kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami makna sebenar "raja berjiwa rakyat"

Ungkapan "raja berjiwa rakyat" bukan sahaja menjadi sangat klise tetapi tidak menggambarkan keadaan sebenar. Ia digunakan secara melulu oleh mereka yang tidak berfikiran kritis, barangkali kerana kata-kata ini lunak disebut, didengar atau ditulis. Tetapi kita harus berhati-hati untuk memetik ungkapan manis ini kerana tidak semua membawa maksud yang manis kepada rakyat.

Bagi saya ungkapan ini tidak boleh digunakan sembarangan kecuali benar-benar kena kepada sikap dan sifat individunya. Oleh kerana itu kita kena berhati-hati supaya tidak memperemehkan ungkapan yang keramat ini kecuali kepada individu yang sememangnya "raja berjiwa rakyat." Dalam keadaan institusi raja di negara ini yang ada kalanya dicemarkan sendiri oleh dalam kalangan istana, maka ungkapan "raja berjiwa rakyat" sewajarnya bernilai tinggi sama seperti tingginya raja kepada rakyat.

Tetapi raja atau sultan tidak perlulah menjadi rakyat untuk menepati "raja berjiwa rakyat." Memadailah memahami denyut nadi dan kesusahan rakyat apabila menganjurkan acara-acara tertentu yang menjurus kepada pembaziran. Lagi pun orang tua-tua ada berpesan, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Raja yang menghayati kesusahan rakyat dan tidak membazir, tidak akan menjejaskan kedudukannya yang tertinggi itu malah akan lebih dihormati.

Oleh yang demikian saya dan sekalian rakyat sangat terharu apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta supaya acara pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dibuat secara sederhana. Baginda menekankan perubahan pemikiran dalam kalangan pentadbir dan rakyat bahawa istiadat pertabalan bukan satu pesta untuk bersuka-suka. Sebaliknya untuk memperingatkan tentang sejarah negara bangsanya yang memiliki dan telah membina tamadun bangsa, berlandaskan adab yang bertiangkan adat.

Difahamkan baginda menitahkan supaya menggunakan apa yang ada untuk acara pertabalan supaya tidak membazirkan duit rakyat. Sebab itulah pintu gerbang yang lama terus digunakan bukan mendirikan yang baharu yang sudah tentu menelan belanja yang bukan kecil sekalipun kerajaan negeri mempunyai peruntukan untuk itu.

Sultan Nazrin memperlihatkan sosok peribadinya sebagai seorang yang berjimat cermat dan memilih kesederhanaan dalam berbelanja. Baginda tidak memperagakan kemewahan seperti sesetengah dalam kalangan orang istana. Semua ini tentunya lahir daripada keinsafan baginda terhadap kesusahan hidup sesetengah dalam kalangan rakyat.

Inilah "raja berjiwa rakyat" dan semua ini tidak perlu dijaja oleh media kerana rakyat sendiri dapat menghayati prinsip baginda yang mendahulukan rakyat berbanding kepentingan peribadi dan acara gilang gemilang yang menjurus kepada pembaziran. Ungkapan ini dirasakan sendiri oleh rakyat tanpa dipaksa-paksa.

Baginda menitahkan, “Pada era tahap li­terasi rakyat sudah semakin tinggi dan sumber pengetahuan sudah bertambah luas, dalam perse­kitaran demokrasi yang menuntut kepada amalan ketelusan dan ke­terbukaan, menegaskan penting­nya sifat integriti yang tidak memberikan sebarang imuniti kepada perbuatan salah laku, salah guna kuasa dan korupsi oleh sesiapa sekalipun.”

Penegasan Sultan Nazrin memperlihatkan baginda cuba menyuntik satu sudut pandangan yang dinamik bahawa dalam memperjuangkan kebolehpercayaan, tidak ada siapa pun yang terkecuali waima dalam kalangan golongan istana. Ini sangat penting kerana terdapat tanggapan banyak pihak mengatakan golongan istana kebal daripada tindakan dan undang-undang hanya untuk rakyat marhaen. Bagi saya ungkapan "raja berjiwa rakyat" kepada Sultan Nazrin sangat tepat pada tempatnya. Malah kalau tidak diungkapkan sekalipun rakyat dapat merasakan inilah raja yang menjiwai denyut nadi mereka.

Institusi raja perlu terus diper­tahankan dan dimurnikan pada era permodenan dalam pemikiran politik dan sosial di negara ini. Dan golongan istana sendiri perlu melakukannya supaya institusi ini tidak tercemar dengan perlakuan-perlakuan yang tidak sepatutnya. Malah perlu menjadi contoh insan yang berpekerti mulia dalam usaha membina masyarakat yang berperadaban tinggi.

Dalam hubungan ini Sultan Nazrin dilihat memainkan pera­nan sangat penting untuk menggerakkan perubahan. Dalam masa sama baginda juga menyuntik satu tang­gapan baharu terhadap institusi raja supaya tidak terpisah dengan rakyat jelata di sebalik tembok istana. Dengan pengalaman yang diterokai dan pemikiran intelektual yang dimiliki, adalah sangat meyakinkan bahawa baginda mampu memberikan contoh yang baik dalam kalangan istana supaya institusi raja terus dihormati.   - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 10 Mei 2015

Tags: jiwa, raja, rakyat, sultan
Subscribe

Posts from This Journal “raja” Tag

  • Raja, British, pemimpin dan rakyat

    ORANG yang berminat tentang sejarah Tanah Melayu tentu tahu atau sekurang-kurangnya maklum bahawa Perjanjian Pangkor merupakan satu-satunya…

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Kedaulatan watan berpaksi ajaran Islam

    Dua unsur utama watan iaitu Perlembagaan Tanah Melayu dan undang-undang watan (law of the land) dari sudut legitimasi semakin menarik perhatian ramai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments