kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jadi guru: Minat atau terpaksa?

TANPA guru siapalah kita? Ungkapan tersebut pastinya kedengaran klise apabila sering diselitkan dalam ucapan pada setiap kali sambutan Hari Guru. Tapi kadangkala makna tidak dihayati, hingga ironinya kita sering anggap kerjaya sebagai pengajar dan pendidik itu satu tugas mudah.

Sedangkan ia tersangatlah penting kerana berperanan membentuk modal insan negara.

Ilmu diterima daripada si guru jika dipraktikkan amat berguna hinggalah seseorang itu kembali menghadapNYA.

Betapa besar tanggungjawab itu. Jika mudah, tidaklah timbul pelbagai isu dan gejala negatif dalam kalangan murid dan pelajar masa kini - daripada soal sahsiah, sosial, jenayah dan pelbagai lagi yang memeningkan kepala.

Andai kata ibu bapa sendiri tidak mampu menanganinya, apalagi hanya berharap kepada guru.


Profesion sering dianggap enteng, namun tanggungjawab besar.

Kalau memang guru itu dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh keikhlasan kerana kerjaya itu memang minatnya, mungkin murid atau pelajar itu bernasib baik.

Tetapi bagaimana pula jika pendidik itu terpaksa menjadi guru? Tidakkah kes naya pelajar itu nanti.

Jadi pula seperti dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Masam Masam Manis nanti. Dek minat Cikgu Shaari lakonan P Ramlee suka bermain  muzik di kelab malam hingga lewat malam, sampai waktu mengajar dia kepenatan hingga tertidur dalam kelas.

Diambilnya jalan mudah, anak murid awalnya disuruhnya membaca di papan hitam tertulis, "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola", namun dialog diubah muridnya kepada "cikgu suka tidur", apabila Cikgu Shaari tertidur dalam kelas. Pada ketika itu juga, bayangkan apa persepsi murid kepada guru sedemikian yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada anak didik.

Betapa cepat respons anak murid bertukar, bila guru tidak beri tumpuan. Itu yang kita khuatir. Bukan setakat minat, pastinya keikhlasan penting bila pikul tanggungjawab kerjaya mulia ini.

Paling penting adakah dapat merentasi ranjau sebagai pendidik apalagi dengan pelbagai tambahan tugas dan cabaran perlu dihadapi alaf ini jika dibandingkan guru pada zaman sebelum ICT (teknologi maklumat).

Misalnya era sebelum 70-an ke 80-an, guru dapat mendidik dan mendisiplinkan murid dengan 'dibantu' penggunaan rotan. Tapi kini silap hari bulan guru pula disaman oleh ibu bapa murid. Pendek kata, sikit-sikit saman.

Berlainan dengan ibu bapa dulu, siap beri kebenaran anak dirotan guru jika buat salah, asal jangan cedera atau patah. Apa pun bagi menangani salah laku pelajar, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan guru besar tanpa mendatangkan kecederaan.

Tapi merotan itu harus bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Turut dijelaskan kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain dilarang sama sekali.

Jadi mendisiplinkan pelajar terpulang pada tahap kekreatifan guru itu sendiri. Mungkin, guru dalam dilema juga bila hendak didik dan disiplinkan pelajar. Kalau terlebih prihatin pun takut bermasalah, buat biasa-biasa saja dikata tidak ambil peduli, sekadar mahu gaji.

Hakikatnya kita tidak boleh lari daripada kenyataan, masalah disiplin pelajar kini di tahap membimbangkan. Kenyataan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye pada Kempen Cegah Jenayah 2015 lalu, bahawa statistik kes jenayah juvana tahun lepas dari Januari sehingga Oktober membimbangkan, dengan peningkatan 24 peratus berbanding tempoh sama 2013.

Katanya, dari segi tangkapan, sebanyak 8,015 dibuat untuk tempoh sama tahun lepas berbanding 6,802 pada 2013. Fakta ini umpama mengiyakan kebimbangan kita. Pastinya profesion guru bukan enteng kerana tanggungjawabnya besar.

Justeru menjadi harapan besar supaya tugas sebenar guru itu dapat diimplementasikan sepenuhnya sesuai dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini ‘Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’.

Soalnya kini mampukah ia direalisasikan jika profesion guru itu dipilih hanya berlandaskan minat, terpaksa dek faktor ekonomi, desakan keluarga atau kebetulan?

Ikuti pandangan dan reaksi orang ramai berkenaan isu Wow kali ini.
Tags: guru
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Guru BDR

    Terpandang akan perkongsian sekumpulan bekas pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian 5 tahun di IPT jurusan pendidikan perguruan.…

  • Hari Guru: Kenangan mengajar pelajar dewasa

    Sama seperti belajar, mengajar adalah merupakan salah satu kerja dan usaha keras bahkan mungkin lebih sukar. Walaupun mengajar anak kecil…

  • Tidak mudah mengajar pelajar dewasa

    Mengajar pelajar dewasa boleh menjadi sangat bermanfaat, tetapi juga sangat mencabar. Kita tidak boleh lupa bahawa kita berurusan dengan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments