kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan

Sultan Johor 1

Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada majlis perasmian Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini menarik perhatian Awang. Gesaan baginda agar Malaysia mencontohi Singapura bagi melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi membentuk perpaduan seawal sekolah rendah, sesuatu yang perlu dilihat dengan serius. Lebih-lebih lagi ketika negara-negara lain sudah lama melaksanakannya sedangkan Malaysia masih di takuk lama.  

"Sekiranya di peringkat kanak-kanak lagi pendidikan dibuat secara berasingan berasaskan kaum dan bahasa maka sampai bila-bila pun akan wujud ruang perbezaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia,'' titah baginda.
Awang setuju 100 peratus. Cabarannya ialah kesediaan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia untuk lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan kaum dan bahasa masing-masing dalam soal pendidikan.
Sudah terlalu lama Malaysia terperangkap dalam isu ini tetapi belum ada jalan keluar yang meyakinkan. Awang merasakan perlu ada iltizam baharu untuk semua kaum melihat pentingnya sekolah satu aliran tanpa mengorbankan bahasa ibunda masing-masing.
Sesuatu perlu digerakkan termasuk perbahasan yang sihat berhubung usaha ke arah merealisasikan sekolah satu aliran, setidak-tidaknya  secara berperingkat-peringkat. Awang yakin, jika gerakan kesedaran diperhebatkan dan pendekatan yang elegan diambil, nescaya akan memberikan perkembangan yang positif. Jika tidak, segala gesaan dan rumusan serta pelbagai resolusi persidangan berkaitan integrasi kaum di negara ini, hanya tinggal retorik.  
Dalam konteks Malaysia, sudah tentulah Bahasa Kebangsaan menjadi pilihan tunggal sesuai dengan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Tidak sepatutnya ada sebarang masalah terhadap penerimaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di tanah air ini ketika jutaan pekerja warga asing ghairah menggunakannya tanpa curiga. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, yang selalu sangat Awang ungkapkan dalam ruangan ini. Cukup jelas mesejnya.

Sultan Johor 2

Terlebih dahulu Awang menjunjung kasih ke atas Sultan Johor dengan niat mahu memberi maklum balas sehabis baik. Titah baginda mahu kerajaan negeri mengkaji semula Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang diluluskan di DUN Johor pada tahun lalu, menjadi bualan ramai.
Secara terbuka Sultan Ibrahim menyatakan tidak bersetuju dengan rang undang-undang LPHJ kerana dipinda mengikut "desakan orang luar yang cetek akal dan tidak faham'' kuasa raja di dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor.
"Sekiranya rang undang-undang itu saya luluskan maka tidak selaras dengan beberapa enakmen lain (yang digunakan pakai di Johor). Oleh demikian saya harap Ahli-Ahli Dewan mengkaji semula dan membuat pindaan supaya selaras dengan enakmen lain.
"Johor mesti jadi Johor, ini adalah prinsip yang saya mahu tekankan dan menjadi asas kerajaan dan pembangunan negeri. Hanya orang Johor tahu keadaan dan keperluan rakyat Johor. Jangan biarkan orang luar mencampuri urusan negeri kita,'' titah baginda.
Pada Awang, ini adalah titah yang keras dan padat dengan mesej lalu  menuntut perhatian serius daripada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri mahupun rakyat di Johor. Persoalannya, wajarkah LPHJ yang sudah diluluskan di DUN Johor mahu dipinda sebagaimana kehendak Sultan Johor? Tidakkah nanti akan mencetuskan polemik baharu jika tidak ditangani dengan hati-hati? Malah dikhuatiri ia akan mengheret kepada krisis perlembagaan kerana Malaysia adalah negara Raja Berperlembagaan dan bukan beraja mutlak? Walaupun baginda mahu rang undang-undang LPHJ diselaraskan dengan enakmen lain seperti Enakmen Perbadanan Johor 1968 tetapi ia mempunyai implikasi yang bukan kecil.
Isu rang-undang LPHJ pernah panas ketika ia tercetus pada Jun tahun lalu ekoran kebimbangan pelbagai pihak terhadap kuasa sultan secara langsung dalam pentadbiran LPHJ. Ia kemudian dibentangkan di DUN Johor dengan pindaan terhadap kuasa Sultan, bagaimanapun sehingga hari ini baginda masih enggan menandatanganinya. Atas sebab itu, LPHJ yang ditubuhkan bagi mempermudahkan perancangan dan penyelarasan pembangunan perumahan serta hartanah di Johor, belum dapat direalisasikan.
Inilah antara cabaran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin dan seluruh ADUN sama ada mahu akur kepada titah baginda atau mengekalkan rang undang undang LPHJ seperti yang sedia ada. Ikutilah nanti jika ia dibahaskan pada sidang DUN Johor yang bermula hari ini dan berakhir 18 Mei. Dalam pada itu, Awang tertarik dengan reaksi Khaled yang komited untuk memperhebatkan penyediaan rumah rakyat walau tanpa LPHJ. Apa pun, diharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Awang percaya Sultan Ibrahim sedia mendengar segala maklum balas dengan hati yang terbuka dan melihat isu ini dalam gambaran lebih besar. Juga diharap baginda sedia menimbang untuk menukar pendirian demi kepentingan rakyat Johor selain memelihara institusi raja daripada terdedah kepada sebarang kritikan dan tohmahan.
Dalam satu pertemuan tidak lama dulu, Sultan Johor pernah menyatakan baginda sedia menerima apa sahaja pandangan atas prinsip berkata benarlah walaupun pahit. Maka inilah yang Awang sampaikan.

TH: Iktibar dan keyakinan

Isu pembelian lot tanah 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji (TH) yang mencetuskan kontroversi, mulai reda dengan keputusan untuk menjualnya semula.

Ramai lega dengan keputusan tersebut yang diambil oleh TH semalam selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak.
Awang percaya ia langkah terbaik bagi kepentingan semua pihak termasuk penyimpan dan pengurusan TH. Lagipun ternyata sentimen umum tidak memihak kepada TH walaupun pengurusannya menegaskan pembelian itu adalah pelaburan strategik atas pertimbangan komersil, bukannya bailout atau menyelamat 1MDB.
Dengan perkembangan terbaharu ini, marilah melihat ke hadapan dengan menjadikan isu tersebut sebagai iktibar bernilai buat semua terutama kepada TH. Di sebalik tercetusnya isu itu, keyakinan Awang dan ramai lagi kepada TH tidak tergugat. Prestasi TH bukan diukur dengan satu dua isu semata-mata. Banyak kisah kejayaannya yang mungkin tidak disedari atau diambil mudah.
TH diiktiraf dunia atas reputasi terbaik dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji. Syukur. Kos untuk menunaikan haji kekal RM9,980 sejak 2009, walaupun setiap tahun kos sebenar meningkat. Bagi tahun 2015, TH memberikan subsidi haji berjumlah RM7,290 bagi setiap jemaah untuk menampung kos sebenar haji RM17,270.
Tahun lepas, TH membayar bonus tertinggi sebanyak RM3.2 bilion  iaitu 6.25 peratus bonus tahunan + 2.0 peratus bonus haji. Semua itu bukan datang bergolek. Semoga pencapaian TH demi kepentingan penyimpan dan jemaah haji makin melonjak. Sekali lagi, Awang ada keyakinan.

Azmin ada kelas?

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sewajarnya memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar kerana menghamburkan kata-kata kesat.

Walaupun Azmin cuba menafikan tetapi ternyata istilah 'barua UMNO' yang ditujukan kepada Khalid, disebut oleh beliau dalam satu ceramah di Pulau Pinang baru-baru ini.
Sama ada ia berbentuk hamburan atau soalan, istilah itu tetap  digunakan. Juga, walaupun menafikan ungkapan itu, hanya ditujukan kepada Ketua Polis Negara dan bukan pasukan polis tetapi jawatan itu adalah institusi kepada keseluruhan pegawai dan anggota.
Awang tidak faham mengapa seorang Menteri Besar boleh menunjukkan sikap seperti itu. Kata-kata mencerminkan keperibadian. Jagalah adab, janganlah bawa budaya tandas rumah kongsi ke pentas ceramah politik.
Menteri Besar mesti ada kelas. Jika tidak mahu jaga imej parti yang selalu buat kecoh termasuk dalam pemilihan dan demonstrasi jalanan, jagalah imej negeri Selangor. Lagipun kalau sudah buat salah, janganlah malu untuk mengaku dan memohon maaf. Itu hanya menambah penghinaan buat diri sendiri.

- Pengarang Utusan Malaysia Rencana 10 Mei 2015
Tags: sultan
Subscribe

Posts from This Journal “sultan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments