MALAYSIA merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di mana Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang di-Pertuan Negeri ialah pemimpin bagi negeri-negeri yang tiada raja.
Pada Rukun Negara Malaysia yang kedua iaitu Kesetiaan Pada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuhnya taat, setia, jujur dan ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara, Raja-raja sebagai ketua negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Negeri sebagai ketua bagi negeri-negeri yang tidak beraja di tempat yang mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada baginda.
Namun, pada masa ini terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab telah mencalarkan prinsip Rukun Negara yang kedua. Puak-puak penghasut ini telah menggoyahkan kesetiaan rakyat pada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja serta Perlembagaan negara di mana mereka mempromosikan sebuah negara yang bersifat Republik, iaitu sebuah negara yang diperintah oleh ketua negara yang dipilih oleh rakyat dan bukannya bersifat monarki, iaitu beraja.
Raja-raja dan Sultan-sultan sebagai ‘Tuan Tanah’ pada negara ini. Namun sentimen Republik itu bukan sahaja telah disuntik ke dalam hati dan jiwa rakyat kita sahaja, ada juga rakyat-rakyat dari negara lain yang telah diracun pemikiran mereka sehingga akan mempertikaikan perihal kuasa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Jika di zaman kerajaan Melayu lama, mereka ini akan dikhususkan sebagai pengkhianat negara dan raja. Hukuman bagi pengkhianat sebegini ialah mati. Pada zaman kini pun, masih banyak negara-negara lain yang menjatuhkan hukuman bunuh pada mereka yang telah khianat pada negara.
Sebagai contoh di negara China, Vietnam dan Korea Utara, para pengkhianat akan ditembak mati di kepala mereka oleh pihak berkuasa. Lain pula di negara-negara Barat seperti England, Perancis, Sepanyol dan lain-lain. Mereka mengenakan hukuman penjara seumur hidup pada pengkhianat negara.
Pengkhianat negara
Perbuatan khianat juga memercikkan implikasi kepada dua dimensi kehidupan iaitu dimensi kerohanian (spiritual) dan dimensi sosial. Perbuatan khianat dalam dimensi kerohanian menyerlahkan sikap melanggar dan menentang ketentuan Allah SWT dan Rasul-Nya. Orang yang berbuat khianat, sama ertinya dengan mengkhianati Allah dan Rasul. Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui. (al-Anfal: 27)
Di dalam ayat tersebut pun telah jelas menyatakan tentang larangan khianat walaupun kepada amanat yang telah diberikan. Begitu pun, setiap masyarakat patut mempunyai nilai kesedaran yang tinggi terhadap pentingnya antara kita semua untuk memberikan sokongan penuh kepada ketua negara yakni menunjukkan kesetiaan kepadanya ialah apabila negara kita telah diancam daripada pelbagai faktor terutama sekali bencana alam.
Ketika negara ditimpa bencana, raja-raja akan bersama-sama dengan rakyat bagi membantu mereka yang menjadi mangsa bencana itu. Dari situ, institusi raja-raja dapat menitahkan kepada pihak yang berwajib agar segera memberikan pertolongan serta bantuan kepada mangsa-mangsa.
Sebagai contoh lain juga, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara menghadapi kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya. Di sini kita boleh lihat sebuah rangkaian daripada rakyat yang setia kepada raja dan negara kepada raja-raja yang menjalankan amanah mereka iaitu memberikan perlindungan kepada rakyat negara yang setia itu.
Walau bagaimanapun, kesetiaan kepada raja dan negara ini juga ada batasannya. Tiada gunanya jika kita memberikan kesetiaan kepada raja yang zalim kepada rakyatnya. Bak kata pepatah Melayu yang bermaksud “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”
Sebab itu sejak Zaman Kesultanan Melayu lagi raja yang zalim pasti akan ditentang oleh rakyat. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Shah iaitu yang telah mangkat akibat dibunuh oleh rakyat negerinya sendiri.
Raja Mahmud mangkat dijulang
Menurut kitab Hikayat Tuhfat al-Nafis, kisah ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor. Pada suatu hari, isterinya iaitu Dang Anum yang sedang mengandung telah bertemu dengan penghulu kebun yang sedang membawa buah nangka untuk dipersembahkan kepada sultan.
Dang Anum telah meminta seulas nangka itu kerana ia telah mengidam akan keenakan rasa nangka yang sedap itu. Ketika Sultan Mahmud sedang menyantap nangka itu, kemudian baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya itu ada kesan telah diusik orang.
Baginda begitu murka dan memerintahkan siasatan dijalankan dan telah mendapati bahawa yang memakan seulas nangka itu ialah Dang Anum. Beliau telah ditangkap dan telah dibelah perutnya sehingga menyebabkan kematian.
Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke kampung halaman untuk bertemu isteri tercinta yang sedang mengandung anaknya itu setelah pulang daripada peperangan. Setelah mendengar akan khabar berita daripada Tun Aman berkaitan kematian isterinya itu, Megat Seri Rama telah berasa marah yang teramat sangat.
Pada suatu hari, ketika sultan berangkat ke masjid bagi menunaikan Solat Jumaat menaiki tandu diraja, Laksamana Bentan telah menghalang kumpulan itu dan menjerit akan kata-kata keramat yang telah dipegang hingga kini iaitu raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Lalu Laksamana telah menikam sultan dan suasana di masjid menjadi kecoh apabila melihat darah sultan yang berdaulat telah mengalir di tanah.
Ketika itu juga sultan sempat menikam balas laksamana itu menggunakan keris kecilnya dan telah menyumpah akan keturunan laksamana: “Tujuh keturunan Laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi.”
Daripada kisah tersebut, kita dapat membezakan baik dan buruk raja-raja mengikut sejarah yang telah diceritakan sejak berzaman lamanya. Walau bagaimanapun, sebagai seorang rakyat, kita wajib mentaati pemerintah dan memberikan kesetiaan sepenuhnya pada negara yang kita bermastautin.
Tanpa pemerintah, siapalah kita dan ke manalah arah tuju kita di dalam negara ini. Segala anasir yang menggugat kuasa raja-raja dan keamanan negara wajiblah kita sama-sama membendungnya, sebelum ia menjadi lebih parah.