kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mempopularkan profesion keguruan

SEPERTI biasa, Hari Guru akan disambut beberapa hari lagi. Sekolah-sekolah, tidak kira sekolah rendah mahupun menengah sedang bersiap-sedia menyambut hari tersebut. Malah, ketika kebanyakan sekolah sedang menjalankan peperiksaan Pertengahan Tahun sekarang, pelbagai agenda untuk sambutan hari guru dirancang kerana sambutan Hari Guru sangat pen­ting untuk guru dan pelajar.

‘Guru Membina ilmu, Menyempurnakan Akhlak’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tema ini sangat bersesuaian dengan tuntutan perubahan zaman memandangkan tugas guru pada masa ini sangat mencabar dan di bahu merekalah terpikul amanah untuk mencorak warnakan bangsa dan negara masa depan.

Dalam bidang pendidikan, ilmu dan akhlak mestilah berjalan seiring dan sangat perlu bagi setiap pelajar. Kedua-duanya, jika lengkap dalam diri seseorang pelajar, mereka sebenarnya modal insan yang seimbang demi kesejahteraan hidup mereka kelak. Ilmu yang tidak diamalkan seperti pokok tidak berbuah, ilmu tanpa akhlak yang baik akan mencacatkan perjalanan hidup seseorang.

Kerana itulah, sekolah menjadi wadah penting menimba ilmu pengetahuan manakala guru menjadi penunjuk arah supaya anak-anak murid mereka mempunyai ilmu yang boleh diguna pakai dan akhlak yang boleh menjadi pendinding selepas mereka melangkah keluar dari alam persekolahan.

Sudah semestinya setiap pelajar yang meninggalkan bangku persekolahan akan mempunyai masa depan yang cerah jika mereka mempunyai ilmu yang sempurna dan akhlak yang mulia. Dengan ilmu mereka boleh mengetengahkan diri dalam masyarakat, memudahkan mereka memenuhi pasaran kerja. Manakala akhlak yang sempurna akan menjadikan mereka insan yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Tugas guru pada masa ini bukanlah mudah. Di atas kertas, memang ramai yang melihat tugas mereka hanya sebagai insan yang dipertanggungjawabkan mencapai kejayaan pelajar, memperoleh pangkat A dalam pe­periksaan malah kebanyakan ibu bapa kini mengukur kejayaan itu dengan berapa jumlah pangkat A dalam subjek-subjek yang diduduki oleh anak-anak mereka dalam peperiksaan.

Tidak ramai yang mengukur kejayaan anak-anak dengan akhlak dan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh anak-anak Malah, ada ibu bapa yang membelakangkan aktiviti kokurikulum anak-anak semata-mata mahu anak-anak mereka mencapai keputusan akademik yang cemerlang. Ada ibu bapa yang menyalahkan guru jika anak-anak mereka tidak cemerlang dalam peperiksaan.

Tugas guru pada zaman moden ini semakin mencabar kerana pelbagai masalah masih membelenggu dunia persekolahan. Anak-anak muda zaman ini mudah terpengaruh dengan pelbagai gejala negatif di luar dan dibawa ke alam persekolahan. Maka tidak hairanlah gejala buli, samseng sekolah, pergaduhan dan ponteng masih menjadi isu yang sukar hendak diselesaikan. Pengaruh dunia luar sangat kuat membelenggu fikiran pelajar dan jika matlamat asal mereka ke sekolah tidak dijadikan pegangan, maka tidak hairanlah mereka ini mudah terjebak dalam kancah tidak sihat.

Di sinilah letaknya tanggungjawab guru supaya membentuk akhlak mulia pelajar agar mereka dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Asas kukuh pembentukan akhlak anak-anak muda bukan hanya dari rumah tetapi juga di sekolah kerana setiap subjek mempunyai nilai murni tersendiri, cuma yang penting, kesemuanya harus digali dan diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih jelas.

Di samping itu, tidak dinafikan ba­­hawa sebagai tuntutan pembangu­nan negara, ilmu itu sangat penting bagi setiap pelajar. Peranan guru da­­lam membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar sangat pen­ting kerana dengan ilmu, pelajar akan menjadikan apa yang dipelajari di sekolah sebagai aset jangka panjang.

Selain apa yang ditetapkan sebagai bahan kajian dan dipelajari di sekolah, guru memainkan peranan membentuk budaya membaca dalam kalangan pelajar tidak kira sama ada semasa di sekolah atau selepas pelajar meninggalkan alam persekolahan. Guru mesti menekankan bahawa membaca bukan hanya untuk lulus peperiksaan tetapi kelangsungan membaca akan menjadikan ilmu itu tidak putus-putus ditimba sampai bila-bila.

Program NILAM yang diperkenalkan sejak tahun 1998 akan menemukan matlamatnya jika apa yang telah dirancang dan dilaksanakan itu menjadi amalan pelajar selepas mereka tamat belajar.

Profesion keguruan akan menjadi lebih popular jika semua pihak sama-sama membantu mengangkat guru sebagai pendidik. Ibu bapa, masyarakat dan pelajar itu sendiri mesti menghormati profesion ini kerana dengan cara ini, proses mencambah ilmu itu akan lebih berkesan.

Hampir setengah juta guru di negara kita dan bilangan ini merupakan kerjaya yang tinggi jumlahnya. Guru ada di mana-mana, di bandar, di pekan malah di ceruk-ceruk kampung yang masih belum dijamah kemajuan sepenuhnya. Tidak kira di mana mereka berada, mereka tetap menabur bakti kepada setiap pelajar yang mahukan pelbagai ilmu. Mereka juga terpaksa menghadapi pelbagai masalah yang perlu dipikul dan diselesaikan.

Selamat menyambut Hari Guru. - M Jasni Majed Utusan Malaysia Rencana 15 Mei 2015

Tags: guru, profession
Subscribe

Posts from This Journal “profession” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments