KISAH seram, pengalaman menakutkan dan cerita mengerikan pasti menjadi perkara yang bermain dalam fikiran apabila memandang orang yang bekerja di rumah mayat.
Jabatan Perubatan Forensik adalah organisasi bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan jenazah di rumah mayat. Setiap orang yang bekerja pasti mempunyai pengalaman tersendiri sepanjang berkhidmat di jabatan tersebut.
Tanggungjawab menguruskan jenazah di bahagian forensik mencari punca kematian dan melakukan pengecaman mayat bukanlah kerja yang mudah. Amanah yang dipikul memerlukan seseorang itu bersemangat kuat dan mempunyai ketahanan mental yang mantap untuk berhadapan dengan mayat dalam pelbagai keadaan.
Sumbangan Jabatan Perubatan Forensik memang tidak dapat dinafikan lagi dalam pembangunan bidang perubatan sama ada di Malaysia mahupun di serata dunia.
Selain mencari punca kematian, penemuan-penemuan dalam bedah siasat begitu penting dan menjadi rujukan untuk mencari kaedah rawatan bagi pesakit yang masih hidup. Di samping itu, ia turut mencari keadilan bagi si mati yang teraniaya.
Kepakaran dan kehebatan Jabatan Perubatan Forensik di Malaysia telah diiktiraf oleh kerajaan apabila sebuah Institut Perubatan Forensik Negara ditubuhkan pada April 2002.
Selain itu, kepakaran anak tempatan dalam bidang tersebut turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diterima menjadi sebahagian daripada kumpulan penyiasat dan pengecaman mayat nahas pesawat MH17 di The Hague, Belanda pada Julai 2014.
Ikuti Wartawan S2, Mohamad Athir Ismail dan jurufoto, Ghazali Basri serta Djohan Shahrin Shah Sabli yang berpeluang melawat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur untuk melihat sendiri cabaran bekerja di rumah mayat.
BERBICARA tentang kematian, rumah mayat dan seumpamanya pasti terdapat kisah-kisah ‘selingan’ yang bersangkut-paut seperti cerita misteri, gangguan makhluk halus dan sebagainya.
Begitulah pengalaman yang dialami oleh para petugas di rumah mayat atau lebih dikenali sebagai Jabatan Perubatan Forensik. Lebih lama berkhidmat lebih banyak pengalaman yang diperoleh.
Mayat, sering dikaitkan dengan pelbagai cerita misteri. Ia bukan sahaja menjadi bualan masyarakat kita, malah turut dipercayai oleh masyarakat di negara-negara lain.
Siapa yang tidak terkejut kalau melihat sekujur badan tidak bernyawa tiba-tiba bergerak, apatah lagi melihat matanya terbuka sendiri. Pasti orang yang sedang menguruskan jenazah akan bertempiaran lari.
Walau bagaimanapun, mayat bergerak sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi pekerja-pekerja dalam bidang forensik. Hal ini pernah dialami sendiri oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Kamaluddin Kamis.
“Seingat saya dalam dua atau tiga tahun yang lalu, saya bersama seorang doktor dalam bilik autopsi sedang bersiap-siap untuk menjalankan bedah siasat. Kisah ini berlaku pada waktu malam..., pukul berapa saya tidak ingat.
“Sekujur mayat sudah siap diletakkan di atas katil. Kami pula sedang bersiap-sedia untuk menjalankan bedah siasat. Kemudian, saya hendak mengubah ketinggian katil supaya selesa kami menjalankan tugas.
“Waktu tengah tunduk untuk ‘adjust’ katil tersebut, elok sahaja mayat itu menoleh ke arah saya dan matanya terbuka secara tiba-tiba.Terkejut bukan kepalang, tetapi autopsi tetap diteruskan untuk memudahkan perjalanan kes,” katanya kepada S2.
Jelas beliau insiden tersebut bukanlah sesuatu yang misteri baginya kerana itu adalah perubahan biasa yang berlaku pada mayat seperti otot-otot mengecut, refleksi dan sebagainya.
“Selepas insiden tersebut, baharu saya teringat bahawa mungkin mayat tersebut mengalami kejang atau pengecutan otot ataupun refleksi saraf.
“Namun ada juga kisah-kisah misteri yang pernah saya alami seperti badi yang sering disebut masyarakat kita apabila berdampingan dengan mayat. Selepas kerja, saya terus pulang ke rumah.
MOHAMAD Hamba li menunjukkan mayat bayi yang tidak terkecuali daripada proses bedah siasat untuk mencari punca kematian. |
“Tiba di rumah, saya terus menyarung jaket tanpa menukar baju kerja untuk keluar rumah. Waktu itu, saya pelik melihat anak saya main sergah-sergah di belakang pintu sendirian.
“Kemudian, baru teringat yang saya belum mandi dan menukar pakaian lagi. Terus saya pergi mandi, lepas itu anak saya tidak lagi main seorang diri,” ujarnya.
Menceritakan kisah yang lebih menarik di rumah mayat, Pembantu Perubatan Kesihatan, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Mohamad Hambali Md Kusaini turut berkongsi pengalaman bekerja di sana.
“Kata orang rumah mayat mesti banyak cerita-cerita mistik dan menyeramkan. Pada pandangan saya, di mana-mana pun boleh wujud perasaan takut dan seriau.
“Cuma di sini, saya pernah mengalami kisah yang orang panggil sebagai kelibat. Ada suatu hari itu, saya ternampak kelibat kawan sekerja berjalan di sekitar kawasan jabatan ini. Saya tidak kejar, cuma telefon dia dan tanya nak pergi ke mana. Terkejut saya bila dia cakap dia ada di rumah.
“Selain itu, saya pernah dengar bunyi bising dalam peti simpanan mayat. Saya terus periksa, tengok kalau ada ‘mayat’ yang mungkin masih hidup. Tetapi tidak ada, semuanya okey, mungkin bunyi bising mesin penyejuk peti agaknya,” katanya.
Tambah beliau lagi, kisah-kisah misteri ini kadang-kadang hanyalah mainan perasaan. Paling penting kita hormat orang yang sudah meninggal dan jangan sesekali menuduh bukan-bukan
“Sama ada jenazah itu meninggal akibat kemalangan, jangan sesekali kita cakap dia merempit, minum arak, hisap dadah dan sebagainya. Itu urusan dia dengan yang Maha Pencipta. Kita cuma perlu ingat tanggungjawab yang diamanahkan sahaja untuk mengurus mayat tersebut,” ujarnya.