kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harumanis: Rezeki terbaharu Perlis

AYAH penulis di Perlis sudah dua tiga kali menelefon penulis, bertanya bila penulis hendak pulang ke kampung. Menurutnya, harumanis sudah tua dan banyak yang masak. Ketika cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak baru-baru ini, buahnya belum cukup tua.

Kalau penulis, pulang waktu itu, belum boleh merasa buahnya, tetapi kalau dibeli di tempat lain memang ada, tetapi kenalah keluar belanja yang tinggi kerana sudah ada yang mencecah RM35 sekilogram.

Ayah penulis hanya ada tiga pokok harumanis. Sebatang di depan rumah, sebatang di belakang rumah dan sebatang lagi di tengah sawah. Sejak harga harumanis melambung, pokok yang di tengah sawah tidak pernah sempat dimakan kerana buahnya dicuri orang.

Kalau tanam apa-apa pun di batas-batas sawah yang jauh dari rumah, baik serai mahupun pisang, tuannya jarang dapat merasa. Jadi habuan pencuri. Ketika Perlis popular dengan daun ketum sedikit masa dahulu, anak-anak ketum yang ditanam jauh dari rumah pun hilang.

Menurut ayah penulis, kalau ada dua pokok harumanis dan menjadi pula buahnya, dan kalau tidak busuk berulat, jual buahnya kepada peraih, RM1,500 mesti dalam tangan. Disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan penggemar harumanis sama ada dalam dan luar negeri, kadang-kadang peraih datang kait buah-buah yang belum cukup tua, kemudian jual di sana-sini.


Buah mempelam Harumanis yang dihasilkan dari Ladang Harumanis, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis. UTUSAN/Muhamad Iqbal Rosli.

Harumanis adalah keunikan dan rezeki terbaharu negeri Perlis. Tanaman ini tidak begitu sesuai di negeri-negeri lain kerana faktor tanah dan cuaca. Sama seperti buah sukun yang cukup enak di beberapa negeri termasuk Selangor tetapi tidak begitu menjadi di Perlis. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mencadangkan agar tanaman ini turut ditanam di negeri-negeri lain, meskipun dijangka hasilnya tidak sama seperti di Perlis.

Rezeki terbaharu Perlis juga berkait rapat dengan industri pelancongan. Dijangka pada cuti persekolahan selama dua minggu bermula hujung Mei ini, Perlis akan menjadi tumpuan sekali lagi termasuk anak-anak Perlis yang akan pulang kerana harumanis. Gerai-gerai buah di Perlis mesti ada harumanis. Sepanjang lebuh raya dari Changlun ke Kuala Perlis juga ada gerai-gerai baharu di samping gerai yang sudah sedia ada berhampiran simpang ke Politeknik Arau.

Mempelam-mempelam lain se­­per­ti cokanan, sala, mempelam Siam, mempelam susu dan sebagainya seolah-olah terpinggir apabila harumanis mengambil tempat. Promosi yang meluas tentang harumanis menjadikan mempelam ini mesti dicuba. Media memainkan peranan yang cukup besar sehingga mempelam ini menjadi terkenal. Di mana-mana negeri pun di Malaysia orang menyebut tentang harumanis, apatah lagi apabila harganya mencecah RM35 sekilogram.

Orang Perlis yang merantau ke negeri orang selalu ditanya tentang harumanis. Malah, ada dalam kalangan rakan-rakan mereka menempah mempelam ini jika mereka balik ke Perlis. Ada orang Perlis yang boleh buat duit di tempat orang apabila tiba musim harumanis. Mereka pulang ke Perlis dan membeli harumanis di sana kemudian menjualnya dengan harga semasa atau mengikut lokasi kemudian meraih keuntungan yang sangat besar.

Perlis mempunyai masa depan yang baik dengan tanaman harumanis. Harumanis bermusim dan sudah tentunya ia tidak jemu dimakan kerana dalam setahun, buahnya diperoleh pada Mei membawa ke Jun. Usaha memperbesar kawasan tanaman harumanis giat dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri.

Petani yang memiliki tanah kosong dan sesuai untuk tanaman ini digalakkan menanam harumanis kerana permintaannya sangat tinggi. Pengeluarannya semakin bertambah kerana mengikut statistik pada 2011, sebanyak 375 metrik tan dikeluarkan dan meningkat kepada 1,834 metrik tan dan 2,200 metrik tan pada 2015.

Peningkatan ini menunjukkan pembabitan petani dalam tanaman harumanis semakin meningkat dan keluasan kawasan tanamannya juga kian bertambah. Catatan tahun ini menunjukkan sejumlah 3,360 petani terlibat dengan penanaman harumanis, berbanding pada 2011 iaitu seramai 399 orang sahaja.

Apa yang penting, kualiti harumanis mesti dipelihara supaya keunikannya tetap terpelihara. Kajian-kajian dan kawalan terhadap penyakit dan juga kawalan daripada serangan serangga patut diberi keutamaan supaya buahnya berkualiti dan diyakini pembeli apatah lagi untuk tujuan eksport ke luar negara.

Suatu masa nanti, tidak mustahil sekiranya berlaku lambakan harumanis, banyak negara lain akan mengimport harumanis dari negara kita. Maka sudah tentu kita mempunyai satu lagi produk terbaharu untuk menambah hasil pendapatan penduduk tempatan dan juga negara.

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments