SEORANG ibu tunggal yang saya kenali, dia hanya menerima gaji sebanyak RM15 sehari dengan menolong menjual makanan di hadapan salah sebuah sekolah di Shah Alam. Selain kerja itu, dia mengambil upah mengemas rumah apabila ada permintaan. Dia bekerja keras untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil dan bersekolah.
Dalam pada itu, telah diviralkan dalam media sosial, seorang bapa membuat kerja sampingan menjual kek mufin di hadapan sebuah bank di Petaling Jaya, untuk membiayai kos rawatan anak perempuannya yang berusia 8 tahun yang lumpuh seluruh badan.
Ada juga yang menjadi runner menghantar barang-barang yang dipesan pelanggan dengan kenderaan sendiri, kereta atau motor. Apa saja barang, tidak kira barang dapur, makanan ataupun penghantaran hadiah ulang tahun kelahiran ke mana-mana saja kawasan yang diminta dengan upah seikhlas hati.
Ini adalah antara cerita-cerita benar survival masing-masing dalam kehidupan. Memang nasib kita tidak sama, ada yang dapat menikmati kehidupan yang mewah, sederhana dan ada yang susah dan terus tersepit tetapi tetap kuat untuk keluarga.
Maka, bagi yang gigih bekerja demi kelangsungan hidup ini, istilah `makan gaji buta’ tentulah tidak ada langsung dalam kamus hidup mereka. Yang pasti, kalau tidak bekerja tidak ada duitlah. Mahu makan apa? Lagi pula, kalau ada banyak tanggungan, kenalah juga cari duit yang penatnya selalunya tidak setimpal dengan upah.
Jadi, agak menghairankan apabila ada orang yang sudah diberi peluang bekerja di sektor yang mendapat banyak kemudahan, insentif dan duduk selesa di pejabat mempersia-siakan pekerjaan tersebut, sedangkan itulah rezeki yang telah diberikan Tuhan untuk menyara anak isteri mereka.
Pendedahan terdapat kira-kira 5,000 kakitangan awam berjawatan tetap yang makan gaji buta berada dalam radar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini untuk ditamatkan perkhidmatannya jika tidak berubah selepas diberi tempoh enam bulan, menunjukkan betapa ramainya yang mengambil mudah dengan kerja dan peluang yang diberikan kepada mereka.
Dengan pelbagai masalah disiplin antaranya ponteng kerja selama 200 hari dalam setahun, datang lewat ke pejabat, terlibat dengan perniagaan serta hilang fokus sehingga penilaian prestasi mereka berada di bawah 60 peratus, mana-mana sektor pun majikannya pasti pening kepala jika mendapat pekerja yang berperangai seperti ini.
Ada pula yang berkata, apalah yang hendak dikecohkan sangat dengan angka 5,000 orang itu, bukannya ramai berbanding keseluruhan jumlah kakitangan awam di negara ini iaitu seramai 1.61 juta orang. Itu sektor awam, sektor swasta tentu lebih ramai daripada itu, cuma tiada statistik lagi.
Pada saya, walau di dalam sektor awam atau swasta, tentu tidak seorang pun daripada kita akan berasa selesa atau suka bekerja dengan orang yang hanya makan gaji buta, walaupun dia seorang saja dalam pejabat yang ada perangai itu pasti akan menjejaskan kelancaran kerja dalam sesebuah jabatan atau organisasi dan pada sama boleh mengganggu kerja orang lain. Inikan pula 5,000 orang!
Sedangkan ramai di luar sana yang mahu dan amat memerlukan pekerjaan. Ada yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi tidak mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka, sudahnya kerjalah apa saja, asalkan ada kerja.
Di sini saya tidak mahu menyentuh mengenai mutu kerja sektor awam. Sudah banyak pun diperkatakan tentang itu. Cukuplah sekadar mengingatkan bahawa ramai yang sedang bergelut dengan kesukaran untuk mendapatkan kerja, tersepit dengan kos sara hidup yang meningkat dengan banyak tanggungan, pada masa sama ada di antara kita yang suka-suka hati mahu datang kerja atau tidak dan dapat gaji yang sama dengan orang yang bekerja setiap hujung bulan!
Tentunya, tindakan menamatkan perkhidmatan mana-mana pekerja yang makan gaji buta adalah langkah terbaik. Ramai lagi yang punya kelulusan sama yang memerlukan jawatan atau kerja itu. Lagi pula, adalah membazir membayar gaji kepada pekerja yang tidak buat kerja. Lebih baik wang itu diserapkan kepada perkara-perkara yang perlu dalam organisasi itu atau paling tidak pun wang itu digunakan untuk menaikkan gaji pekerja yang rajin.
Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlulah melihat isu ini dengan lebih dekat. Janganlah asyik dilihat meminta kenaikan gaji, bonus dan macam-macam kemudahan lain. Yang makan gaji buta pun, tolonglah lihat sama.