kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kekang ketagihan internet

SEBILANGAN besar pembaca yang segenerasi dengan saya semasa bermulanya dasar langit terbuka pada awal 1990-an, pasti terkesima melihat penggunaan Internet dalam kalangan generasi millenials hari ini.

Awal 1990-an ialah era kritikal bagi kebanyakan pejabat akhbar kerana memerlukan syarikat mengeluarkan modal untuk menukar mesin taip kepada komputer, serta peralatan lain untuk tujuan percetakan. Pada Mei 1992, saya memulakan kerjaya sebagai pemberita.

Di pejabat akhbar The People’s Mirror di Kuching, terdapat empat komputer disediakan untuk lapan wartawan. Tolak satu yang "dimilik negara" oleh pemberita kanan, maka tinggal tiga. Waktu maha genting ialah selepas jam 2 petang kerana hampir keseluruhan pasukan pulang daripada "menangkap ikan". Siapa berkenderaan sendiri, lazimnya akan dapat menggunakan lebih dulu berbanding kami yang naik bas yang pusing sejam sekali.

Jadi apa yang dibuat oleh empat lagi sementara menunggu rakan lain menyiapkannya? Ke kantin, makan mi segera kari! Komputer yang digunakan adalah besar "bagak" dengan sistem operasi OS/2 dan teks disimpan dalam floppy disc atau disket. Kami kena mencetak teks untuk diserahkan kepada pengarang, yang akan hanya menerima floppy disc jika teks benar-benar bersih dari segi ejaan dan jawatan subjek.

Bagaimana dengan sambungan ke Internet? Tidak wujud sama sekali. Komputer hanyalah peng­ganti kepada mesin taip. Hanya selepas berhijrah ke Bernama pada 1993, baharulah mengenali lebih dekat apa itu Internet. Ketika itu, enjin carian Yahoo bagaikan pintu ke langit ketujuh!

Itu cerita 23 tahun lalu. Hari ini Internet adalah segalanya. Ia boleh diakses dalam komputer dan apa sahaja gajet elektronik yang ada seperti telefon, tablet dan entah apa lagi. Ini menjadikan Generasi Y sememangnya "lahir saja terus disuakan dengan Internet" iaitu ibu bapa mengambil gambar dan diposkan ke Instagram, Facebook dan Twitter.

Paling terbaharu, satu kaji selidik tentang Gen Z oleh INTI International University and Colleges (INTI) merumuskan generasi ini bukan sahaja hyper-connected tetapi juga “berusaha sendiri”, dengan aspirasi untuk menjadi usahawan berbanding kerjaya tradisional seperti doktor, jurutera dan peguam.

Dilahirkan antara 1995 dan 2009, Gen Z juga “peka media sosial,” memiliki akses kepada maklumat tentang isu global dan sosial pada usia muda yang melahirkan minat dalam kerja-kerja sukarela sosial. Antara inti patinya ialah:

1 Generasi ini menghabiskan purata lapan jam sehari melayari Internet, dengan kira-kira 41 peratus merasakan tidak sempurna bila tidak berbuat demikian.

2 Kira-kira 42 peratus mahu melakukan sesuatu yang serba baharu apabila membuat pilihan kerjaya, 37 peratus berharap untuk menukar hobi mereka menjadi kerjaya dan 31 peratus mahu menjadi usahawan.

3 Hampir 94 peratus Gen Z melayari laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter setiap hari dan 41 peratus Gen Z merasakan tidak sempurna diri mereka apabila tidak berbuat demikian, adalah jelas Gen Z, yang “bimbang tidak dalam talian”, sangat bergantung tinggi kepada rangkaian maya.

4 Internet dan media sosial telah menjadi kaedah bagi Gen Z menzahirkan diri mereka kepada kehidupan sebenar dan rangkaian sahabat dalam talian dan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi audiens. Maka, teknologi hari ini telah menjadi alat bagi meningkatkan ciri-ciri personaliti. Mereka yang dalam Gen Z dengan personaliti suka bergaul adalah lebih ramai menggunakan media sosial untuk meningkatkan rangkaian sahabat mereka selain meraih populariti dengan rakan sebaya.

5 Sebanyak 26 peratus Gen Z merasa sedih apabila tiada sesiapa memberi komen atau likes terhadap status atau gambar mereka. Dalam dunia maya hari ini, meraih komen dan likes ke atas gambar dan pernyataan boleh meraih suatu perasaan kuat merasakan diri mereka diterima dan diiktiraf oleh rakan sebaya atau rakan digital.

6 Gen Z juga akan menggunakan kesempatan daripada pelbagai platform untuk mempamerkan kreativiti dan bakat mereka kepada dunia. Lima platform utama digunakan oleh Gen Z ialah Facebook (92%), WeChat (70%), YouTube (66%), WhatsApp (66%) dan Google+ (33%).

7 Gen Z amat menyukai gajet mereka, melihat kepada hampir tiga paparan gajet yang berlainan setiap hari.

8 Sebanyak 49 peratus Gen Z menyukai mesej ringkas dan segar dan memiliki tempoh perhatian pendek kerana mereka mudah dipesongkan perhatian.

Apa implikasi kepada generasi ini? Sebagaimana saya merrepak awal di atas, generasi saya mendakap Internet dengan condong kepada keperluan kerja, bukan bersosial.

Pakar terapi perkahwinan dan keluarga, Charis Wong yang juga ahli psikologi dan Pengarah Pusat Terapi Perkahwinan, Keluarga dan Kanak-kanak KIN & KiDS berkata, penemuan kaji selidik itu menggariskan kepentingan ibu bapa kepada Gen Z untuk sentiasa mengikuti perkembangan teknologi digital moden dan sumber-sumber Internet yang ada supaya mereka lebih bersedia untuk menangani isu-isu keibubapaan baharu.

Ini termasuk melaksanakan keselamatan asas dalam talian bagi anak mereka, belajar bagaimana untuk memantau kegiatan Internet anak mereka, melindungi anak mereka daripada pemangsa dalam talian dan pembuli siber serta menetapkan had terhadap masa penggunaan Internet anak mereka.

Dinamik baharu ini yang wujud dalam kehidupan di era digital yang pesat dengan maklumat mudah diakses hanya di hujung jari mereka menjadikan tugas ibu bapa hari ini lebih mencabar daripada sebelum ini, kata Wong.

Ringkasnya, kita sebagai ibu bapa kena berubah cara kawal selia aktiviti maya anak-anak ini. Tidak boleh sewenang-wenangnya Log out.

-  Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 17 Mei 2015
Tags: ict, internet
Subscribe

Posts from This Journal “ict” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments