar Lautan Atlantik untuk melihat bangkai Titanic secara dekat.

Peluang sekali seumur hidup itu ditawarkan syarikat Bluefish dan harga pakej istimewa yang sungguh mengejutkan.

Pakej mewah mengembara ke dasar laut dan melihat bangkai kapal paling terkenal di dunia itu bernilai kira-kira £41,000 (RM222,101).

Walaupun harga pakej itu seakan-akan tidak masuk akal, tetapi lebih 40 individu menempah pakej lawatan berkenaan.

Pengarah Bluefish, Steve Sims berkata, mereka menghantar 40 individu ke dasar Lautan Atlantik untuk melihat bangkai Titanic.


SATU ruangan di bahagian kanan Titanic yang masih dalam keadaan baik.

“Antara pelanggan kami termasuk isteri seorang bilionair terkenal dalam bidang teknologi. Titanic masih menarik minat sebahagian besar daripada kita,” katanya.

Sims berkata, Bluefish terkenal kerana menyediakan perkhidmatan lawatan menakjubkan dan paling sukar ditemui di dunia.

“Lebih ramai orang pernah pergi ke angkasa lepas daripada melihat Titanic dengan mata mereka sendiri,” katanya.


BINAAN unik Titanik jelas kelihatan selepas disuluh dengan lampu limpah dari kenderaan dasar laut

Pelanggan yang menempah pakej itu akan tinggal di kapal Keldysh sementara menunggu keadaan laut yang sesuai untuk melihat Titanic secara dekat.

Mereka dibawa menaiki kenderaan dasar laut dikenali sebagai MIR I yang mampu menyelam sehingga enam kilometer dan menahan tekanan luar biasa.

Kenderaan itu diperbuat daripada tembaga boleh memuatkan seorang pemandu serta dua penumpang.

Misi selaman itu mengambil masa selama 11 hingga 12 jam dan apabila sampai ke dasar laut, lampu berkuasa tinggi akan dipasang bagi membolehkan pelawat melihat bentuk kapal berkenaan.

Selain badan kapal, pelawat boleh melihat barangan peribadi penumpang seperti kasut dan beg yang melekat pada besi yang berkarat.

Pemandangan itu sudah cukup membayangkan ketakutan penumpang ketika kapal itu karam pada malam 14 April 1912.

Titanic adalah kapal paling besar pada waktu itu dan karam pada pelayaran sulungnya selepas terlanggar bongkah ais.

Kapal itu karam di utara Lautan Atlantik ketika dalam perjalanan dari Southampton, Britain menuju ke New York, Amerika Syarikat.

Selain lawatan yang menakjubkan, pelawat diberi taklimat dan penemuan terkini saintis mengenai kapal sepanjang 269 meter itu.


BANGKAI Titanic hanya ditemui pada 1986 oleh Dr Robert Ballard selepas beberapa usaha mencari kapal itu sebelum ini gagal.

Selepas lawatan berkenaan, satu majlis bagi memperingati tragedi itu serta semua mangsa yang terkorban turut diadakan.

Kapal Keldysh dan MIR I membuat lebih 15 ekspedisi ke lokasi Titanic bersemadi serta melakukan beratus-ratus selaman.

Tujuan selaman itu bukan hanya pelancongan semata-mata tetapi untuk mendapatkan imej, data dan sampel dari bangkai kapal berkenaan.

Semua maklumat itu digunakan untuk tujuan kajian dan uji kaji saintifik oleh beberapa saintis dari seluruh dunia.

Sejak ekspedisi laut dalam dijalankan di tapak bangkai Titanic pada 1998, tiada sebarang artifak dialihkan.

Dari 2002 hingga 2006, seramai enam individu melawat tapak berkenaan tetapi kemelesetan ekonomi dunia menyebabkan pakej pelancongan mewah itu terpaksa dihentikan.

Kini perkhidmatan itu disambung semula dan pelawat boleh menempah pakej lebih murah berharga kira-kira £6,820 (RM36,851).

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments