kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Resolusi merangsang industri perbukuan

APRIL sudah dua minggu ber­lalu. Bulan yang meng­­­­angkat dan meng­ik­tiraf peranan buku me­­­mandaikan ummah, bi­la­mana mengiktiraf tarikh 23 hari bulan sebagai ‘Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia’.

Mengambil semangat itu, bermula 24 April berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-34 yang bertemakan ‘Buku Menjana Kreatif’ di tujuh lantai Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memuatkan 923 ruang pempamer.

Pesta yang dianjurkan bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia selaku sekretariat dengan enam persatuan, iaitu Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Persatuan Penjual Buku Malaysia, Persatuan Pengimport dan Pengeksport Buku Malaysia, Persatuan Kontraktor Buku Malaysia, dan Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia disertai lebih 230 pempamer dari dalam dan luar negara.

PBAKL yang melabuh tirai pada 3 Mei lalu dianjurkan dalam ekosistem yang cukup bersinergi. Penganjuran kali ini meriah dengan pengisian yang diwarnai beberapa kelainan; mengetengahkan dunia novel komik dan indie, Rumah Ngaji, dan Sudut Rehat dan Baca.

Kemunculan figura Yusuf Islam dalam majlis pelancaran buku beliau, Mengapa Saya Masih Memetik Gitar oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia mengundang pengunjung menyesakkan pelantaran utama. Sepanjang 10 hari pesta ini, PWTC diserbu peminat cukup luar biasa, kalau dahulu pengunjung hanya membimbit beg, tetapi sepanjang pesta berlangsung menjadi suatu yang biasa para pengunjung menarik beg sarat berisi buku.

Pihak penganjur secara agresif sejak Februari menguar-uarkan PBAKL di serata pelosok negara menerusi Program Jelajah PBAKL di tiga bandar, iaitu di Kepala Batas, Ipoh dan Pontian.

Promosi iklan di Lembah Klang, crawler, berita dan maklumat di helaian akhbar, corong radio dan paparan pelbagai saluran televisyen sebelum dan semasa pesta dilihat menjadi faktor pendorong menarik pengunjung. Hari cuti dan cuti umum berganda menjadikan pesta buku ini cukup meriah dan dikhabarkan sehingga hari akhir seramai 2.6 juta pengunjung memenuhi ruang di PWTC - mencipta sejarah pengunjung teramai sejak PBAKL dianjurkan, mengatasi PBAKL 2014 seramai 2.4 juta orang.

Satu program penting yang turut direncanakan dalam mengangkat martabat industri buku pada tahun ini ialah Persidangan Kebangsaan Industri Buku Negara bertemakan ‘Merekayasa Industri Buku Negara: Mengukuh Ekonomi Industri dan Menjana Kepintaran Kreatif’ yang diadakan pada 25 April dan 26 April di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Persidangan Kebangsaan Industri Buku Negara yang dianjurkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia bersama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Kota Buku ini adalah forum, medan atau pentas bagi kalangan penggerak industri buku – presiden lima persatuan dominan industri buku, presiden pertubuhan bukan kerajaan berkaitan buku, penerbit besar dalam kepelbagaian genre, penggubal polisi pendidikan, ikon penulis, kartunis, agensi pelopor e-digital, agensi kerajaan berkaitan pembangunan buku berkongsi aspirasi dan visi dengan para pencetak, penerbit, pengedar, pembekal, pertubuhan bukan kerajaan, penulis, editor, pencinta bahasa, pendidik, pustakawan, penyelidik, pelajar pascaijazah, pengatur huruf dari seluruh pelosok negara berkumpul untuk saling bertukar pengalaman, idea dan gagasan.

Atas kepentingan ini pengisian persidangan diuliti dua ucaptama, lapan sesi pembentangan selari dan dua sesi forum yang membicarakan mauduk antaranya: Hala Tuju Industri Buku Negara: Dasar, Kewangan, Tadbir Urus, Memperkasa Agenda Industri Buku Negara: Peranan Anggota Gabungan MBIC Memartabatkan Industri; Melestarikan Pendidikan Berterusan: Penguatkuasaan Akta Hak Cipta-Plagiat, Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331), dan Pengukuhan Koleksi Pemuliharaan Khazanah Intelek Negara; di samping merumuskan pelan strategik hala tuju industri perbukuan negara menerusi pembentangan resolusi.

Hasilnya setelah dua hari persidangan, 18 perkara diangkat sebagai resolusi persidangan, iaitu:

1. Menggesa kerajaan dan pihak berwajib merencana secara meluas, serius dan berterusan program kesedaran kepentingan hak cipta dan menguatkuasakan Akta Hak Cipta.

2. Menggesa penerbit membudayakan etika pengkaryaan dalam apa bentuk dan bidang karya sejajar hasrat murni negara untuk melahirkan generasi yang mempunyai jati diri, nilai murni dan beretika.

3. Menggesa kerajaan dan pihak berwajib merekayasa program kesedaran dan menguatkuasakan kepentingan Akta 213 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (disemak 1978) dan Akta A930 Akta DBP (pindaan dan perluasan) 1995 bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti penerbitan bahasa Melayu dalam pelbagai peringkat dan bidang penerbitan.

4. Menggesa kerajaan menempatkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

5. Menggesa kerajaan menilai semula struktur MBKM dan peranan Perbadanan Kota Buku supaya fungsi kedua-duanya dapat diperkukuh lebih terarah dan berkesan.

6. Meminta kerajaan memberi dana lebih besar kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan menempatkan PNM di bawah Kementerian Kebudayaan.

7. Menggesa kerajaan melantik seorang Senator dalam kalangan penggiat industri buku.

8. Menggesa pihak universiti menjadikan penulisan buku ilmiah syarat bagi kenaikan pangkat staf akademik ke peringkat Profesor Madya dan Profesor.

9. DBP hendaklah merekayasa inisiatif Program Penerbitan Berpakej dan Dana Penggerak Industri Buku agar dapat disertai dengan meluas kalangan penggerak industri buku negara.

10. Menggesa penerbit menjalin kerjasama penerbitan dalam dan luar negara bagi memperkasa ekosistem industri buku negara.

11. Mencadangkan kerajaan menyediakan dana tambahan kepada penggerak industri seperti MAPIM, DBP, MBKM, dan ITBM bagi menggalakkan aktiviti penerbitan buku.

12. Menggesa kerajaan dan pihak berwajib membeli semua buku baharu yang diterbitkan oleh penerbit tempatan untuk keperluan perpustakaan desa, awam, dan universiti awam di seluruh Malaysia.

13. Meminta kerajaan menyediakan dana penerbitan buku RM500 juta setahun kepada MBKM untuk diagih-agihkan kepada penerbit universiti dan profesional serta badan penerbitan swasta bagi menerbitkan buku-buku yang berimpak tinggi.

14. Mencadangkan kerajaan mewujudkan kedai buku 1Malaysia di setiap daerah bagi menggalakkan budaya membeli buku dengan harga berpatutan dalam kalangan rakyat.

15. Menggesa kerajaan menyokong aktiviti Kelab Buku Malaysia bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

16. MARA dan MDEC disarankan menyediakan dana kepada Persatuan Komik bagi membantu pengkarya menghasilkan komik bermutu.

17. Pengkarya komik dan sastera perlu mengangkat budaya dan sosiobudaya tempatan dalam penghasilan karya untuk mengangkat dan memperkenalkan negara ke peringkat antarabangsa.

18. Kerajaan dicadangkan memberikan dana tahunan sebanyak RM100,000 kepada persatuan (contohnya Persatuan Editor Malaysia, PEKOMIK) bagi membolehkan persatuan bergiat aktif dalam memajukan industri buku negara.

Inisiatif menganjurkan persidangan ini diharapkan berupaya merangsang industri perbukuan dalam memperkaya dan merakyatkan sumber ilmu sekali gus menyejahterakan segenap lapisan masyarakat. - Khalid Mazlan Utusan Malaysia Rencana 19 Mei 2015

Tags: buku, menulis, writings
Subscribe

Posts from This Journal “buku” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments