kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tanggungjawab bersama 
dalam pasukan

DALAM mana-mana situasi sekali pun, kecuali dalam keadaan di mana seseorang itu memilih untuk bertapa berseorangan, di dalam gua atau di tempat sunyi, seseorang manusia itu amat memerlukan manusia lain untuk melengkapkan kehidupannya, baik dalam keluarga atau organisasi di luar keluarga.

Bahkan manusia lebih mampu menghasilkan yang terbaik bila berfungsi dalam pasukan. Ahli-ahli pasukan dapat menggembleng tenaga, usaha, buah fikiran, idea dan pendapat supaya matlamat serta hasrat bersama dapat dihasilkan sebaik mungkin.

Dan sebagai pasukan, ahli-ahlinya mampu bersatu utuh menjadi lebih kukuh dan berupaya, berbanding dengan jika bertindak dan berusaha secara berseorangan.

Dalam mana pasukan akan ada ketua dan mereka yang memberi kepimpinan dalam bidang masing-masing. Mereka sebenarnya sama memimpin dan dipimpin antara satu dengan lain.

Seperti pasukan dalam sebuah kapal, walaupun ada kaptennya sebagai pengemudi, kesemua ahli-ahli pasukan lain sama-sama bertanggungjawab dalam tugas masing-masing untuk memastikan kapal sentiasa dalam keadaan terbaik semasa dalam pelayaran.

Mana-mana kecuaian oleh mana-mana pihak pasti akan menjejaskan pelayaran, kerana berlaku gangguan seperti kerosakan enjin atau kesan negatif akibat maklumat arah haluan yang tidak betul yang diberi oleh mereka yang bertanggungjawab, kepada kapten kapal.

Begitu juga dalam mana-mana organisasi, peranan berusaha dan bertindak secara pasukan, amatlah penting. Ini menentukan antara lain:-

- Kekuatan dan ketahanan organisasi

- Jelasnya haluan yang sedang dan akan diambil bersama

- Tercapainya matlamat-matlamat bersama

- Kemampuan menggembleng kepelbagaian pendapat dan pandangan untuk dirumuskan menjadi sebagai pendapat dan keputusan bersama atau kolektif.

- Tindakan selanjutnya daripada keputusan bersama itu, akan merupakan tindakan bersama.

Dan setiap keputusan serta tindakan bersama tersebut akan diiringi oleh tanggungjawab bersama atau kolektif iaitu tanggungjawab yang harus dipikul bersama. Iaitu dalam konteks ‘Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’.

Tidak timbul soal:-

- Mengelak daripada peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai ahli dalam pasukan

- Mengecualikan diri terlibat dalam keputusan dan tindakan pasukan

- Atau mempersalahkan sesiapa dalam pasukan jika ada masalah

- Tidak berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama atau kolektif dan cuba melepaskan diri daripada tanggungjawab tersebut.

Dalam kemelut yang sedang dihadapi negara seperti berkaitan isu-isu di sekitar 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sebagainya kelihatan dalam kerajaan dan dalam parti, kecenderungan hakisan prinsip tanggungjawab bersama atau kolektif.

Terdapat pelbagai reaksi daripada ahli-ahli pasukan dalam kerajaan dan parti. Terdapat pihak-pihak yang:-

- Mengecualikan diri dan tidak mahu nampak terlibat, atau terbabit

- Bertindak seolah-olah mereka ‘orang luar’ kerajaan dan parti serta menyoal dan mendesak seolah-olah bukan ahli pasukan

- Yang menuding jari tanpa usul periksa

- Yang bertindak lebih daripada pihak yang sememangnya penentang pasukan kita dan semakin mengeruhkan keadaan

- Berusaha menangguk di air yang keruh untuk kepentingan diri masing-masing.

Seolah-olah apabila kapal mula terumbang-ambing, masing-masing mula terjun. Dalam mengendalikan apa-apa jua organisasi, memahami tanggungjawab bersama adalah keutamaan supaya setiap masalah diselesaikan bersama. Setiap ancaman dihadapi dan diatasi bersama. Setiap ranjau dielak secara bersama dan segala buruk baik ditanggung bersama.

Menuding telunjuk kepada kapten, hanya menuding empat jari lain kepada diri sendiri. Jangan berlaku keadaan di mana di waktu gelak ketawa satu dunia bersama-sama ketawa tetapi semasa menangis kapten pasukan menangis berseorangan.

Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Utusan Malaysia Rencana 18 Mei 2015

Tags: kerjasama, tanggungjawab
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments