kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memasyarakatkan Rancangan Malaysia Ke 11

MINGGU ini, tumpuan rak­yat Malaysia pas­ti­nya terarah pada inti­pati pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Rancangan-ran­cang­an Malaysia terdahulu te­lah berjaya membangunkan infrastruk­tur dan kemudahan asas seperti be­kalan air dan elektrik yang kini di­nikmati oleh majoriti rakyat Ma­laysia.

Peruntukan besar juga telah disalurkan oleh kerajaan untuk membangunkan infrastruktur lain seperti pembangunan infrastruktur jalan raya yang serba moden. Sememangnya, usaha-usaha murni ini akan diteruskan oleh kerajaan dalam RMK-11 bagi meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur negara terutamanya bagi menyediakan pendidikan berkualiti dan terbaik di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Seiring dengan pembangunan fizikal yang mengubah landskap Malaysia sebagai sebuah negara moden di rantau ini, kerajaan juga telah berjaya melahirkan ramai rakyat Malaysia yang berpendidikan sehingga ke peringkat tertinggi. Itu satu kejayaan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa sahaja.

Namun, dalam mengurus kejayaan ini, negara masih kekurangan pekerja yang berkemahiran tinggi. Mengikut rekod terkini, Malaysia hanya memiliki 23 peratus sahaja pekerja yang berkemahiran tinggi sedangkan dalam memastikan kemampanan kemajuan negara berpendapatan tinggi selepas tahun 2020, negara memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi.


PENEKANAN kepada kemahiran TVET merupakan antara intipati RMK-11 untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi seperti penyertaan pelajar dalam pertandingan robotik. Para pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan bersungguh-sungguh menghasilkan robot pada pertandingan VEX Robotik Malaysia 2014-2015 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. GAMBAR HIASAN

Justeru, sudah menjadi rahsia umum, RMK-11 akan memberi tumpuan khusus terhadap kualiti modal insan rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi, RMK-11 ini merupakan Rancangan Malaysia yang pertama menjejaki tahun 2020, maka, mahu tidak mahu, fokusnya sudah tentu melahirkan modal insan Malaysia yang benar-benar hebat, bermentaliti kelas pertama, berkualiti dan berkemahiran tinggi setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Dalam hal ini, dunia pada masa akan datang lebih terarah kepada ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi serta teknologi tinggi. Ekonomi ini yang dikenali sebagai ‘indie capitalisme’ akan menerajui ekonomi masa hadapan sebagai penjana pekerjaan.

Generasi muda perlu merebut peluang ini sebagai usahawan dan bukan setakat pencari pekerjaan. Dengan ini, setiap modal insan generasi muda tidak boleh sesekali mengasingkan diri dalam dunia kreatif dan penciptaan. Jika tidak, mereka akan ketinggalan.

Mereka yang masih degil mengekalkan kaedah lama dan tidak mahu berusaha meningkatkan kemahiran sudah tentu tidak mampu bertahan lama.

Dengan populasi yang semakin bertambah, maka, lebih banyak peluang pekerjaan yang diperlukan buat rakyat Malaysia. Setiap modal insan tidak boleh hanya duduk diam menunggu pekerjaan mencari mereka. Itu kisah 30 tahun lalu apabila hanya sedikit rakyat Malaysia yang berkelulusan universiti. Mereka ini rata-rata sudah menghampiri masa persaraan.

Kini, ramai rakyat Malaysia berkelulusan tinggi yang mana mereka ini perlu bersaing sesama sendiri berasaskan ilmu, pengalaman dan kemahiran. Ini yang membezakan seseorang dengan lain bagi menempatkan diri sebagai seorang modal insan yang digemari oleh industri dan pasaran semasa. Tidak kurang juga bagi golongan yang tidak berpendidikan tinggi dan berpendapatan rendah. Mereka inilah yang perlu dilatih agar berkemahiran tinggi.

Misalnya, inisiatif kerajaan yang akan dilaksanakan bagi memastikan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berkemahiran tinggi akan menyumbang nilai tambah terhadap modal insan generasi muda. Terasnya, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan digarap sepenuhnya untuk menyediakan generasi muda yang terlatih dalam kedua-dua bidang tersebut. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menuntut modal insan yang mobil dan berkemahiran tinggi serta berpengetahuan luas.

Modal insan berkemahiran tinggi yang diadun dengan teknologi terkini akan meletakkan warga Malaysia dan negara dalam kelas tersendiri. Malah, jika kena gayanya, mampu mengurangkan jumlah pekerja asing yang separa mahir dalam industri-industri tertentu seperti sektor pembinaan.

Selain isu modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan luas, kreatif dan inovatif, isu-isu lain seperti kos sara hidup, pengangkutan awam, pembangunan luar bandar dan keselamatan akan diutamakan dalam RMK-11. Misalnya, bagaimana caranya kerajaan menyalurkan pertambahan pendapatan melalui kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menangani kos sara hidup rakyat.

Sememangnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) salah satu kaedah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani kos sara hidup bagi golongan berpendapatan rendah. Namun, kerajaan juga perlu mengenal pasti mekanisme-mekanisme lain yang berkesan bagi membolehkan golongan ini benar-benar merasai sepenuhnya kebaikan GST. Dengan kata mudah, program-program baharu yang realistik wajar diterjemahkan bagi membantu rakyat misalnya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin tinggi. Bahkan, hasil kutipan GST juga sewajarnya diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat Malaysia bagi menangani ketidaksaksamaan pendapatan intra kaum dan inter kaum serta antara yang kaya dan yang miskin.

Jurang pendapatan perlu dikurangkan semaksimum mungkin bagi membuktikan kek ekonomi telah diagihkan secara adil dan saksama. Di sini, setiap sen amat bernilai sama sekali, maka sebarang pembaziran, penyelewengan, ketirisan dan pemborosan adalah musuh utama bagi menjayakan agenda ini.

Dalam konteks ini, ambillah iktibar rusuhan yang berlaku di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat ekoran ketidaksamaan ekonomi yang berasaskan kelas dan kaum menggambarkan negara kuasa dunia sekalipun tidak terlepas dengan isu sebegini. Justeru, bantuan kewangan dan peluang seluas-luasnya perlu diberikan kepada golongan miskin bandar dan luar bandar bagi memajukan diri mereka.

Apa yang penting di sini, rakyat Malaysia dapat merasai dan seterusnya menghargai segala kebaikan daripada pelbagai inisiatif yang dipelopori kerajaan melalui Model Baharu Ekonomi (MBE) dan program-program transformasi yang berpaksikan keterangkuman, kemampanan dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Baharulah jelas kelihatan RMK-11 berjaya dimasyarakatkan buat rakyat yang sangat mendambakan taraf hidup berkualiti di sebuah negara yang maju, aman dan sejahtera.

Tags: gst
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments