kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemerintah, rakyat kena amanah

Seperti saya sebut pada minggu lalu, Islam juga mempunyai prinsip kedaulatan undang-undang. Perlu ditegaskan bahawa kedaulatan undang-undang adalah juga antara prinsip asas dalam pentadbiran Islam.

Kita tidak perlu beretorik dalam konsep ini. Oleh itu, penegasan perlu dibuat bagi menjelaskan bahawa kedaulatan undang-undang ini mempunyai dasar yang jelas dalam sistem pemerintahan Islam.

Semua prinsip ini mempunyai justifikasi perundangan Islam. Walaupun terdapat hujah yang menolak peranan al-Quran dan sumber perundangan Islam lain dalam teori Perlembagaan, pendapat berkenaan adalah salah.

Pendekatan dan fahaman begini sebenarnya hanya mengambil pendekatan mudah dan simplistik mengenai al-Quran. Ia gagal memahami pengisian al-Quran dan mendorong ke arah tafsiran salah mengenai perundangan Islam.

Prinsip Perlembagaan

Prinsip faham Perlembagaan menurut prinsip Islam dapat dilihat, antara lain, dalam ayat suci al-Quran, ayat 58 dan 59 Surah al-Nisa'. Ayat ini bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada 'Ulil-'Amr' (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih bak (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

Dalam konteks faham Perlembagaan atau constitutionalism prinsip kedaulatan undang-undang amat jelas sekali dalam ayat suci ini. Antara konsep berkaitan ialah konsep amanah, keadilan, mentaati pemerintah dan prinsip ketinggian sumber hukum Islam. Ayat suci al-Quran ini menggunakan istilan 'al-amanat', yang merujuk kepada kepelbagaian amanah (segala jenis amanah).

Ini menjadikan aplikasi ayat ini begitu luas dan umum, termasuklah amanah yang didukung oleh pemerintah dalam menjalankan pentadbiran. Bagi maksud pelaksanaan amanah, ayat al-Quran ini bukan memberi ingatan, tetapi ia menyuruh semua pemegang amanah melaksanakan amanah kepada pemiliknya.

Kewajipan menunaikan amanah dalam maksud ayat suci al-Quran ini adalah satu perintah, ia bukan semata-mata nasihat. Lafaznya dari sudut etimologi menunjukkannya satu perintah serius, dan jelas. Ia tidak memberi atau membuka ruang tafsiran kepada ayat ini.

Dalam konteks pentadbiran negara, jika mahu disesuaikan dengan konsep kedaulatan undang-undang (seperti dipopularkan Barat itu), maksud ayat suci ini ialah pemerintah hendaklah melaksanakan amanah dengan adil kepada semua yang berhak.

Semua yang berhak dalam konteks pentadbiran negara ini merujuk kepada semua rakyat kerana merekalah yang menjadi subjek atau punca kepada lantikan pemerintah dan pentadbiran negara.

Kebebasan rakyat

Berkaitan, perkara yang sering dibawa ke hadapan dalam perbahasan kedaulatan undang-undang ialah hal berkaitan hak atau kebebasan rakyat.

Hak atau kebebasan ini perlu dijamin oleh pemerintah melalui perundangan. Hak dan kebebasan juga membentuk aspek penting dalam prinsip kedaulatan undang-undang Islam.

Hak dan kebebasan ini perlu dilaksana oleh pemerintah berdasarkan prinsip hidup Islam sebagai satu aspek dalam pelaksanaan amanah.

Prinsip kedaulatan undang-undang dalam Islam bukan sahaja meletakkan tanggungjawab ke atas pemerintah untuk melaksanakan amanah, tetapi amanah juga didukung oleh semua pihak, sesiapa sahaja, sama ada rakyat atau penjawat awam, tidak kira pangkat dan kedudukan.

Perkara ini jelas dengan sifat kepelbagaian amanah dalam perkataan yang digunakan dalam ayat al-Quran ini seperti yang disebut di atas.

Ayat suci ini juga meletakkan tanggungjawab rakyat untuk mentaati pemerintah yang melaksanakan tanggungjawabnya. Mentaati pemerintah juga amanah yang wajib dilaksana oleh rakyat.

Ayat pertama yang dipetik di atas menegaskan tanggungjawab melaksanakan amanah, ayat seterusnya meletakkan hak pemerintah untuk ditaati setelah perintah Allah dipenuhi.

Ini menunjukkan konsep kedaulatan undang-undang dalam Islam tidak berat sebelah. Ia adil kepada pemerintah dan juga kepada yang diperintah.

Keadaan ini penting kerana bukan sahaja pemerintah yang tertakluk kepada undang-undang, tetapi semua pihak memegang amanah dan seterusnya tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang.
Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 14 Mei 2015
Tags: demokrasi, perlembagaan, rakyat
Subscribe

Posts from This Journal “demokrasi” Tag

  • Apa anda faham mengenai Demokratik dan Republikan?

    Di Amerika Syarikat, perkataan Demokrat dan Republikan banyak digunakan untuk bermaksud dua parti politik utama Amerika: Parti Demokrat dan Parti…

  • Teori Politik Demokrasi

    Pilihanraya Amerika Syarikat 2020 berakhir dengan Biden menenewaskan Trump. Banyak juga berita dan akhbar global mengeluarkan tajuk Trump, You…

  • Menang percuma demokrasi sakit

    Prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara perlu menjadi pegangan buat mereka yang ingin bertanding pada pemilihan pucuk pimpinan dan bukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments