kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rusuhan bolasepak ~ Terengganu ancam tarik diri

RUSUHAN oleh samseng bola sepak terus berlaku di Malaysia. Terbaharu perlawanan separuh akhir antara Terengganu dan Lion XII di Kuala Terengganu malam kelmarin. Setiap kali berlaku rusuhan di stadium maka persatuan bola sepak itu akan dikenakan denda dan hukuman.

Namun, tidak juga menyelesaikan masalah. Maka itu satu jalan penyelesaian harus dicari. Jika di atas padang kaedah fair play atau permainan bersih diamalkan oleh para pemain, maka pendekatan yang sama juga harus dikenakan. Kita kurangkan sedikit pendekatan punitif yang menghukum, sebaliknya kita perkenalkan langkah yang holistik di kalangan penyokong bola sepak. Seharusnya penonton menyaksikan sesuatu perlawanan adalah di atas sifatnya yang sayangkan permainan itu dan pasukannya, dan bukan secara ketaksuban yang agresif.

Tatasusila memasuki ke dalam stadium harus diterapkan dan difahami penonton. Setiap persatuan bola sepak negeri harus mempunyai pendekatan kempen tanggungjawab sosial ala CSR ke sekolah-sekolah atau ke lokasi sosial. Bawalah pemain masing-masing bertemu dengan khalayak itu dan terapkan kepada mereka mengenai tatasusila berada di stadium.

Jangan pisahkan pemain kesayangan dengan peminat mereka. Atur program-program agar pemain boleh menjadi motivator kepada peminat. Awang percaya jika kaedah mesra-sosial ini dapat dilakukan maka sedikit sebanyak budaya samseng bola sepak ini dapat dibendung.

AWANG – Sekadar menjerit!   Bisik-Bisik Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 18 Mei 2015

KUALA TERENGGANU – Terengganu tidak teragak-agak untuk keluar daripada Liga Malaysia (Liga M) sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengambil tindakan terhadap bantahan yang bakal dikemukakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, beliau sudah mengarahkan pihak pengurusan PBSNT untuk menghantar surat bantahan rasmi kepada FAM berhubung mutu pengadilan buruk yang dipercayai menjadi punca kepada berlakunya rusuhan penyokong selepas tamat separuh kedua Piala FA di Kuala Terengganu kelmarin.

“Saya rasa perkara ini khususnya isu mutu pengadilan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

“Dalam hal ini, saya sependapat dengan peminat-peminat bola sepak yang rasa tidak puas hati dengan gol terakhir itu.



Ahmad Razif Abdul Rahman

“Jadi, saya telah meminta dan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu untuk menghantar bantahan secara rasmi kepada FAM untuk menilai semula. Kalau perlu, kita harap diadakan pertandingan ulangan.

“Jika didapati bahawa memang pemain Terengganu tidak ofsaid, tapi FAM tidak mahu mengambil tindakan sewajar­nya, jadi kemungkinan saya tidak teragak-agak untuk meminta pasukan bola sepak Terengganu menarik diri dalam pertandingan seterusnya nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Kelmarin, penyokong Terengganu bertindak ganas sebaik saja pasukan itu tersingkir daripada saingan Piala FA menerusi peraturan gol tempat lawan selepas terikat 4-4 secara agregat.

Terengganu kalah 1-2 di Stadium Jalan Besar minggu lalu dan menang 3-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam separuh akhir kedua.

Selain ambulans yang dibakar dan diletupkan, kerusi dan pintu stadium turut dipecahkan. Malah, bas penyokong lawan dan kenderaan Menteri Besar juga dirosakkan oleh sekumpulan perusuh terbabit.

Ahmad Razif yang dukacita dengan insiden itu mahu FAM mengambil serius perkara tersebut bagi mengelakkan ia daripada berulang pada masa depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekoran rusuhan tersebut, pihak pengurusan stadium terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan mencecah RM150,000.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu hanya melibatkan fasiliti stadium seperti kerusi, pintu kaca dan cermin sahaja dan tidak melibatkan ambulans yang terbakar serta kenderaan lain yang terletak di luar stadium.

"Saya rasa sedihlah sebab stadium itu baru saja siap dan pertama kali digunakan. Bagaima­napun, ini (kejadian rusuhan) tidak sedikit pun mengurangkan semangat saya untuk memastikan stadium ini dinaik taraf terutama dari aspek keselamatan bagi kegunaan masa depan," katanya.

Tambah Ahmad Razif, pihak­nya yakin stadium itu dapat digunakan seperti sedia kala dalam tempoh satu atau dua minggu lagi selepas kerja baik pulih selesai.

“Benda ini (rusuhan) adalah perkara luar jangkaan. Nak kawal 40,000 penyokong bukan perkara yang mudah. Kalau kita panggil semua batalion pun (polis), belum tentu boleh.”

Sementara itu, Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid memberitahu, surat bantahan rasmi telah dihantar kepada FAM semalam sebaik sahaja perkara tersebut diteliti.

“Kita tahu, keputusan itu nanti mungkin tidak memihak kepada Terengganu. Apapun, kami tetap mahukan penjelasan,” ujarnya.

Tags: bolasepak, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “bolasepak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments