kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Makan gaji buta bukan di sektor awam sahaja

Apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa mengeluarkan kenyataan 5,000 penjawat awam kini sedang dipantau Jabatan Perkhidmatan Awam kerana ‘makan gaji buta,’ ada yang terasa.

Biasalah apabila sudah terkena adalah segelintir yang ‘sentap.’ Yang terkena mulalah bising-bising dan marah-marah. Yang disentuh Ketua Setiausaha Negara bukan semua, hanya 5,000 daripada sejumlah 1.61 juta kakitangan awam.

Kumpulan pemakan gaji buta menurut Ali Hamsa ini adalah kumpulan yang sudah dikenal pasti mempunyai pelbagai masalah disiplin antaranya selalu ponteng kerja, kerap lewat ke pejabat, menjadikan kerja sampingan sebagai kerja hakiki selain hilang fokus.

Persepsi negatif terhadap kakitangan awam sebagai pekerja yang suka membuang masa di kantin dan kafe, tidak efisien di kaunter dan suka ‘mengulor’ bukan cerita baharu. Gambaran yang selalu diberikan lebih kurang begini. Selepas punch card terus ke kantin, kafe atau gerai berdekatan. Sarapan sambil sembang-sembang, lebih kurang 15 minit tetapi biasanya terbabas daripada itu. Masuk pejabat, belek-belek, baca surat khabar atau terus capai papan kekunci komputer. Sambil senyum-senyum sendirian mengemas kini status di Facebook.

Pada sebelah petangnya belum pun pukul 5 petang sudah siap touch up lebih-lebih kurang, menunggu waktu tamat kerja. Selepas pukul 2.45 petang, biasanya pada hari Jumaat, sesetengah pekerja wanita masih berlegar-legar di kompleks beli belah. Itulah persepsi yang sering digambarkan, walaupun bukan selalunya betul.

Persepsi sedemikian mungkin hanya berlaku kepada segelintir kakitangan awam. Realitinya bukan semuanya seperti itu. Zaman berubah. Dengan pelbagai program diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan awam, sudah banyak perubahan dapat dilihat terutama bagi perkhidmatan kaunter.

Pekerja barisan hadapan ini bukan sahaja ramah tetapi banyak membantu memudahkan urusan. Walaupun masa menunggu masih lagi lama bagi sesetengah perkhidmatan kaunter di beberapa agensi dan jabatan kerajaan tetapi sudah banyak perubahan dapat dilihat terutama dalam bab-bab yang melibatkan urusan bersemuka dengan orang awam.

Sebenarnya masalah 5,000 penjawat awam yang sedang dipantau kerana makan gaji buta pun turut berlaku di sektor swasta. Mungkin kurang diketahui kerana sektor swasta tidak ada ‘bos besar’ sebagaimana Ketua Setiausaha Negara untuk bercakap bagi pihak kakitangan swasta.

Masalah disiplin seperti datang lambat, kerja hakiki menjadi kerja sampingan manakala kerja sampingan bertukar menjadi kerja utama serta tuang kerja pun berlaku di sektor swasta.

Cuma caranya lebih tersusun. Banyak alasan boleh digunakan untuk ponteng atau datang lambat. Alasan berjumpa klien paling mudah. Memang berjumpa klien tetapi berjumpa bukan untuk urusan syarikat sebaliknya mempromosikan produk jualan langsung baharu.

Kalau di sektor awam pekerjanya keluar awal atas alasan mahu menghantar anak ke sekolah atau menghadiri kelas agama, di sektor swasta pula segelintir pekerjanya lagi berani membawa sekali anak ke tempat kerja. Meriah sungguh pejabat yang ada anak-anak kecil ini, suasana tidak ubah seperti taman permainan kanak-kanak!

Bukan sedikit ketua-ketua jabatan di sektor swasta yang pening kepala melihat perlakuan segelintir anak buah masing-masing. Kualiti kerja tidak berubah-ubah sejak hari pertama masuk bekerja. Walaupun rakan sekerja yang jauh lebih junior sudah ke hadapan, kumpulan ini tetap ‘macam itulah juga.’

Segelintir pekerja ini pantang dipanggil ‘tepu’ atau ‘kayu mati,’ mereka boleh mengisytiharkan ‘perang besar’ kepada yang menggelarkan sedemikian. Pada mereka sekali pun tepu atau bertaraf kayu mati, mereka tetap sebahagian daripada ‘aset’ penting yang sama-sama membangunkan syarikat!

Yang menariknya, ketua-ketua jabatan lebih mudah nampak kumpulan pemakan gaji buta kategori bawahan walaupun perkara yang sama turut berlaku dalam kalangan yang berjawatan lebih tinggi.

Tindakan susulan biasanya lebih tertumpu kepada kumpulan bawahan. Bukan tidak ada tindakan ke atas kumpulan yang satu lagi, ada tetapi lambat sedikit.

Kesimpulannya, pemakan gaji buta ada di mana-mana. Mereka bukan ‘produk’ sektor awam sahaja. Menjadikan penjawat awam sebagai contoh pemakan gaji buta adalah satu tindakan yang tidak adil.

Masalah ini akan silih berganti dan tidak akan berakhir sampai bila-bila pun sama ada di sektor awam dan sektor swasta.

- Rozaman Ismail Utusan Malaysia Rencana 30 Mei 2015
Tags: disiplin, penjawat awam
Subscribe

Posts from This Journal “penjawat awam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments