kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

8 sebab ke Terengganu

TERENGGANU merupakan salah satu negeri di Malaysia yang dikurniakan dengan pelbagai landskap semula jadi yang menarik dan menyegarkan. Negeri ini mempunyai pantai, pulau-pulau eksotik, hutan tropika yang subur, perkampungan nelayan dan air terjun yang mempesonakan. Batu-batu serta pantai berpasir putih dengan air jernih umpama kristal sedia ada terbentang luas di sepanjang pantai 244 kilometer (km), bermula dari Besut di sebelah utara dan Kemaman di sebelah selatan. Tidak salah, sekiranya .com melabelkan pulau-pulau di Terengganu adalah antara yang paling indah dan menarik di negara ini. Mari teruskan pengembaraan bersama .com ke sebuah lagi kawasan pelancongan popular di Pantai Timur, Malaysia - DHIYA’ZULHILMI DAUD / TOURISM MALAYSIA

Muzium Negeri Terengganu:

DIAKUI ramai sebagai muzium terbesar di rantau Asia Tenggara, Kompleks Muzium Negeri Terengganu menempatkan artifak dan hasil seni yang merupakan warisan berusia beberapa kurun lamanya.

Terletak di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini kelihatan hebat dari segi seni binanya, berdasarkan reka bentuk istana lama Terengganu.


TERLETAK di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini kelihatan hebat dari segi seni binanya,
berdasarkan reka bentuk istana lama Terengganu.

Ia terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, empat buah rumah tradisional dan taman botani serta herba. Muzium Utama mempamerkan tekstil dan teknik menenun, senjata tradisional, seni kraf, sejarah, alat kebesaran diraja, alam semula jadi, pembangunan petroleum, seni Islam, seni generasi baru dan kontemporari.

Empat blok bangunan yang lain bersambung bagi mewakili keluarga besar. Di pintu masuk utama kompleks utama, dipamerkan Batu Bersurat Terengganu asli yang terkenal.

Pulau Perhentian

JANGAN lupa untuk melawat Pulau Perhentian. Terletak 21 kilometer dari pantai Terengganu, ia terdiri daripada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.


TERLETAK 21 km dari pantai Terengganu, ia terdiri daripada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.

Dikelilingi hutan yang bersih, pepohon yang melambai, pasir pantai yang memutih dan air laut yang membiru, Pulau Perhentian menjadi kawasan perlindungan untuk nelayan, burung penghijrah dan sudah tentu mereka yang menghargai keindahan alam semula jadi. Terletak di hujung Taman Marin Pulau Redang, kawasan terumbu karang Pulau Perhentian yang indah mampu menarik minat penyelam dasar laut.

Pelancong juga boleh membuat perancangan untuk melakukan aktiviti penjelajahan ke pulau-pulau. Bot boleh disewa untuk meninjau kawasan sekitar pulau ini. Lawatan ke pulau tropika ini menjadi kewajipan bagi mereka yang sukakan sukan luncur angin, belayar, berkayak dan memancing di laut dalam.

Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih digemari oleh ‘backpacker’. Di sini, anda akan menemui pelbagai pilihan makanan dan penginapan bajet. Manakala, Pulau Perhentian Besar, lebih maju dan menawarkan kemudahan yang lebih baik. Namun begitu, terdapat juga calet, asrama dan tapak perkhemahan di kedua-dua pulau ini.

Pulau Redang

PULAU REDANG terletak 45 kilometer (km) di luar pesisir pantai Kuala Terengganu, merupakan sebuah pulau terbesar di antara sembilan buah pulau yang berada di Laut China Selatan.

Pulau ini menawarkan air laut sejernih kristal dan banyak tempat menyelam untuk pelancong. Pada waktu tengah hari apabila cahaya matahari menyinari laut, terumbu karang yang cantik dan ikan jelas dapat dilihat.


PULAU REDANG terletak 45 km di luar pesisir pantai Kuala Terengganu, merupakan sebuah pulau terbesar
di antara sembilan buah pulau yang berada di Laut China Selatan.

Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam yang tertulis dalam lipatan sejarah negara iaitu H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse, yang karam sewaktu permulaan Perang Dunia kedua, di mana ia diserang oleh tentera Jepun ketika memulakan pendudukan di Malaya.

Pulau syurga ini sempurna untuk aktiviti snorkel, berenang, menyelam skuba, menjelajah hutan, menaiki bot dan berkayak. Bagaimanapun, aktiviti memancing tidak dibenarkan di dalam jarak 3.2 km dari pulau kerana telah diwartakan sebagai taman marin, secara langsung melarang pelancong mengumpul terumbu karang dan hidupan akuatik.

Pasar Kedai Payang

PASAR utama yang digelar Pasar Kedai Payang oleh penduduk tempatan terletak di pinggir Sungai Terengganu. Ia dianggap sebagai salah satu tarikan utama pelancong di Kuala Terengganu.

Terletak di dalam sebuah bangunan moden, ia menawarkan pelbagai barangan kraftangan seperti batik, sutera, songket, barangan tembaga serta hasil barangan segar. Pelawat pasar ini akan merasai pengalaman hebat membeli-belah barangan tempatan pada harga berpatutan. Ia tempat terbaik untuk memahami budaya tempatan kerana pasar ini turut menjadi tempat penduduk tempatan berbelanja.

Tasik Kenyir

TASIK Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 260,000 hektar.

Ia juga merupakan empangan hidroelektrik yang dilitupi konkrit terbesar di Malaysia. Apabila kawasan itu dibanjirkan, kebanyakan bukit berada di atas paras air lalu membentuk kira-kira 340 pulau buatan manusia. Hutan hujan yang mengelilingi kawasan tasik mewujudkan pemandangan flora dan fauna yang menakjubkan.

Ini termasuk paku-pakis, orkid eksotik, burung kenyalang, gajah, dan harimau kumbang. Ia turut menjadi rumah kepada lebih 8,000 spesies bunga dan 2,500 spesies tumbuhan dan pokok serta ratusan spesies ikan air tawar seperti baung, toman, kelisa, lampam dan kelah.

Tasik Kenyir adalah tempat percutian hebat bagi pencinta alam semula jadi memandangkan ia dikelilingi hutan hujan tropika tebal. Dikelilingi hutan tropika yang luas, kawasan tasik buatan manusia ini terkenal dengan aktiviti memancing, menaiki bot, berkayak, meredah hutan, pemanduan pacuan empat roda (4WD) dan golf.

Pelbagai jenis penginapan disediakan bermula dari bertaraf tiga bintang meliputi calet di atas pulau, resort terapung atau bot rumah (house boat) di mana bilik dan makanan disediakan. Bot rumah yang menyusuri sungai hingga ke kawasan air terjun dan kawasan memancing memberi pengalaman menyeronokkan kepada pencinta alam semula jadi.

Pulau Lang Tengah

PULAU Lang Tengah ialah sebuah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan ke pulau ini mengambil masa 30 minit dari jeti Marang. Menurut penduduk tempatan, nama Lang Tengah diambil sempena nama ‘Lang’ atau burung helang, dan tengah. Oleh itu, Lang Tengah bermaksud helang yang berehat di tengah pulau.


MENURUT penduduk tempatan, nama Lang Tengah diambil sempena nama Lang atau burung helang, dan tengah.
Oleh itu, Lang Tengah bermaksud helang yang berehat di tengah pulau

Pulau ini sangat kecil. Perjalanan mengelilingi pulau dengan bot mengambil masa 10 minit. Pantainya sempit dengan daratan yang terhad. Walaupun begitu, Pulau Lang Tengah memiliki empat buah resort yang menjanjikan penginapan mengujakan.

Pulau Kapas

KIRA-KIRA enam kilometer dari pantai Marang, terletak Pulau Kapas, sebuah pulau yang terkenal dengan pantainya yang memutih, air laut yang jernih dan lambaian pohon palma.

Pulau Kapas mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot biasa atau 10 minit dari jeti Marang menggunakan bot laju. Agak terpencil dari kesibukan tanah besar, pulau ini tempat terbaik untuk mereka yang ingin merehatkan minda.


Pulau Kapas mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan dengan bot biasa atau 10 minit dari jeti Marang menggunakan bot laju.

Pulau kecil ini merupakan sebuah pulau yang cantik, sunyi dengan pantai yang bersih, air laut jernih membiru, pepohon kelapa yang melambai dan gua dengan sarang burung layang-layang. Perairannya menjadi habitat kepada ikan, penyu, terumbu karang dan lain-lain.

Seperti pulau-pulau lain, pulau ini merupakan destinasi yang harus dilawati terutamanya kepada peminat sukan menyelam dan skuba untuk menikmati keindahan terumbu karang dasar laut, ikan, kerang-kerangan dan penyu. Pelbagai jenis penginapan tersedia, daripada calet bajet hingga mewah dengan penghawa dingin atau kipas.

Masjid Tengku Tengah Zaharah

MASJID Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) dibina di atas pelantar terapung, memberikannya sebuah pemandangan unik dari semua aspek.

Ia terletak di atas muara Sungai Terengganu dan seni bina modennya merupakan idea seorang putera Terengganu. Masjid putih berkilau ini menggabungkan seni bina moden dan Moorish, simbolik kepada modenisasi baru di negeri ini, secara tidak langsung menjadikannya ikon Islam di negara ini.


MASJID Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung) dibina di atas pelantar terapung, memberikannya sebuah pemandangan unik dari semua aspek.

Keindahan seni bina masjid ini dikelilingi oleh tasik, kelihatan sungguh menawan seperti istana dalam kisah 1,001 malam. Ketenangan masjid ini diserlahkan lagi dengan pemandangan semula jadi Laut Cina Selatan, menjadikannya tarikan pelancong yang menarik dan unik di Terengganu.

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments