kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Muflis: Dasar pelik bank?

WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu.

Dalam satu insiden lelong terbaharu melibatkan seorang peminjam di Johor Bahru, nilai aset peminjam berkenaan dilaporkan berjumlah RM27 juta dengan hutang yang ditanggungnya hanya kira-kira RM4 juta.

Peminjam terbabit hanya tertunggak tiga bulan ansuran bulanan, namun yang mengejutkan, pihak bank terus mengambil tindakan drastik. Antaranya, menarik balik kemudahan pinjaman, mengarahkan pihak peguam bank melelong hartanah serta memaklumkan bahawa peminjam telah pun dibankrapkan.

Mendedahkan hal demikian kepada Utusan Malaysia semalam, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif memberitahu, yang menarik minat pihaknya untuk menangani kes tersebut apabila diberitahu oleh peminjam bahawa pihak bank memaklumkan di dalam ‘Islamic loan’ jika tertunggak bayaran sebanyak tiga bulan sahaja, bank boleh menarik balik fasiliti pinjaman.

Ini sekali gus meneruskan tindakan perundangan bagi melelong hartanah serta membankrapkan peminjam kerana menurut kata bank tersebut, ‘Islamic loan’ tiada apa-apa rayuan yang boleh dibuat. Dan kesemua perkara itu telah pun tertera atau tercatat dalam perjanjian pinjaman dan pihak peminjam telah menandatanganinya tanda bersetuju.


Ahli Jawatankuasa Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) dari kiri ke kanan, Nurxanick, Abdul Wahab,
Rosland Mohd Arif (Presiden), Datuk Ismail Kamil (Penasihat), Anuar Ariff (Ketua Aktivis), Zam Shahrany (peguam) dan Nuresdy.

“Malah, pihak bank mencabar, jika tak puas hati dengan tindakan bank, peminjam boleh melantik peguam untuk lawan kes atau buatlah aduan terus ke bank negara.

“Ekoran itu, pihak kami 4PM menyahut cabaran ini bagi pihak peminjam dengan tindakan telah dimulakan. Maklumat semasa hasil siasatan 4PM mendapati terkini pinjaman tersebut tiada langsung tunggakan yang mana ansuran bulanan telah dibayar sehingga bulan ini (Mei tahun ini). Persoalannya, atas dasar apakah tindakan perundangan diambil terhadap peminjam ini?,” kata beliau.

Dalam satu lagi kes, seorang peminjam dari Cameron Highlands melaporkan kepada 4PM, segala usaha telah dilakukan dengan membuat rayuan namun tetap tidak diendahkan oleh bank. Kata bank, jalan penyelesaian hanyalah melalui lelongan awam.

“Ini tidak ada perikemanusiaan. Dalam kes jenayah berat sekali pun, apabila pesalah dijatuhi hukuman gantung sampai matipun, pesalah masih lagi diberikan peluang merayu di Mahkamah Rayuan dan kemudian ke Mahkamah Persekutuan. Ini tidak dalam kes muflis, hairan?,” kata Rosland.

Rosland mendedahkan, trend terkini amalan pihak bank adalah menutup pintu rundingan, melainkan dengan peminjam membuat bayaran penuh baki hutang pada jumlah yang terlalu tinggi.

Kata beliau: “Akan tetapi apabila pembayaran dibuat, pihak bank menerima atas dasar ‘tanpa prasangka’ (without prejudice). Bayaran diterima tetapi tindakan tetap diteruskan. Ini keterlaluan. Bank sepatutnya lebih prihatin dalam memberi pe­luang kepada pihak peminjam.”

Terkini, kata Rosland, dasar pi­hak bank amat pelik kerana terdapat cara penyelesaian yang boleh disarankan kepada peminjam. Namun malangnya bank langsung tidak fo­kus atau mencadangkan bentuk penyelesaian kepada pihak peminjam.

“Contohnya, Bank Negara menggalakkan pihak bank supaya menggunakan peranan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang boleh dirujuk kepada peminjam, namun ini tidak dilakukan.

“Selain, boleh dicadangkan supaya membuat penjadualan semula ke atas pinjaman bagi mengelakkan perundangan diteruskan, ini juga tidak disarankan,” katanya.

Bagi peminjam yang jatuh sakit, hilang upaya, bencana alam ataupun dibuang kerja, mereka layak diberi kelonggaran dari segi pembayaran yang dipanggil ‘moratorium’ untuk tempoh maksimum setahun. Ini bagi mengelakkan tindakan perundangan diteruskan.

“Selepas tempoh tersebut, barulah wajar untuk mereka memulakan semula pembayaran mengikut kadar kemampuan yang dipersetujui pihak bank,

“Namun hari ini bank tetap de­ngan pendirian asal, teruskan ‘legal action’ ke atas peminjam yang akhirnya rumah akan dilelong, kereta ditarik dan kesudahannya jatuh bankrap,” kata Rosland yang bagaimanapun memuji komitmen beberapa bank seperti CIMB dan Hong Leong Bank yang memberi ruang kepada 4PM berunding untuk membincangkan kes muflis melibatkan peminjamnya.

Dalam hal ini, kata beliau, 4PM yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) boleh dihubungi di talian 03-23867835 atau 019-2531000/019-3971000 dan www.ppppm.weebly.com.

Kata beliau: “Setakat ini, kami telah berjaya menunda dan menarik balik kes-kes lelongan awam. Banyak kes telah kami keluarkan daripada status kebankrapan walaupun prosesnya juga rumit.

“Ahli-ahli perniagaan yang telah dituntut oleh bank-bank untuk membayar balik berjuta-juta ringgit selalunya berasa lega sebab mereka dianugerahkan pengurangan yang berbaloi. Satu contoh melibatkan seorang ahli perniagaan yang dituntut supaya bayar balik RM1.9 juta. Tetapi dengan komitmen kami mewakili beliau dan juga laporan kepada Bank Negara, akhirnya beliau hanya diluluskan bayaran balik RM1.1 juta sebagai penyelesaian akhir.”

Tags: muflis
Subscribe

Posts from This Journal “muflis” Tag

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Belia muflis akibat belanja luar kemampuan

    MUFLIS atau bangkrap adalah perkataan yang paling digeruni kerana sekiranya ia berlaku banyak kesan buruknya. Setiap orang apabila ditanyakan soalan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments