kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hayati perjuangan tokoh negara

Malaysia melahirkan ramai negarawan, tetapi kebanyakan generasi hari ini kurang peka mengenai perkara itu kerana mereka lahir selepas kemerdekaan dan tidak merasai apa yang dilalui golongan terbabit.

Sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), Arkib Negara menganjurkan program Eksplorasi Media Memorial bagi menghargai dan mengangkat tokoh negarawan itu ke persada yang tertinggi termasuk menarik pelancong ke negara ini.

Jasa empat tokoh negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra (Bapa Kemerdekaan), Tun Abdul Razak (Bapa Pembangunan), Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Bapa Kemajuan) sesuatu yang perlu rakyat banggakan.

Program dua hari di sekitar ibu kota itu menyingkap secara dekat jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra

PELBAGAI barangan peribadi Tunku Abdul Rahman Putra dipamerkan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang dibuka pada 10 November 1994 bagi memperingati dan mengenang jasa Almarhum Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ dan Perdana Menteri pertama iaitu dari 1957 hingga 1970.

Terletak di Jalan Dato’ Onn, memorial ini merangkumi bangunan Residensi sebagai bangunan utama dan Blok A di bahagian kiri dan Blok B di bahagian kanak-kanak Residensi.

Kami memulakan eksplorasi dari Blok A yang terpampang pelbagai maklumat dan gambar nostalgia sebelum merdeka.

Gambar perarakan menuntut dan pengisytiharan kemerdekaan memberi gambaran betapa besarnya jasa mereka sehingga meletakkan negara ini bebas daripada penjajahan.

Memasuki bangunan Residensi, pengunjung pasti teruja melihat rumah berusia lebih 100 tahun yang masih kukuh dan dilengkapi pelbagai barangan milik Tunku.

Mempunyai 14 bilik, setiap bilik mempunyai fungsi tersendiri termasuk bilik tetamu yang menjadi tempat perjumpaan dengan tetamu penting.

Blok B pula menempatkan meja kabinet pertama dan pejabat perdana menteri pertama selain pakaian, koleksi minyak wangi dan hadiah pemberian pemimpin luar kepada Tunku.

Paling menarik kereta Cadillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku dan ‘Kereta Merdeka’.

Memorial Tun Abdul Razak


TEMPAT informasi Memorial Tun Abdul Razak.                     PEJABAT Tun Abdul Razak di Memorial Tun Abdul Razak.



Memorial ini dirasmikan Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mei 1982 bagi membolehkan pengunjung mengenali dan memahami idealisme perjuangan Tun sebagai tokoh negara.

Memorial yang dulunya dikenali Sri Taman adalah kediaman rasmi Tun Abdul Razak dan hanya menempatkan ruang pameran koleksi peribadinya.

Pada 2012, ia diubah suai kembali dengan mengekalkan dan mempamerkan kembali suasana asal semasa diduduki Tun Abdul Razak bersama keluarganya.

Bangunan dua tingkat itu mempunyai reka bentuk ‘California style’ yang menarik.



Memorial Tun Hussein Onn


ANTARA tarikan yang terdapat di Memorial Tun Hussein Onn.



Memorial ini yang dirasmikan pada 10 Februari 2006 menjadi sebahagian warisan sejarah negara dan pelengkap kepada koleksi khazanah untuk mengabadikan jasa Tun Hussein Onn selaku Ketua Negara.

Melalui pintu masuk ke ruang utama pameran akan memperlihatkan imej Tun Hussein Onn bersama pemimpin dari dalam dan luar negara.

Pengunjung juga boleh melihat biografi dengan salasilah kekeluargaan Tun Hussein Onn sebagai nasionalisme.

Anda juga dapat melihat pameran yang memperlihatkan usaha Tun Hussein bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, bertoleransi dan hidup aman damai.

Pada akhir lawatan ialah gambar saat akhir Tun Hussein Onn sebagai negarawan sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Menjadi antara memorial yang moden, bangunan Memorial Tun Hussein Onn ini dan kawasan sekitarnya sudah dibeli oleh Bank Negara, baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Latihan Kewangan.

Namun, kerajaan mengarahkan Bank Negara untuk membina ganti semula bangunan Memorial Tun Hussein Onn yang dijangka siap pada September 2016.



Galeria Sri Perdana

RUANG makan di Galeria Sri Perdana.

BALKONI Galeria Sri Perdana yang menjadi tempat Tun Dr Mahathir Mohamad beristirahat.

Galeria itu dirasmikan pada 20 Disember 2003 yang sebelum ini dikenali Sri Perdana iaitu Kediaman Rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kediaman ini didiami pada 23 Ogos 1983 sehingga 18 Oktober 1999.

Galeria ini ditubuhkan bagi mendekatkan hubungan rakyat dengan pemimpin selain dapat melihat dan menghayati jasa Dr Mahathir kepada bangsa dan negara.

Dirasmikan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, galeria ini mempamerkan ruang dan susun atur asal semasa Tun dan keluarga mendiami kediaman itu.

Di aras bawah, pengunjung dapat melihat bilik gunting rambut dan bilik pertukangan Dr Mahathir kerana beliau gemar menghabiskan masa terluang dengan bertukang, malah beberapa hasil ukiran turut dipamerkan termasuk model kapal terbang.

Di tingkat paling atas menempatkan ruang tidur Dr Mahathir dan anak-anak serta dapur kecil yang biasa digunakan untuk memasak.

Memorial Negarawan

Memorial Negarawan sedang dalam pembinaan di bekas bangunan Pejabat Perdana Menteri dan dijangka siap Ogos ini.

Memorial ini akan menempatkan tokoh negarawan iaitu Tun Dr Ismail, Tun V T Sambathan, Tun Tan Cheng Lock, Tun Datu Mustapa, Tun Fuad Stephens, Tun Temenggung Jugah dan Tun Dr Lim Chong Eu.

Tags: tokoh
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments