kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran baharu kerjaya guru abad ke-21

PUTRAJAYA 14 Mei - profesion keguruan pada abad ke-21 terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk kebendaan, intelek­tual, pemikiran, kerohanian, kebudayaan, ideologi baharu dan isu-isu yang berkaitan dengan masalah etika.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, bagi mendepani cabaran tersebut para guru perlu membina dan membentuk pelajar agar mampu bangkit dan membina kekuatan untuk menentukan masa depan yang lebih cerah.

Beliau berkata, guru juga perlu memahami bahawa penghayatan moral, nilai dan akhlak merupakan asas kepada kehidupan manusia dan asas martabat sesuatu profesion khususnya profesion keguruan yang bertanggungjawab memelihara tradisi dan budaya masyarakat Malaysia.

“Para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh persaingan, pendidikan adalah bersifat futuristik, maka kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita juga perlu melahirkan ge­nerasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi terkini serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Khair, pemilihan tema sambutan hari guru tahun ini, Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak adalah selaras dengan hasrat kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu mengenai enam aspirasi murid.

“Kementerian mahu lahirkan murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional, sehubungan itu guru perlu memainkan penting dalam menjayakannya.

“Ilmu merupakan faktor terpen­ting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara, ilmu juga membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi dan daya kreatif dalam kalangan individu dan bangsa, saya percaya semua agama dan sistem sosial manusia mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, para pendidik seharusnya mengorak langkah untuk melengkapkan diri sebagai pembina dan pemimpin ilmu khususnya berasaskan tek­nologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang.

“Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan bersedia dengan minda untuk belajar sepanjang hayat dan mempu­nyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi ketika ini. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif juga perlu terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa,” katanya.

Sejajar dengan tema itu, beliau berkata, kementerian berhasrat untuk melahirkan murid yang boleh bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat glo­bal, namun dalam masa yang sama menjadi warganegara yang masih berakar umbi kukuh sebagai rakyat Malaysia bertunjangkan nilai etika dan kerohanian tinggi.

“Pendidik yang profesional dapat menangani pengajaran dan pembelajaran bagi membudayakan anak didik dengan amalan akhlak dan nilai-nilai murni, mereka perlu faham bahawa perkembangan dan kemajuan dunia boleh mempe­ngaruhi gaya hidup dan akhlak ma­syarakat.

“Perkembangan dunia dalam aspek ekonomi, sosial, politik dan tek­nologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan berkualiti. Oleh itu para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baharu di abad ke-21,” katanya.

Sementara itu katanya, tugas dan tanggungjawab guru dalam menyempurnakan akhlak adalah selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang menyatakan pendidikan Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

“Etika dan kerohanian masih diberikan penekanan dalam PPPM 2013-2025 sebagai salah satu dari­pada enam aspirasi murid, tanpa memasukkan elemen pendidikan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran, cita-cita untuk melahirkan generasi cemerlang dari semua aspek tidak akan berhasil,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas menge­nai pemilihan tarikh 16 Mei untuk menyambut hari guru, Khir berkata, tarikh tersebut dipilih bertepatan dengan 16 Mei 1956 iaitu tarikh yang sama ketika Laporan Razak diiktiraf dan dijadikan sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan.

“Objektif utama sambutan hari guru ialah untuk menghargai jasa dan peranan guru dalam pembangunan negara, modal insan serta perkhidmatan mereka kepada masyarakat selain memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah dalam kalangan guru.

“Tahun ini merupakan tahun terakhir untuk melihat keberhasilan gelombang kedua PPPM 2013-2025, oleh itu sambutan hari guru 2015 akan memfokuskan kepada elemen keberhasilan gelombang pertama PPPM khususnya inisiatif-inisiatif yang berkaitan keberhasilan murid, kualiti guru dan kepimpinan sekolah,” katanya. Hakimi Ismail Utusan Malaysia Rencana 15 Mei 2015

Tags: guru
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments