kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rancangan Malaysia Ke-11

Rakyat kena faham hala tuju, bersatu jayakan RMKe-11

Bertemakan 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat', Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam menjadi satu lagi pelan strategik kritikal yang perlu kerajaan laksanakan bagi merealisasikan Wawasan 2020 dalam tempoh lima tahun akan datang.


RMKe-11 akan menjadi rujukan bagi kerajaan dan semua agensi di bawahnya termasuk pihak berkepentingan untuk menjayakan semua program pembangunan yang dirancang bagi meningkatkan taraf hidup, martabat dan potensi rakyat. Disediakan berpandukan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS), pelaksanaan RMKe-11 bakal digerakkan seiring dengan Dasar Transformasi Negara yang berpaksikan rakyat menerusi prinsip Model Baru Ekonomi (MBE).

Kita percaya, dengan berbekalkan semua dasar dan perancangan ini, hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai negara maju yang inklusif dan mapan menjelang tahun 2020 seperti disasarkan dalam Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan. Akan mula dilaksanakan pada tahun 2016, RMKe-11 pada asasnya akan dijayakan berasaskan enam teras strategik dan enam pemacu perubahan yang semuanya diadun serta dirancang dengan mengambil kira aspirasi rakyat.


Bermakna, segala program dan projek pembangunan atau ekonomi yang hendak dirancang dan dilaksanakan perlu selari dengan teras dan pemacu yang digariskan. Namun, sebaik mana sekalipun perancangan, aspek paling penting yang perlu diberikan penekanan ialah dari segi pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan.

Dalam apa-apa dasar atau rancangan ekonomi kerajaan sekalipun, kejayaannya dan keberkesanannya tetap bergantung kepada wujudnya jentera pelaksana yang cekap, telus, adil dan proaktif. Setiap apa yang dilaksanakan perlu dinilai dan diberi penarafan agar tidak terpesong dengan sasaran ditetapkan. Jika ada kelemahan atau kekurangan, ia perlu diperbetulkan atau ditambah baik secara telus dan adil.

Bermakna, setiap kakitangan di jabatan dan agensi kerajaan perlu berperanan secara aktif serta sentiasa komited untuk menjayakan setiap strategi dirancang. Kita juga berharap setiap perkara, program dan perancangan dalam RMKe-11 yang dilaksanakan tidak tersasar jauh daripada matlamat asalnya. Ia bagi mengelak timbul isu berbangkit yang boleh menggugat imej kerajaan atau menimbulkan persepsi negatif pada mata rakyat.

Justeru, sokongan, komitmen serta dedikasi seluruh pihak berkepentingan amat diperlukan dalam memastikan kejayaan RMKe-11. Di pihak rakyat pula, kita tidak boleh lagi menunggu atau menjadi pemerhati terhadap usaha yang dilakukan kerajaan. Mereka perlu memahami hala tuju dan terbabit sama dalam menjayakan RMKe-11 demi manfaat bersama.

Pada masa sama, kita amat berharap supaya tidak adanya pihak yang seolah-olah menabur pasir dalam periuk nasi dengan memainkan isu yang hanya bertujuan memburukkan perancangan yang disediakan kerajaan atas tujuan-tujuan tertentu. Tidak ada salahnya untuk mengkritik tetapi biarlah yang membina kerana akhirnya jika apa yang dirancang gagal, rakyat dan negara juga yang akan menanggung akibatnya. Minda Pengarang Berita Harian Kolumnis 24 Mei 2015
Antara harapan, cabaran RMKe-11

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) melabuhkan tirainya. Berikutan itu, kerajaan dijadualkan membentangkan RMKe-11 hari ini. Sesungguhnya, keadaan ekonomi negara tidak sunyi daripada keadaan yang sentiasa berubah hasil interaksi antara permintaan luar dan dalam negara.

Usaha memantapkan kedudukan asas ekonomi diteruskan melalui pelbagai dasar diperkenalkan. Sedikit imbasan bagi tempoh empat tahun kebelakangan ini mungkin dapat membantu kita menilai tahap pencapaian ekonomi negara.

Purata pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun 2011 hingga 2014 adalah 5.4 peratus.

Walaupun rendah daripada unjuran asal enam peratus, prestasi ini masih sejajar pertumbuhan potensi negara iaitu sekitar lima hingga 5.5 peratus. Selain itu, 1.5 juta pekerjaan diwujudkan dalam tempoh itu dan kadar pengangguran kekal stabil sekitar 3.2 peratus setakat Februari 2015.

Sumbangan sektor swasta

Peranan sektor swasta juga dilihat lebih aktif terutama dari segi pelaburan dan sumbangannya kepada ekonomi negara meningkat kepada 16.6 peratus tahun lalu berbanding 12.8 peratus pada tahun 2011.

Dari sudut perbelanjaan pembangunan, RM223.6 bilion dibelanjakan dalam tempoh lima tahun lalu merangkumi perbelanjaan pembangunan pada tahun 2015 yang diwartakan dalam bajet tahun ini.

Perbelanjaan pembangunan adalah kurang daripada sasaran awal iaitu RM230 bilion. Ini sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan mengurangkan defisit fiskal yang berkurangan daripada 4.7 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2011 kepada 3.4 peratus pada tahun lalu.

Perangkaan sektor pengangkutan terutama pengangkutan awam mungkin dapat memberi gambaran lebih jelas terhadap keberkesanan agenda pembangunan negara. Sebagai contoh, pengangkutan komuter yang mana pembinaan stesen baharu seperti di Sungai Gadut, Rembau dan Ipoh dalam tempoh RMKe-10 menyaksikan peningkatan ketara jumlah penumpang.

Antara tahun 2011 sehingga 2012, jumlah penumpang dicatatkan sekitar 35 juta setahun. Jumlahnya melonjak kepada 45 juta setahun pada tahun 2013 dan 2014. Perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT) juga mencatatkan statistik memberangsangkan. Purata penumpang menaiki Putra LRT pada tahun 2011 dan 2012 adalah 70 juta setahun dan meningkat kepada 80 juta setahun pada tahun 2013 dan 2014.

STAR LRT juga mencatatkan kenaikan apabila purata penumpang meningkat daripada 55 juta setahun kepada 62 juta setahun dalam tempoh sama. Perangkaan ini jelas menyokong bahawa agenda pembangunan negara memberi manfaat besar kepada rakyat negara ini.

Namun, bagi merencana pembangunan dalam tempoh RMKe-11, harapan realistik perlu diterapkan berikutan cabaran ekonomi luaran yang sememangnya akan memberikan kesan langsung terhadap pelan pembangunan.

Sebagai contoh, pada RMK-9 (2006-2010), negara menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2009 disebabkan krisis subprima di Amerika Syarikat (AS). Ia memaksa kerajaan melaksanakan dua pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2008 dan 2009 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Berkemungkinan perkara sama boleh berlaku dalam tempoh 2016 sehingga 2020.

Risiko kemelesetan ekonomi dunia

Ditambah pula situasi kewangan Kerajaan Greece yang dilihat mampu memberi kesan kemeruapan yang tinggi dalam pasaran kewangan antarabangsa. Justeru, risiko berlaku kemelesetan ekonomi pada peringkat global sentiasa ada. Bagaimanapun, kerajaan dilihat berupaya meningkatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan dalam RMKe-11.

Jangkaan kenaikan hasil kerajaan yang disumbangkan oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta penghapusan subsidi minyak seharusnya memberi ruang untuk menyalurkannya semula untuk pembangunan. Projek rel seperti MRT 2, LRT 3 dan High Speed Rail (HSR) dijangka mendapat perhatian khusus memandangkan sambutan amat baik daripada penduduk Malaysia.

Berikutan itu, sektor pembinaan dan sektor lain dijangka akan mendapat kesan langsung yang positif melalui pelaksanaan projek infrastruktur yang berdaya maju. Diharapkan kerajaan akan sentiasa mencari jalan melaksanakan program pembangunan yang memberi pulangan tinggi dari sudut sosial, pada masa sama mengoptimumkan sumber sedia ada.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), hanya 0.21 peratus daripada 11,091.82 hektar tanah wakaf dimajukan. Berdasarkan perangkaan ini, kerajaan boleh menaikkan peruntukan bagi pembangunan wakaf dalam RMKe-11.

Umumnya, RMKe-11 adalah amat kritikal bagi mencapai status negara maju di samping mengekalkan usaha untuk mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Mohd Afzanizam Abdul Rashid Berita Harian Kolumnis 22 Mei 2015


RMK-11 Manfaat untuk Rakyat

Tema Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat, sudah cukup untuk menggambarkan rakyat diutamakan dalam pelaksanaan RMK-11. Sebagai dokumen yang amat penting buat rakyat dalam tempoh lima tahun bermula pada 1 Januari 2016, maka mahu tidak mahu segala perancangan pembangunan negara perlu berpaksikan RMK-11.

Tahniah buat warga kerja Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang selama ini bertungkus lumus membanting tenaga dan fikiran menyiapkan RMK-11. Bukan senang untuk menyediakan satu pelan menuju negara maju berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan. Pihak luar boleh sahaja mengkritik semberono dengan menggunakan apa sahaja hujah, namun jika mereka diletakkan sebagai salah seorang warga kerja EPU, tentulah mereka akan mengetahui bahawa bercakap kosong memanglah terlalu mudah berbanding menyediakan satu pelan sepenting ini untuk rakyat Malaysia.

Ketepikan kritikan yang menghentam semberono yang ingin melihat sesuatu perancangan kerajaan gagal dipertengahan jalan. Ambil kritikan membina atau maklum balas yang boleh memperbaiki sebarang perancangan kerajaan. Lagi pun, maklum balas mengenai RMK-11 masih boleh diutarakan sehinggalah penghujung tahun ini.


PERDANA Menteri merangkap Menteri Kewangan , Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan
Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11) di Bangunan Parlimen baru-baru ini.

Kita perlu mengkaji setiap intipati RMK-11 dengan objektif tanpa ada perasaan emosional demi melihat dokumen yang teramat penting ini dilaksanakan dengan baik. Ini semua untuk kesejahteraan rakyat dalam sebuah negara yang bakal digelarkan maju serba serbi. Jadi, dalam hal ini apakah buah tangan yang bakal diperoleh oleh rakyat? Apa yang sebenarnya rakyat dapat jika RMK-11 dilaksanakan kelak?

Jelas kelihatan RMK-11 berasaskan enam strategi tumpuan yang menjadi pasak memacu negara menuju negara maju. Strategi pertama iaitu inklusiviti menekankan agar setiap lapisan rakyat memperoleh kebaikan daripada kemakmuran dan pembangunan negara. Melalui strategi ini, fokus terhadap golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Golongan ini yang merangkumi 2.7 juta isi rumah akan dibantu untuk meningkatkan pendapatan purata isi rumah daripada hanya RM2,500 sebulan tahun lalu kepada sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan pada tahun 2020.

Dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi, kaedah menaikkan pendapatan rakyat adalah salah satu strategi ampuh menangani isu ini. Pendapatan sebulan yang terlalu rendah akan menyukarkan golongan B40 menjalani kehidupan dengan selesa. Tiada gunanya pendapatan negara secara puratanya mencapai tahap tinggi tetapi 40 peratus isi rumah masih berpendapatan rendah.

Kaedah terbaik untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 ialah melalui peningkatan kemahiran, kepakaran dan pendidikan. Ini sekali gus boleh meningkatkan produktiviti mereka pada tahap yang lebih tinggi. Dengan ini, ganjaran berbentuk kewangan yang bakal diterima oleh mereka juga akan semakin tinggi. Mereka ini perlu dibantu dengan diberikan pancing dan bukannya setakat ikan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan yang serba mencabar dalam jangka masa panjang,

Dalam hal ini, kerajaan akan tetap meneruskan inisiatif-inisiatif membantu golongan ini dalam menghadapi kos sara hidup seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia. Misalnya, bagi Klinik 1Malaysia hanya bayaran sebanyak RM1 sahaja dikenakan. Cukup murah berbanding sesetengah negara maju yang memerlukan polisi insurans kesihatan yang lebih berpaksikan golongan kaya raya bagi mendapat manfaat kesihatan terbaik. Sebanyak enam hospital baharu akan dibina di Semenanjung Malaysia manakala dua buah hospital di Sabah dan sebuah di Sarawak pula akan dinaik taraf. Jadi, apa sahaja inisiatif kerajaan yang baik, sewajarnya dihargai oleh kita.

RMK-11 juga memberi tumpuan kepada masyarakat kelas menengah, golongan wanita, belia, kanak-kanak, malah Orang Kelainan Upaya (OKU) pun mendapat manfaatnya. Bagi masyarakat kelas menengah disasarkan saiznya menjadi 45 peratus pada tahun 2020 berbanding hanya 40 peratus pada masa kini. Golongan wanita bakal menikmati pelbagai program bagi mencapai sasaran dasar penglibatan mereka di peringkat pengurusan dan membuat keputusan. Ini seiring dengan peningkatan golongan wanita yang memiliki kelayakan profesional, akademik dan pengalaman sama ada di sektor swasta, sektor awam mahu pun dalam perniagaan.

Selain itu, golongan belia juga diberikan tumpuan melalui peningkatan keupayaan dalam bidang pekerjaan dan keusahawanan. Ini akan dilaksanakan di bawah 1Malaysia Youth City yang bertunjangkan ekosistem lengkap untuk pembinaan dan kemajuan belia Malaysia. Malah, untuk membina generasi muda agar berkemahiran tinggi, tumpuan diberikan terhadap pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET). Ini memperluaskan lagi bidang kemahiran generasi muda yang tidak hanya terlalu tertumpu pada dunia akademik yang berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Inklusiviti

Kerajaan juga tidak sesekali melupakan peranan golongan OKU. Sekurang-kurangnya sebanyak 16,000 jawatan dalam sektor swasta akan diisi oleh golongan ini dalam RMK-11 yang mana pada masa ini tidak sampai 4,000 OKU berkhidmat di sektor awam. Ini merupakan satu berita baik buat golongan OKU dengan memberi peluang yang lebih luas kepada mereka bekerja dalam sektor awam,

Strategi inklusiviti ini juga meliputi setiap etnik masyarakat Malaysia. Masyarakat Melayu yang menetap di kawasan kampung seperti petani dan nelayan akan disediakan kemudahan-kemudahan asas. Masyarakat Cina pula akan terus menikmati pinjaman mikro kredit di bawah Program Skim Pinjaman Khas Kampung Baru Cina, manakala masyarakat India bakal menikmati program pembangunan sosioekonomi yang lebih menyeluruh apabila blueprint mengenainya bakal disiapkan kelak.

Malah, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak akan menerima pelbagai manfaat melalui pemberian hak milik tanah adat (NCR) kepada mereka. Penduduk Sabah dan Sarawak juga akan memperoleh kemudahan yang lebih baik menjelang tahun 2020. Melalui RMK-11, kerajaan akan membina 3,000 jalan berturap dan hampir keseluruhan rakyat Malaysia akan memperoleh bekalan air dan elektrik yang mencukupi. Untuk itu, sebanyak RM10 bilion diperuntukkan bagi membekalkan air bersih dan terawat kepada penduduk luar bandar melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar. Sebanyak RM3 bilion pula diperuntukkan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bagi menyediakan bekalan elektrik yang sempurna kepada hampir 40,000 buah rumah.

Selain bekalan air dan elektrik, isu pemilikan rumah juga menjadi tumpuan utama kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Sebanyak satu juta rumah mampu milik akan disediakan untuk rakyat Malaysia menjelang tahun 2020. Bahkan, yang menariknya, sebanyak RM5,000 sehingga RM10,000 disediakan untuk membaik pulih rumah penduduk kampung dan luar bandar. Program ini akan dilaksanakan secara besar-besaran yang mana sebanyak 400,000 buah rumah akan dibaik pulih. Ini pastinya akan mengubah landskap kampung dan luar bandar agar penduduk di situ dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Sejajar dengan era teknologi maklumat, liputan jalur lebar akan dipertingkatkan menerusi Inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB2) dan Insiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar yang mana penduduk bandar dan luar bandar masing-masing akan memperoleh capaian perkhidmatan jalur lebar sebanyak 100 megabit dan 20 megabit sesaat.

Satu perkara yang cukup menarik dalam RMK-11, kerajaan akan mewujudkan Lembah Wawasan Malaysia (LWM) di bahagian barat Negeri Sembilan merangkumi Nilai, Seremban dan Port Dickson. Ini seterusnya menjadi pemangkin ekonomi di kawasan-kawasan tersebut seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar Lembah Klang. Kewujudan LWM merupakan penambahan pembangunan ekonomi lima wilayah yang tetap diberikan tumpuan di bawah RMK-11. Lima wilayah ini bakal menerima pelaburan sebanyak RM236 bilion, seterusnya menjana 470,000 peluang pekerjaan.

Tumpuan RMK-11 tidak hanya setakat pembinaan infrastruktur dan penjanaan pekerjaan serta memacu ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi tetapi juga memfokuskan ke atas kualiti sukan negara terutamanya sukan nombor satu negara iaitu bola sepak. Kualiti sukan bolasepak perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya sebagai gergasi bola sepak Asia. Bayangkan suatu ketika dahulu tatkala ramai rakyat Malaysia tergolong dalam kelompok termiskin, pemain-pemain Malaysia masih mampu mencapai taraf gergasi bola sepak Asia, maka dengan pelbagai kemudahan yang disediakan melalui kutipan cukai wang rakyat, sukan bola sepak tidak boleh lagi hanya sekadar jaguh kampung. Bola sepak negara perlu berada dalam kedudukan terbaik dalam kalangan negara-negara Asia seiring dengan gelaran negara maju yang bakal dipegang oleh Malaysia.

Semuanya bergantung kepada komitmen semua pihak yang terlibat dalam sukan bola sepak sebagaimana pengharapan rakyat terhadap komitmen kerajaan dan pelaksana RMK-11 bagi membolehkan semua intipati yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Ini termasuklah mengagihkan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) secara saksama kepada semua lapisan rakyat melalui RMK-11.

Hanya dengan merealisasikan RMK-11 berpaksikan integriti, cekap dan berkesan pelaksanaannya, maka, pastinya seluruh rakyat Malaysia akan berjaya melangkah masuk ke pintu Wawasan 2020 dengan gembira dan gah berasaskan gaya acuan Malaysia yang tersendiri, melambangkan kegemilangan tamadun bangsa Malaysia.

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments